Adelaide menawarkan gabungan gaya hidup dan keindahan semulajadi yang amat menakjubkan. Selain menjadi tuan rumah kepada ladang anggur dan hasil tempatan yang dikatakan antara yang terbaik di Australia, anda juga boleh menikmati pengalaman sekali dalam seumur hidup berjalan di kalangan anjing laut di Seal Bay, Kangaroo Island.
Buat anda yang ingin melihat sisi berbeza Adelaide dan rantau sekelilingya, dari perubahan dramatik lanskapnya ke persisiran pantai dan pemandangan nan indah, percutian pandu sendiri tidak harus dilepaskan. Sama ada ia laluan 4WD di kawasan gurun atau laluan sepanjang tepi pantai, Selatan Australia cukup sempurna untuk percutian pandu sendiri.
Anda boleh memilih pemanduan jarak pendek dengan menerokai Fleurieu Way di Fleurieu Peninsula. Tetapi jika niat anda untuk bersiar-siar di kawasan desa, pandu saja melalui Limestone Coast.
Fleurieu Way
Fleurieu Way merupakan laluan lawatan indah sepanjang 235km sekitar Fleurieu Peninsula di Selatan Australia. Ia akan membawa anda melalui daerah penghasilan wain seperti McLaren Vale dan Langhorne Creek, bandar-bandar pelabuhan Victor Harbor, Port Elliot dan Normanville, Goolwa, Murray Mouth dan Coorong National Park.
Antara aktiviti wajib buat anda yang memilih laluan ini termasuk memburu barangan antik di Strathalbyn, belayar sepanjang Murray River, melihat pelbagai species burung-burung liar di Coorong National Park, menaiki Cockle Train dan menanti kehadiran ikan-ikan paus di Encounter Bay.
Limestone Coast
Hanya tiga jam dengan kereta dari Adelaide, Limestone Coast dikurniakan dengan pelbagai keindahan alam semulajadi - air laut yang biru jernih, pantai yang terpencil, kawasan pertanian yang subur, kawah gunung berapi, gua, ladang-ladang anggur, hutan pain dan hasil tempatan.
Tetapkan halatuju ke Mount Gambier untuk menyelidiki misteri di sebalik pertukaran warna Blue Lake terutamanya di lewat bulan November, bila airnya berubah warna dari biru kelabu kepada biru turquoise.
Woakwine Range Wind Farm dengan turbin-turbin gergasinya merupakan pembangunan ladang angin terbesar di hemisfera selatan. Bila kesemua 123 turbin beroperasi di Canunda dan Lake Bonney, ia mampu menghasilkan 300 megawatt tenaga, mewakili satu per lapan keperluan tenaga Selatan Australia.
Sepanjang perjalanan, anda akan melalui Lake Bonney - tasik air tawar terbesar Selatan Australia, Tantanoola Caves - salah satu gua terindah Selatan Australia dan Canunda National Park.
Di Beachport, pandu sepanjang Bowman Scenic Drive. Di sini, anda boleh memilih untuk bersiar-siar di pantai sehingga ke singkapan berbatu Salmon Hole dan Post Office Rock, tempat terbaik untuk menyaksikan penghijrahan Southern Right Whales bila tiba musimnya.
Laluan ini akan membawa anda ke sebuah tasik di mana kandungan garamnya tujuh kali lebih masin dari air laut dan dikatakan memiliki ciri-ciri pemulihan. Kalau sempat, apa salahnya berendam seketika.
Naracoorte Caves National Park World Heritage Fossil Site merupakan satu daripada 17 Warisan Dunia di Australia. Ini ekoran penemuan peninggalan fosil di dalam gua-gua yang banyak mendedahkan perihal warisan marsupial gergasi Australia yang telah berkeliaran di kawasan Naracoorte 500,000 tahun dulu. Di sini, anda boleh menyertai mana-mana lawatan ke kawasan fosil yang di ketuai pemandu profesional.
Turut ditawarkan aktiviti penerokaan gua di mana anda boleh melihat pembentukan stalagmit dan stalaktit. Salah satu daripada gua di sana merupakan habitat Southern Bentwing Bat yang kembali ke gua tersebut setiap musim bunga untuk melahirkan dan membesarkan anak mereka. Acara tahunan ini boleh disaksikan menggunakan teknologi infrared di Bat Observation Centre.
Pelabuhan-pelabuhan bersejarah seperti Kingston SE, Robe, Beachport dan Port MacDonnell menawarkan pelbagai jenis aktiviti air dan memancing.
Buat anda yang ingin merasai hidangan tempatan, Limestone Coast menawarkan beraneka jenis makanan laut segar, daging lembu dan kambing serta produk tenusu. Dari bulan Oktober ke Mei, Lacepede Seafood di Kingston SE menghidangkan Southern Rock Lobster segar sementara Mayura Station yang terletak di tengah-tengah Limestone Coast tempat persinggahan mesti untuk penggemar daging Wagyu.
0 comments:
Post a Comment