Luna, Ariel hanya kawan

Pengarah Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi (kanan), Luna Maya dan Fauzan Nasrul pada majlis pengumuman tayangan perdana filem Pintu Harmonika.
Artis Indonesia enggan ulas lanjut hubungan dengan vokalis kumpulan Noah, tumpu perhatian kepada perniagaan, mengarah

Tersenyum wanita ini apabila diajukan soalan mengenai hubungan sebenarnya bersama vokalis kumpulan Noah, Ariel, ketika ini. Tidak melatah tatkala dihujani pertanyaan berhubung perkara itu, sebaliknya Luna Maya tenang selain sedaya upaya memberikan jawapan yang berlapik.

Bersikap profesional, pelakon yang juga pengacara berusia 30 tahun ini menganggap hubungan mereka kini tidak lebih daripada kawan dan rakan kongsi dalam perniagaan.
Skandal video seks bersama penyanyi lelaki terbabit kira-kira tiga tahun lalu, sehingga menghumban bekas vokalis kumpulan Peterpan itu merengkok hampir dua tahun dalam penjara, nampaknya masih berbekas di hati wanita ini walaupun kes berkenaan sudah pun selesai.

Tidak pernah menyalahkan bekas kekasihnya dalam isu itu, Luna seboleh-bolehnya mahu memperbetul dan membersihkan kembali nama masing-masing.

Cuba melontar jauh kontroversi itu daripada diri, Luna pada masa sama berharap hubungan baik mereka kini tidak disalah erti.

“Saya masih berhubungan dengannya sebagai rakan perniagaan dan kenalan. Sekarang, dia lebih memfokuskan kepada pembinaan semula kerjaya seninya, dan berilah peluang kepadanya untuk memulakan hidup baru.

“Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan mengenai percintaan kerana kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada kemudian hari. Jadi, lebih baik beri tumpuan kepada bidang seni masing-masing daripada menyentuh soal peribadi,” katanya yang membuka kedai kasut bersama Ariel, sejak Disember lalu.

Teruja bergelar sutradara 

Kembali solo bukan bererti Luna menutup pintu hatinya daripada lamaran mana-mana jejaka, sebaliknya dia mahu membina kerjaya barunya sebagai pengarah.

Melangkah setapak lagi dalam bidang seni setelah 14 tahun bergelumang dalam industri hiburan Indonesia, Luna enggan menoleh ke belakang lagi.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam soal jodoh dan apabila sudah berpunya, saya akan maklumkan. Saya mahu menumpukan perhatian pada kerjaya kerana sekarang saya lebih teruja mengarah, seperti anak kecil yang baru mendapat permainan,” katanya.

Tampil dengan karya sulung berjudul Pintu Harmonika, ia menjadi batu loncatan buat Luna untuk berada di bangku sutradara tanpa mengabaikan bidang lakonan serta pengacaraan.

Keinginan untuk mengarah semakin menebal dalam jiwa artis berasal dari Denpasar, Bali, ini selepas muncul dengan filem pendek berjudul Suci In The City, pada 2008.

“Sebelum ini, saya terfikir untuk berniaga, tetapi ketika itu saya tidak tahu bentuk perniagaannya. Sehinggalah pada 2011, saya ada banyak waktu yang terluang, jadi saya mengambil keputusan untuk mengarah.

“Saya masih baru dalam bidang ini dan masih belajar. Saya banyak menonton filem di YouTube dan juga kerap ke panggung. Di situ saya belajar teknik pengarahan, selain mempelajarinya dengan petugas di set penggambaran,” katanya.

Peminat bantu promosi 

Filem sulung arahannya yang membariskan pelakon seperti Fauzan Nasrul, Karina Salim, Donny Damara, Barry Prima, Jenny Chang, Adam Putra Pertama dan Nasya Abigail mempunyai tiga cerita berbeza di rumah kedai, tetapi mengetengahkan satu mesej cinta.

Filem membabitkan kos RM1 juta yang menjalani penggambaran pada Disember 2011 itu turut menampilkan pengarah, Ilya Sigma dan Sigi Wimala. Ia ditayangkan di saluran Astro First serentak dengan tayangan di seluruh pawagam di Indonesia pada 23 Mei.

“Setiap pengarah menghasilkan karya mereka sendiri tetapi pada penghujung penceritaan, ia akan disatukan. Asalnya lima pengarah termasuk Dian Sastrowardoyo direncanakan terbabit dengan projek ini, tetapi mereka tidak dapat ikut serta kerana komitmen lain.

“Saya pula beruntung kerana mempunyai kelab peminat, Luna Tic, yang sangat mengambil berat sehinggakan mereka sanggup mengumpul dana untuk membantu membuat promosi filem ini dengan menghasilkan poster untuk ditampal di tempat awam.

“Dari segi pemasaran dan promosi, saya tidak mempunyai masalah kerana saya menggunakan populariti, kerjaya sebagai pengacara serta pelakon untuk menghebahkan kemunculan filem ini,” katanya yang akan menyambung pengajian dalam bidang pengarahan di Akademi Filem di New York selama tiga bulan, hujung tahun ini.

Bekerjasama dengan Astro turut memberi kelebihan kepada Luna untuk membawa karyanya ke luar negara, tanpa melalui pawagam memandangkan Astro juga dapat ditonton di Singapura dan Brunei.

Info: 

Luna Maya 
  • Tidak hanya bidang lakonan dan pengacaraan, bakatnya turut bersinar dalam bidang seni suara. 
  • Luna akan muncul dengan lagu terbaru dalam masa terdekat selepas tiga singlenya sebelum ini, Suara, Tak Bisa Bersamamu dan Sudah Biasa mendapat sambutan baik peminat. 
  • Luna akan muncul dengan filem terbarunya berjudul Killers pada Oktober ini, bergandingan dengan Oka Antara, Kazuki Kitamaru dan Rin Takanashi. Filem itu diterbitkan bersama oleh produksi Indonesia dan Jepun.

0 comments:

Post a Comment