Keluarga: Kami marah bercampur geram

Suami serta dua anak Allahyarham menabur bunga rampai ke pusara Norazita selepas tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Itam Labu, Kampar, semalam.

KAMPAR - Ahli keluarga mangsa tembakan, Norazita Abu Talib, 37, menyifatkan insiden pembunuhan pegawai bank itu sebagai tindakan kejam.

Sepupu, Musa Othman, 50, berkata, meskipun mereka reda dengan kematian berkenaan, namun terkilan dengan insiden yang dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan itu.

“Pada mulanya kami sangka ia kematian biasa, tak sangka Allahyarham pergi dalam keadaan tragis begini.

“Dia cuma seorang perempuan, kenapa masih ada orang sanggup lakukan sebegitu? Kalau nak kata marah, memang kami marah, geram pun ada, beberapa saudara lain ada yang tak sanggup nak lihat gambar kejadian pun,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Itam Labu, di sini, semalam.

Musa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Poliklinik Kampar berkata, berita kematian itu hanya diketahui kira-kira jam 8 malam sebelum memaklumkan kepada ibu dan bapa Norazita.

Katanya, ibu Allahyarham, Norsham Abd Kadir, 63, rebah di kediaman sebaik mengetahui insiden itu sebelum dibawa ke Kuala Lumpur bersama suaminya, Abu Talib Md Isa, 75.

“Pada mulanya mereka dimaklumkan Allahyarham kena tembak, hanya pada panggilan kedua, barulah kami dimaklumkan yang Allahyarham sudah tiada,” katanya.

Kali terakhir dia bertemu dengan anak bongsu daripada lima beradik itu ketika cuti Aidiladha, 15 Oktober lepas.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi kampung halaman sebaik jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 7 malam menggunakan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Itam Labu kira-kira jam 7.15 malam untuk disemadikan.

Idam makan tilapia

Sempena cuti Aidiladha lepas, Allahyarham dikatakan menyatakan keinginan untuk makan ikan tilapia kegemarannya.

Musa berkata, keinginan itu disuarakan kepada ibunya sementelah Allahyarham sukar mendapatkan ikan itu melainkan di kampungnya sahaja.

“Mujur secara kebetulan saya dapat ikan itu di kolam berhampiran dan memang niat saya untuk berikan kepada dia dan kakak saya di belakang rumah.

“Saya bersyukur apabila keinginan dia dapat dipenuhi sebelum pergi,” katanya.

Musa berkata, lagak Norzita yang diibaratkan orang mengidam itu begitu asing kerana Allahyarham jarang bersikap sedemikian.

Katanya, ketika cuti itu juga, Allahyarham turut menunjukkan sikap pelik apabila membasuh kereta Toyota Wish miliknya dalam hujan.

“Dalam hati sudah berdetik, mungkin dia buang tabiat basuh kereta pada waktu itu, tetapi tidaklah menegur pula,” katanya.

Pendiam, pentingkan keluarga

Seorang lagi sepupu mangsa, Suhana Abd Aziz, 48, menyifatkan Allahyarham sebagai pendiam, namun mementingkan hubungan kekeluargaan.

Katanya, meskipun tidak terlalu akrab, namun setiap kali cuti, mereka kerap bertemu di kampung.

“Suaminya orang sini juga, jadi mereka sekeluarga memang selalu balik kalau cuti panjang dan perayaan.

“Allahyarham memang tak banyak cakap tapi mesra dengan ahli keluarga dan saudara lain.

“Saya tak sangka, dia pergi dalam keadaan zalim begitu, sampai sekarang saya tak sanggup nak tengok gambar kejadian, terlalu kejam,” katanya.

Kami reda

“Perkara dah berlaku, apa pun kami reda dan terima ketentuan ini,” itu kata luahan yang dapat dilontarkan bapa Allahyarham, Abu Talib Md Isa, 75.

Abu Talib ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Itam Labu, di sini, kelihatan tenang meskipun suara tangisan silih berganti mengiringi jenazah Allahyarham.

Menurutnya, tiada perasaan marah atau dendam terbit kepada suspek atas insiden itu, sebaliknya menganggap ia satu takdir.

“Nak marah macam mana.. Biarlah polis yang menyiasat, pakcik serahkan kepada polis sahaja,” katanya.

Beliau berkata, Allahyarham memang dikenali sebagai seorang yang komited bekerja.

“Dia memang begitu, tunggu sampai semua kerja betul-betul siap baru akan balik,” katanya.



Kali terakhir mereka bertemu pada cuti Aidiladha lepas apabila arwah sekeluarga bercuti selama tiga hari di kampung berkenaan.

0 comments:

Post a Comment