Rakan suspek utama kes Ambank masih di Malaysia

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan bersama pegawai penyiasat menunjukkan wang yang dirampas dan gambar rakan suspek, pengawal keselamatan yang menembak pegawai bank, semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM - Polis percaya rakan pengawal keselamatan yang didakwa menembak mati pegawai bank, Norazita Abdul Talib semasa merompak AmBank cawangan Subang Jaya, masih lagi berada di negara ini.
   
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata lelaki tersebut yang dikenali sebagai "Joemar" dipercayai menunggu di luar bank bagi membantu pengawal keselamatan berusia 35 tahun itu melarikan diri selepas merompak RM450,000 dari bank itu 23 Oktober lepas.
 
Joemar dipercayai tinggal di negara ini lebih setahun dengan menetap di Klang dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat lain dan tidak bertugas mengawal institusi perbankan, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
   
Mohd Shukri berkata polis sedang menjejaki warga asing itu dan meminta orang ramai yang ada ternampak suspek menghubungi polis dan menambah kata orang awam telah memainkan peranan mereka dalam  membantu polis memberkas suspek utama kes berprofil tinggi itu dalam tempoh 19 hari.
   
Suspek utama itu diberkas polis kira-kira pukul 7 pagi Ahad lepas di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
   
Mohd Shukri juga berkata pump gun, tiga butir peluru hidup dan satu kelongsong peluru yang ditemui polis semalam dalam sebuah longkang di Taman Industri Sungai Penaga, Subang Jaya merupakan senjata yang digunakan dalam rompakan dan pembunuhan itu.
   
Joemar menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 840713-12-5207 dengan nama Osman Salleh yang berusia 29 tahun, katanya.  

Katanya polis juga masih mencari baki wang rompakan iaitu RM428,200 setelah RM21,800 ditemui disimpan anggota keluarga suspek utama tersebut.  

Beliau berkata selain daripada suspek utama kes ini, 11 lagi anggota keluarga dan temannya telah ditahan reman dan pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan mereka di mahkamah dalam sehari dua ini. - Bernama

0 comments:

Post a Comment