Ironi kematian Paul Walker

TRAGIS... Keadaan kereta Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakan Walker yang juga seorang pelumba, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok. Walker dan Rodas mati di tempat kejadian.

BULAN Disember menjengah dengan membawakan kisah sedih kepada penggemar siri filem perlumbaan kereta jalanan Fast & Furious apabila pelakon utamanya, Paul Walker menemui ajal dalam satu kecelakaan jalan raya di California, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Ironinya, pelakon yang sinonim dengan watak yang memperlihatkan dirinya sebagai ikon lumba kereta ini sememangnya pakar dalam bidang perlumbaan automotif dan pernah menyertai beberapa perlumbaan di AS.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh portal berita CNN, pegawai pengantara Walker, Ame van Iden mengesahkan kejadian tersebut melalui laman sosial Facebook dan Twitter milik aktor berkenaan.

Menerusi kemas kini status tersebut, dia menjelaskan: "Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hari ini. Ketika itu, dia dalam perjalanan menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide.

"Dia menumpang kereta seorang rakan, mereka terkorban dalam tragedi tersebut."

PAUL WALKER meninggal dunia pada usia 40 tahun. Satu ironi apabila pelumba kereta dan pemegang watak pemandu kereta lumba ini menemui ajal kerana pemanduan melebihi had laju.

Jurucakap itu yang juga dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka terkejut dan amat sedih dengan berita tragis itu.

Walker, 40, mati di tempat kejadian apabila kereta jenis Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakannya yang juga seorang pelumba kereta, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok.

Pegawai Polis dari Pejabat Syerif Daerah di Los Angeles, Brian Allen, berkata, kemalangan tragik itu berpunca daripada pemanduan yang melebihi had laju.

Seiring dengan watak Brian O'Conner menerusi francais filem Fast & Furious, Walker yang juga merupakan peminat tegar kereta-kereta berkelajuan tinggi pernah menyertai beberapa pertandingan perlumbaan kereta termasuklah Redline Time Attack.

Dia juga pernah berlumba dengan Roger menerusi siri pertandingan Pirelli World Challenge. Selain itu, aktor tersebut turut memiliki beberapa kereta lumba termasuklah Nissan Skyline R34 GT-R V-Spec II yang digunakan oleh Brian dalam 2 Fast 2 Furious.

Legasi pecah panggung

Watak Brian yang cukup sebati dengan dirinya menerusi siri filem Fast & Furious sangat meninggalkan kesan dalam hati dan minda para penonton. Masakan tidak, Walker sendiri mengakui sering disapa sebagai Brian ketika berjumpa dengan para peminat.

Mungkin kisah seorang polis yang mengambil keputusan untuk membanteras penjenayah menjadikan watak tersebut digilai peminat, terutamanya golongan wanita.

"Saya sering disapa begitu. Orang mengenali saya sebagai watak Brian lebih ramai daripada orang mengenali Paul Walker.

"Bila orang menyapa 'Hi Paul Walker!' bulu roma saya seakan-akan meremang. Namun, bila ada yang memanggil saya Brian, saya seperti tidak kisah. Saya suka dengan nama Brian," ujarnya dalam satu temu bual akhir ketika menjalani penggambaran Fast & Furious 7 yang dijangka berada di pawagam pada 2014 di Atlanta akhir bulan lalu.

MULA bersama francais filem The Fast and the Furious sejak tahun 2001, Walker yang memegang watak Brian akan muncul buat kali terakhir menerusi edisi ketujuh filem itu, Fast & Furious 7 pada tahun depan.

Watak berat dalam Hours

Pelakon berketuruan Irish-Jerman ini juga bakal muncul dengan filem berjudul Hours, antara filem terakhir lakonannya sebelum menemui ajal.

Dalam filem tersebut, Walker yang pernah terbang ke Haiti untuk membantu mangsa gempa bumi di sana, memegang watak Nolan, seorang bapa yang berusaha untuk menyelamatkan anak perempuannya yang baru lahir daripada ancaman bencana Taufan Katrina.

Menurutnya lagi, watak tersebut merupakan watak paling berat dan mencabar yang pernah dibawa sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.

"Apa sahaja yang saya dapat di dalam jiwa, tidak dibeza-bezakan. Jika anda betul-betul hidup dengan watak dalam sesebuah filem itu, ia sama sahaja seperti anda hidup di kehidupan sebenar.

"Kejayaan saya dalam filem adalah kejayaan saya dalam dunia sebenar. Jika saya berjaya, saya berasa bangga kerana saya belajar sesuatu yang baharu dalam kerjaya saya. Sejujurnya, kita akan menjadi lebih cekal jika terus diuji," ujarnya ketika berbicara tentang watak tersebut.

Walaupun nama Paul Walker mula melonjak naik selepas dia membintangi The Fast and the Furious pada tahun 2001, namun pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan, dia pernah membintangi beberapa drama bersiri termasuklah Throb dan The Young and the Restless.

Selepas mula dikenali, dia kemudiannya mendapat tawaran untuk membintangi filem-filem berbajet besar seperti Eight Bellow, Into The Blue dan Takers.

0 comments:

Post a Comment