Maritim nafi temui tompokan minyak


SHAH ALAM - Agensi  Penguatkuasaan Maritim Malaysia menafikan  penyebaran berita mengenai penemuan tumpahan minyak yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Menurut Pengarah Cawangan Operasinya, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin, asetnya tidak melaporkan berita itu.

Beliau meminta agar semua pihak tidak mempercayai berita yang tidak sahih.

"Cerita tentang tumpahan minyak itu...aset-aset kita tak laporkan berita itu. Tak usah dengar.

"PDRM, ATM dan sebagainya bakal menjadi mata serta telinga kita dalam operasi mencari ini," katanya yang dipetik dari program Malaysia Hari Ini Khas, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bakal memaklumkan apabila telah menemui sebarang petanda.

"Apabila kita dah temui sebarang petanda, kita akan maklumlan," katanya.

Semalam media asing melaporkan Tentera Udara Vietnam mengesan dua tompok minyak seluas antara 10km dan 15km di perairan dekat selatan Vietnam disyaki daripada pesawat MH370.

Operasi mencari yang bermula semalam dan dihentikan tengah malam tadi disambung jam 6 pagi tadi.

Katanya, setakat ini, cuaca tidak menghalang proses mencari pesawat berkenaan.
"Cuaca tidak memberi gangguan. Hari ini dilihat sama.

"Dijangka cuaca akan berada dalam keadaan baik untuk menjalankan operasi," katanya.

Tambahnya, 'setakat ini tiada petanda atau pengesanan yang dapat dimaklumkan.'

0 comments:

Post a Comment