Pulau Dayang Bunting


Pulau Dayang Bunting adalah pulau kedua terbesar dalam gugusan Pulau Langkawi, dan merupakan destinasi pelancongan yang popular.

Pulau itu, yang terletak 20 kilometer dari pekan Kuah mendapat nama dari suatu legenda yang terkenal di sini.

Legenda Tasik Dayang Bunting dikatakan sebuah tempat pemandian kegemaran seorang puteri dari kayangan bernama Mambang Sari. Dia diberi julukan sebagai Tasik Dayang Bunting.

Menurut cerita, seorang putera raja, Mat Teja, jatuh cinta dengannya dan menipu puteri itu untuk mengahwininya. Mereka dikurniakan seorang anak, yang kemudiannya meninggal dunia setelah tujuh hari akibat penyakit misteri.

Disebabkan terlalu sedih, Mambang Sari meletakkan mayat anaknya ke dalam tasik itu dan kembali semula ke dunia kayangan.

Sehingga ke hari ini, ada yang masih percaya wanita yang sukar mendapat anak, jika mandi dalam tasik itu akan dikurniakan anak. Ada yang turut mengakui kebenaran hal ini.


Tasik Dayang Bunting merupakan tasik air tawar terbesar yang terdapat di Langkawi. Pembentukan batu-bata di salah satu sisi tasik itu kelihatan seperti seorang wanita mengandung yang sedang baring.

TABUNGAN KE SYURGA

Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Kala saya menjejaki Masjid Baitullah, Ma’ahad ar-Rahman Lil Quran, Bogor, baru-baru ini, hati ini tersentuh dengan sebuah kalimah di tangga masjid berkenaan. Ada sebuah peti derma dengan tertera tulisan yang ringkas, ‘Tabungan Syurga’, tersedia di situ. Indah bahasa itu, biar ringkas namun punya makna sangat mendalam dan tuntas. Berilah sesuatu, kerana ia menjadi andalan kita syurga yang yang nikmatnya tidak terbatas.

Lantas, apa yang terlintas di benak paling dalam, bahawa kita sering kali memikirkan tentang kelestarian hidup di dunia. Kita tega menyisihkan sedikit daripada pendapatan dan menabung demi masa hadapan. Kita sedar, apa yang akan terjadi pada masa hadapan adalah tiada ketentuan. Maka, persiapan adalah perlu, dan kita berusaha menabung sekadar mampu.

Itu benar. Maka, dewasa ini kita boleh sahaja memilih apa-apa instrumen yang tersedia. Sama ada simpanan wadi’ah secara konvensional di bank, amanah saham, simpanan tetap atau takaful berserta caruman pelaburan. Kita mengharapkan, itulah jaminan kita. Tabungan yang dapat memberikan sedikit keselesaan kala kita memerlukannya.

Pun begitu, dalam keterujaan menjamin masa hadapan yang sementara, sering kali kita terlupa tentang jaminan kehidupan kekal kita di akhirat pula. Andai di dunia kita memerlukan tabungan dunia, maka akhirat sebenarnya lebih utama. Ini kerana, tabungan duniawi boleh sahaja dibantu isiannya oleh orang lain, sedangkan tabungan akhirat banyak tergantung kepada amalan kita sahaja.

Sebab itulah, Rasulullah SAW pernah menggambarkan kepada para sahabatnya tentang orang-orang yang muflis di akhirat nanti, yang sebenarnya juga menjadi ingatan kepada kita agar berhati-hati agar tidak terjebak ke kancah yang sama.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud: “Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?” Lalu para sahabat menjawab: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”

Lalu Baginda SAW kemudiannya bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala solat, puasa dan zakat. (Namun, dalam masa yang sama) dia juga datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang.

“Lalu diberi segala (pahala) kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya (kepada orang-orang yang dizaliminya). Maka jika telah habis (segala) pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya (orang-orang yang dizalimi) itu (pula yang) akan dilemparkan (dibebankan) kepadanya, lalu (menyebabkan) dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)

Nyata, bekalan di akhirat lebih amat perlu. Ini kerana, kita tidak mahu menjadi muflis. Muflis di dunia bisa sahaja kita cari jalan menyelesaikannya; sedang muflis di akhirat tiada lagi modal menyelesaikannya.

Kesimpulannya, sediakanlah tabungan ke syurga dengan sebanyak mungkin. Laksanakan segala kewajipan dan tambahi dengan amalan kebajikan. Pada masa yang sama, tinggalkan segala kezaliman, tidak menyakiti sesama manusia, mengambil hak orang lain tanpa rela, menindas dan memaksakan tindakan di luar batas keadilan.

Sungguh! Tabungan ke syurga perlu kita penuhi, secara konsisten, hari-hari tanpa culas, agar di akhirat nanti, tidak lagi menjadi muflis sedang pahala terkikis dan kala itu kita menangis sedang orang lain memintanya tanpa belas. Wallahua’lam.

Hikmah-Hikmah Berzakat


1) Kesucian Rohani
  • Orang-orang yang mengeluarkan zakat, jiwa mereka akan terdidik dengan baik, sifat rahim dan penyayang akan terpupuk di sanubari mereka. Keyakinan dan kepercayaan mereka kepada Allah semakin teguh. Sifat tolong menolong semakin berakar umbi di dalam diri semakin bertambah suci dan sifat taqwa kepada Allah semakin meluap di sanubari mereka. 
  • Orang yang sedemikian, tidak gemar mengumpulkan harta sebaliknya mereka akan mengeluarkan. Ini adalah disebabkab mereka tahu harta yang terkumpul itu adalah hak fakir, miskin dan kaum yang lemah untuk mencukupkan nafkah setiap hari.

 
2) Merapatkan Jurang Perbezaan Di Antara Kaya Dan Miskin
  • Di dalam proses pemberian dan agihan zakat akan terjalin hubungan di antara satu individu dengan sati individu yang lain khususnya di antara orang kaya dengan orang miskin.
  • Ini adalah kerana wujudnya perintah wajib mengambil harta orang kaya walaupun secara merampas dengan kekuatan undang-undang sebagai zakat untuk diberikan kepada orang miskin.

 
3) Menafikan Kemungkinan Unsur-Unsur Negatif
  • Sistem zakat di dalam perundangan Islam dianggap sebagai satu-satunya sistem yang mulia dan terpuji di mana zakat berfungsi menafikan sebarang unsur-unsur negatif dari golongan yang tidak berada terhadap golongan yang berada. 
  • Melalui sistem zakat ianya akan dapat memusnahkan musibah-musibah yang banyak dengan memberikan pertolongan kepada golongan yang tidak berada dan tidak berupaya. Oleh itu, maka sewajarnya golongan yang berada memberi pertolongan demi membuat kebajikan terhadap segolongan umat yang tidak ada orang yang menanggungnya.

 
4) Mengurangkan Kadar Kemiskinan
  • Terdapat berbagai sistem yang cuba digunakan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, malangnya ianya masih gagal. Di dalam Islam, menghapuskan dianggap tujuan terpenting di dalam sistem ekonominya terutamanya sistem zakat. Penyelesaian masalah kemiskinan tidak akan tercapai jika tidak mengambil kira bahawa di dalam harta orang-orang kaya itu wujudnya hak orang miskin. 
  • Oleh itu Islam telah mensyariatkan suatu amalan dengan menfardhukan zakat serta memberikan penentuan terhadap kadar yang harus dikeluarkan. Mengikut Dr. Muhammad Faruq di dalam bukunya 'Al-Ittijah Al-Jamaii Fi-Al-Tasri Al-Iqtisadi Al-Islamiah' - halaman 475, beliau menegaskan hanya zakat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah kemiskinan masyarakat Islam. 
  • Ini bukanlah bermaksud masalah kemiskinan itu dapat dikurangkan atau diselesaikan dengan begitu mudah dalam masa yang singkat tetapi memakn masa yang panjang. Maka sebab itulah zakat diwajibkan secara berterusan ke atas individu muslim yang telah mencukupi syarat-syaratnya.

 
5) Bekalan Di Akhirat
  • Dari segi keakhiratan dengan berzakat akan diberi ganjaran 700 kali ganda untuk mereka nikmati selepas mati semata-mata untuk menjamin kebahagiaan mereka di akhirat. Oleh itu zakat merupakan simpanan faedah di akhirat sebanyak 700%. 
  • Kenyataan ini dapat dibuktikan di dalam Surah Al-Baqarah : ayat 261 yang bermaksud "Bandingan (perbelanjaan - derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai : tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatilah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya amat luas (rahmat) kurniaNya" 

KHASIAT MINUM SUSU

Dua gelas susu daripada rumusan susu yang disyorkan sudah memadai dalam memenuhi keperluan minimum kalsium tubuh anda.

Ini sudah pasti perlu untuk mengelakkan kemerosotan jirim tulang, satu proses yang tidak boleh diterbalikkan.

Dan melalui pengambilan kalsium yang perlu setiap hari mengikut sukatan yang disyorkan, kekuatan tulang dapat dikekalkan sepenuhnya.

Tetapi bagaimana untuk memastikan pengambilan kalsium daripada susu yang anda minum adalah memadai?

Golongan dewasa semuda 19 tahun disyorkan mengambil antara 1000 dan 1200 milligram kalsium setiap hari.

Beberapa jenama susu boleh membekalkan keperluan kalsium yang secukupnya dengan meminum dua gelas susu itu setiap hari.

SUSU KALSIUM TINGGI

Produk susu Anlene baru-baru ini mengumumkan penemuan klinikal yang penting iaitu susu ini dapat memulihkan kekuatan tulang dalam tempoh empat minggu sahaja.

Penemuan terbaharu ini adalah hasil ujian klinikal yang pertama seumpamanya dikendalikan oleh pakar-pakar tulang di rantau.

Pada hakikatnya, tulang manusia mula merosot seawal usia 30 tahun. Kadar kemerosotan mula melampaui kadar penjanaan semula di peringkat ini.

Yang paling penting, untuk memastikan tulang yang lebih kuat, setiap orang perlu mempunyai kombinasi tepat zat yang diperlukan tulang pada tahap yang disyorkan.

Pengurus besar bagi Fonterra Brands (M) Sdn Bhd, John McKay, juga berkongsi pandangan akan program seluruh negara Fonterra bagi warga Malaysia; Pemeriksaan Kesihatan Tulang yang dijalankan di kawasan bandar dan luar bandar. Fontera merupakan pengedar susu Anlene.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengapa penting untuk mengekalkan kekuatan tulang.

"Kami telah memeriksa lebih 150,000 orang. Selepas memeriksa mereka menerusi program pemeriksan ini di tempat-tempat awam, majoriti responden didapati berada dalam zon oren, iaitu bacaan antara (-ve)-1 dan (-ve)-2, yang menunjukkan risiko sederhana bagi tulang rapuh dan bahaya menghidap Osteoporosis," kata McKay lagi.

Zon hijau iaitu bacaan antara 2.00 dan -0.99 menunjukkan risiko yang rendah, (-ve) -2.49 hingga (-ve) -1.0 menunjukkan risiko sederhana, sementara kumpulan berisiko tinggi akan menyaksikan bacaan antara (+ve) +2.5 dan (+ve) +4.0.

Program pemeriksaan ini menggunakan mesin ultrasound.

Penulis ini juga mengambil peluang untuk menguji kekuatan tulangnya dan mendapati keadaan tulangnya adalah memuaskan dengan beliau berada dalam kategori risiko rendah.

SUSU TIDAK MENYUMBANG KEPADA KEGEMUKAN

Duta jenama bagi Anlene, Datuk Michelle Yeoh juga hadir pada majlis memperkenalkan susu Anlene baru ini yang dikatakan lebih berkesan dengan susu ini membantu mengekalkan tulang yang kuat dalam tempoh 4 minggu sahaja.

Beliau menekankan yang susu ini adalah baik bagi kesihatan dan tidak menyebabkan kenaikan berat badan.

"Lihatlah saya, saya bukan gemuk. Sebenarnya saya meminum susu sejak zaman kanak-kanak lagi. Pilihlah produk lemak rendah," kata bintang filem ini.

Anlene juga memperkenalkan iklan terbaru pada majlis itu, yang menggambarkan seorang penari wanita yang melenturkan badannya ke belakang.

Beliau terdengar bunyi geresek tulang semasa melakukan gerakan itu yang mengejutkan beliau dan pasangannya, beliau terus memutuskan untuk mengambil susu yang disyorkan untuk memulihkan semula kekuatan tulangnya dalam tempoh 4 minggu sahaja.

GAYA HIDUP AKTIF

"Saya suka dengan iklan baru ini dan mesej yang disampaikan adalah jelas sekali. Lelaki dan wanita perlu menjaga dengan baik tulang mereka. Dan kebanyakan rakyat Malaysia buat masa ini hanya mengambil 50 peratus daripada jumlah kalsium yang diperlukan setiap hari. Ini tidak cukup untuk mengekalkan kekuatan tulang mereka," tambah Yeoh, yang juga mencerita aksi-aksi 'stunt' beliau dalam filem terkininya dengan penggambaran di Taiwan dan China.

"Kali ini 'stunt' saya lebih mencabar daripada yang sebelumnya. Saya terpaksa lompat dari bumbung ke bumbung untuk melawan penjahat. Perlu banyak gerakan lompat dan meregang badan," beliau menjelaskan lagi.

Filem terbaru Yeoh "Rain of Swords" kini di peringkat akhir penggambaran dan dijangka ditayangkan bagi tontonan umum pada Oktober ini.

PERASA POPULAR DI MALAYSIA

Syarikat-syarikat pengeluar susu di negara ini memberi perhatian serius kepada kumpulan sasaran mereka khasnya pada tabiat meminum susu termasuk pilihan perasa berlainan, mengikut kumpulan umur mereka serta faktor usia dan demografi.

Produk susu dan tenusu di bawah syarikat Fonterra menguasai 80 peratus daripada pasaran dalam industri mereka dan mereka melabur US$45 juta bagi penyelidikan tulang.

Sebanyak US$14 juta dibelanjakan bagi pembangunan Anlene yang menyebabkan ia diisytiharkan sebagai yang terbaik dalam kategori susu kalsium tinggi.

Mckay, juga menambah kata, "kami berada di hadapan daripada segi penyelidikan dan inovasi, untuk menghasil dan menyampaikan produk tenusu terbaik bersama nutrisi terbaik bagi kesemua peringkat pengguna kami. Kami juga mengambil kira citarasa pengguna tempatan dan mempertimbangkannya bagi pembangunan projek di masa depan."

Produk-produk tenusu yang sihat termasuk dadih, keju dan mentega.

Rakyat Malaysia hendaklah terus meningkatkan kesedaran akan keperluan pengambilan kalsium mandatori setiap hari.

-- BERNAMA

Lindungi tulang belakang anda

Tulang belakang merupakan salah satu bahagian penting kepada manusia.

Tulang belakang merujuk kepada susunan ruas tulang di bahagian belakang yang bertindak memberi sokongan kepada tubuh untuk berada dalam keadaan tegak. Ia merupakan susunan ketulan tulang yang merupakan susunan ketulan tulang yang membentuk tulang belakang yang terdapat pada semua vertebra.

Vertebra adalah bahagian yang menyokong badan dan melindungi saraf tunjang. Terdapat cakera di vertebra yang bertindak sebagai penyerap hentakan di antara vertebra.

Biasanya terdapat tiga puluh tiga (33) ruas tulang belakang (vertebra) pada manusia, termasuk lima yang bergabung bagi membentuk sakrum yang lain terpisah oleh ceper intervertebra dan empat tulang koksiks yang membentuk ekor. Tiga kawasan atas berdiri dari baki 24, dan di kelompok di bawah nama serviks (7 vertebra), toraks (12 vertebra) dan lumbar (5 vertebra) menurut kawasan didudukinya.

Penjagaan tulang belakang yang betul melalui kaedah mengangkat barang, postur duduk, postur berdiri, kaedah tidur dan cara berjalan yang baik dapat memastikan kesihatan tulang belakang anda.


Mengangkat barang

Cara Betul
  1. Bengkokkan kaki, bukan tulang belakang anda. Bawa beban rapat pada tubuh anda. Keraskan otot perut sewaktu mengangkat.
  2. Dapatkan bantuan orang lain sekiranya anda sukar untuk mengangkat berseorangan.
Cara Salah
  1. Elakkan membongkok atau memusing pinggang anda semasa mengangkat beban yang berat.
  2. Elakkan mengangkat beban terlalu jauh dari badan.
  3. Jangan mengangkat beban melebihi paras bahu. Keadaan ini menyebabkan ketegangan yang melampau kepada tulang belakang anda.
  4. Elakkan dari mengangkat secara pergerakan mengejut.

Duduk

Cara Betul
  1. Rapatkan punggung dan sandarkan belakang anda pada penyandar tempat duduk sepenuhnya untuk mengurangkan tekanan pada cakera tulang belakang.
  2. Pastikan ketinggian tempat duduk anda sesuai dan kedudukan paha anda selari dengan lantai.
  3. Campurkan aktiviti anda dengan senaman/regangan/berjalan.
Cara Salah
  1. Elakkan duduk terlalu jauh dengan meja kerja anda dan elakkan duduk di atas kerusi yang terlalu tinggi.
  2. Elakkan membongkok ketika duduk.
  3. Pastikan anda tidak menggelongsor ketika duduk.

Memandu

Cara Betul
  1. Duduk tegak dan gerakkan tempat duduk ke hadapan supaya lutut anda selaras dengan pinggang.
  2. Sokong bahagian bawah belakang anda menggunakan tuala yang digulung atau penyokong lumbar jika perlu.
Cara Salah
  1. Elakkan memandu terlalu lama tanpa berehat.
  2. Menekan pedal dan memegang stereng terlalu jauh akan menyebabkan ketegangan otot.

Tidur

Cara Betul
  1. Tidur di atas katil yang tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras.
  2. Apabila anda tidur mengiring, bengkokkan sedikit lutut supaya lutut bersentuhan atau apabila anda tidur menelentang, letakkan bantal di bawah lutut anda.
Cara Salah
  1. Elakkan tidur meniarap kerana ia akan menyebabkan sakit belakang.
  2. Elakkan tidur di atas sofa di ruang tamu untuk jangka masa yang panjang.

Berdiri dan Berjalan

Cara Betul
  1. Tukarlah posisi berdiri anda dengan kerap jika anda perlu berdiri lama.
  2. Berdiri tegak dengan kepala lurus memandang ke hadapan dan luruskan belakang badan anda.
  3. Berjalan dengan cara yang betul, dagu ke dalam, kepala tegak memandang ke hadapan dan jari-jari kaki mengarah ke hadapan. Pakailah kasut yang mempunyai tumit yang rendah dan selesa.
Cara Salah
  1. Jangan berdiri terlalu lama dalam hanya satu posisi. Elakkan membongkok dengan kaki lurus.
  2. Elakkan memakai kasut tumit tinggi apabila berjalan atau berdiri untuk jangka masa yang lama.

Kesimpulan

Penjagaan tulang belakang yang sempurna dapat menghindarkan dari sakit belakang yang merugikan kita. Gaya hidup yang sihat serta aktiviti senaman dapat membantu mengekalkan tulang belakang yang sihat. Sekiranya anda mempunyai penyakit tulang belakang sila rujuk doktor anda sebelum membuat senaman yang berkaitan.
Terdapat senaman-senaman yang boleh menjaga tulang belakang antaranya adalah seperti berjalan, berbasikal, berenang, senaman menarik lutut sambil baring dan merengangkan pinggul.

Antara faedah mengamalkan penjagaan tulang belakang semasa bekerja adalah:
  • Dapat mengekalkan tahap kesihatan dan kecerdasan ketika bekerja khususnya dalam kerja yang melibatkan kerja-kerja yang dilakukan dengan tangan.
  • Membantu mempertingkatkan mutu kerja dan produktiviti majikan dengan mengurangkan bilangan hari sakit.
  • Mengurangkan kos perubatan yang boleh dielakkan sama ada pada diri sendiri atau majikan.
  • Memastikan hari tua yang sihat tanpa penyakit yang disebabkan oleh pekerjaan.


Sumber: Berita Harian