Musnahnya terowong Gaza

RAFAH - PALESTIN - Penderitaan dialami rakyat Palestin di Gaza ekoran kepungan Rejim Zionis dengan bantuan sekutunya Rejim Mubarak seperti akan kembali berulang.

Selepas penggulingan Presiden Mohamed Mursi kelmarin, tentera Mesir mengarahkan beberapa jentolak memulakan kerja-kerja pemusnahan merobohkan terowong yang menghubungkan laluan antara Mesir dan Genting Gaza.

Media RNN melaporkan, kerja-kerja pemusnahan itu dikawal ketat tentera Mesir lengkap dengan senjata senapang automatik dan kenderaan tentera sebagai perisai.

Saksi berkata, jentolak itu kelihatan sejak beberapa hari lalu namun hanya memulakan kerja pemusnahan sejurus rampasan kuasa berlaku.

Sumber Mesir pula melaporkan, kelibat tentera itu mula dilihat sejak kelmarin di kawasan berkenaan.

“Laluan yang digunakan untuk membawa masuk pelbagai bekalan dan barang ke Genting Gaza mula ditutup beberapa hari sebelum rusuhan di Mesir,” katanya.

Terowong Gaza digunakan untuk membawa masuk keperluan dari Mesir ke Gaza.

Infografik Terowong Gaza

Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza mulai bimbang apabila bekalan bahan bakar untuk penjanaan elektrik dan ambulans semakin berkurangan.

“Kami khuatir penutupan ini bakal berpanjangan kerana kemasukan bekalan bahan bakar sukar didapati kerana Israel sentiasa mencatu kemasukan bahan bakar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan Keselamatan Palestin pula dikatakan meningkatkan kawalan di kawasan terowong berkenaan bagi menggelakkan kekecohan di Mesir merebak ke negara itu.

Terowong antara Mesir dan Gaza itu merupakan laluan utama kepada penduduk 1.8 juta penduduk Gaza sejak pengepungan Israel pada 2006.

Mursi sejak awal kempen pencalonan presiden lagi menunjukkan sikapnya yang jelas terhadap isu Palestin, kesetiaannya yang tak berbelah bagi bersama perjuangan rakyat Palestin di dalam menuntut hak permastautinan dan pembebasan Masjidil Aqsa.

Walaupun Mursi menggalas beban dan tanggungjawab berat memperbaiki sistem lama yang ditinggalkan dan kerja memantapkan kedudukan sosioekonomi rakyatnya, namun bantuan dan sokongan kepada Gaza mula ditunjukkan melalui pembukaan sempadan Rafah dan bantuan lain.

Pendirian Mursi membuka ruang kepada dunia luar untuk memasuki tembok penjara terbesar dunia itu. Malangnya, satu-satunya laluan yang ada kini dimusnahkan jentolak tentera Mesir. -Sinar

Sabah diceroboh: Masih ada rahsia belum didedah

Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Terdapat perkara sulit berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah yang belum didedahkan kepada umum, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya perkara itu masih dirahsiakan kerana tidak mahu menjejaskan proses mahkamah yang kini dalam proses pendakwaan.
 
"Masih ada lagi yang belum diceritakan mengenai mengapa semua ini terjadi, kami akan tunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannnya...adalah sukar untuk menerima hakikat kira-kira 200 orang berpakaian celoreng dan bersenjata secara tiba-tiba muncul," katanya.
 
Beliau berkata kepada pemberita selepas syarahan bertajuk 'Kerjasama Antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Semasa Ops Daulat: Satu Usaha Strategi Lautan Biru Kebangsaan' anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini hari ini.
 
Syarahan itu turut disertai Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin bagi membincangkan kerjasama antara ATM dan PDRM dalam usaha menangani insiden pencerobohon pengganas Sulu terhadap negara ketika Operasi Daulat di Sabah.

Khalid berkata pihaknya akan mendedahkan perkara mengenai pencerobohan itu kepada umum apabila tiba masanya nanti.  
 
"Kes itu masih berjalan di mahkamah, jadi kami tidak mahu mengganggu perbicaraan kes itu. Sebagaimana saya katakan apabila tiba masanya, jika perlu kami akan mendedahkannya," katanya.
 
Sementara itu, Zulkifeli berkata pasukan keselamatan negara akan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi kumpulan-kumpulan yang sebelum ini dianggap tidak memberi ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara.
 
"Kumpulan pengganas yang tidak mewakili mana-mana negara ini adalah ancaman yang perlu diberi perhatian...kumpulan itu boleh menjadi satu cabaran jika dipergunakan pihak lain untuk politik atau agenda mereka," katanya.
 
Zulkifeli berpendapat pengganas Sulu yang tiba di Kampung Tanduo pada 12 Feb lepas menyasarkan serangan ketika Parlimen Malaysia dibubarkan dan seterusnya mencetus huru-hara terhadap kerajaan sementara.
 
"Mereka tiba kerana banyak desas-desus pilihan raya umum ke-13 (PRU13) adalah selepas Tahun Baharu Cina dan mereka hendak mengumpulkan kekuatan sebelum melakukan serangan besar-besaran untuk menuntut Sabah.
 
"Saya tidak tahu siapa yang memberi maklumat strategik kepada mereka tetapi bersyukurlah kita dapat mengesan mereka awal sebelum Parlimen dibubarkan dan mengambil tindakan menghalang mereka," katanya.
 
Insiden penceroboh pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Feb lepas dan kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac dalam mempertahankan kedaulatan negara.
 
Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.  - Bernama

Ceroboh Sabah: Kerjasama asing punca lewat tindak

Sabah diceroboh
KUALA LUMPUR - Penyiasatan yang memerlukan kerjasama negara asing merupakan antara sebab berlaku kelewatan dalam tindakan untuk menangani kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata memandangkan penceroboh merupakan rakyat asing, siasatan yang dijalankan polis tertumpu kepada tujuan kemasukan terlebih dahulu dalam usaha menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina.
 
"Setelah memulakan siasatan dan apabila polis diserang barulah diketahui kelompok ini bertujuan menceroboh dan mengganas. Namun penyiasatan juga melihat kepada hubungan dengan Filipina dalam semangat serantau...sebab itu penyiasatan memakan masa lama kerana memerlukan kerjasama kedua negara.
 
"Jadi, dalam keadaan sedemikian kita perlu berhati-hati dan selepas mengetahui serta mengenalpasti tujuan mereka barulah kerajaan menghantar tentera dan memulakan gerakan ketenteraan yang akhirnya menamatkan pencerobohan itu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai kenapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap penceroboh dari selatan Filipina itu sehingga mencetuskan pelbagai persepsi di kalangan masyarakat, terutama rakyat Sabah.
 
Wan Junaidi berkata masyarakat juga perlu sedar keadaan pantai di timur Sabah yang menjangkau 1,700km serta jarak yang begitu hampir antara Lahad Datu dan selatan Filipina menyukarkan pasukan keselamatan mengawal keadaan.
 
Beliau berkata pencerobohan itu bukan disebabkan soal kecanggihan teknologi dan kelengkapan pasukan keselamatan kerana situasi serupa juga berlaku di Mexico dan Amerika Syarikat apabila kecanggihan teknologi yang dimiliki belum dapat mengatasi kes pencerobohan, terutama di laut.
 
"Sekarang kita dah letakkan segala mekanisme, perbincangan dan kerjasama dengan kerajaan Filipina juga telah dijalankan. Jadi, keselamatan di Sabah dan pulau borneo terjamin dengan tindakan yang dibuat," katanya merujuk kepada penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada 7 Mac lepas.
 
Pembentukan Esscom yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkumi 1,400 kilometer membabitkan daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu bertujuan menjaga kedaulatan serta keselamatan kawasan pantai timur Sabah susulan insiden pencerobohan pengganas dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Tungku pada Februari lepas.
 
Insiden yang berlarutan lebih sebulan itu menyaksikan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban.

Menjawab soalan Bung Moktar sama ada benar pencerobohan di Kampung Tanduo itu turut melibatkan rakyat negara ini dan tindakan susulan yang diambil, Wan Junaidi berkata kerajaan belum bercadang mendedahkan maklumat lanjut mengenainya kerana siasatan rapi berhubung insiden dan individu yang disyaki masih dijalankan.
 
Bagaimanapun, katanya, kerajaan telah membuat pendakwaan ke atas 30 individu yang terlibat dalam insiden bersenjata itu secara berperingkat.
 
Daripada jumlah itu, empat orang adalah rakyat Malaysia dan seorang pemastautin tetap manakala selebihnya rakyat asing.
   
Mereka yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 66 tahun itu ialah antara 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(Sosma) 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.  - Bernama

Timbalan menteri: Proton, Perodua lebih murah dari Honda


PARLIMEN Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata, kereta nasional Perodua dan Proton dijual dengan harga paling murah di Asean.

Malah, katanya, model seperti Myvi dan Saga lebih murah berbanding harga kereta jenis Honda Rio di Thailand dan Indonesia.

"Ingin saya maklumkan bahawa harga kereta bagi enjin 1.3 liter di Malaysia adalah yang terendah di negara Asean jika dibanding dengan Thailand dan Indonesia.

"(Kereta) Perodua Myvi dan Proton Saga, masing-masing dijual dengan harga RM45,000 ribu dan RM33,888 berbanding dengan model Honda Rio di Indonesia dan Thailand yang berharga RM47,000 ribu," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Chua Tee Yong (BN-Labis) berhubung bila kerajaan akan menurunkan kadar duti ke atas kereta import supaya harga kereta dapat diturunkan bagi menepati janji pilihan raya umum ke-13.

Mengulas lanjut, Hamim yang juga ahli parlimen Ledang berkata penurunan harga kereta menjadi salah satu matlamat penting untuk mencapai dalam dasar automotif nasional.

Hapus duti tak jamin turun harga

Katanya, kajian semula berhubung penurunan harga mengambil pandangan semua pihak termasuk pengguna, pengeluar kereta, institusi kewangan dan pengeluar barang gantian bagi mewujudkan industri automatif yang kompetitif dan efisien

"Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengurangkan duti sebagaimana mekanisme untuk menurunkan harga kereta. Ini adalah kerana pengurangan duti tidak menjamin penurunan harga kereta," katanya.

Menurutnya lagi, penghapusan duti eksais akan menyebabkan kerajaan hasil cukai lebih kurang RM7 bilion.

"Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengurangkan duti sebagaimana mekanisme untuk menurunkan harga kereta. Ini adalah kerana penghapusan duti tidak menjamin penurunan harga kereta," katanya.

Menurutnya lagi, penghapusan duti eksais akan menyebabkan kerajaan kehilangan daripada hasil cukai yang dianggarkan sebanyak RM7 bilion.

Facebook perkenal video guna Instagram


Facebook menambah video kepada aplikasi perkongsian gambar popular, Instagram berikutan perkembangan aplikasi perkongsian video milik Twitter, Vine.

Pengasas bersama Instagram, Kevin Systrom berkata, pengguna boleh merakam dan berkongsi klip 15 saat hanya dengan menyentuh ikon video dalam aplikasi terbabit.
Mereka juga boleh menggunakan suntingan kepada video untuk menambah kontras, sama ada menjadikan ia hitam putih atau warna lain.

Vine dilancarkan pada Januari lalu, mempunyai 13 juta pengguna dan membolehkan orang ramai membuat dan berkongsi klip video selama enam saat.

Instagram mempunyai 100 juta pengguna, meningkat 20 juta apabila Facebook membawa masuk syarikat itu lebih setahun lalu.