Pemergian Izzat dirasai

Abdul Hakim meletakkan tanah ke dalam liang lahad.

KUALA TERENGGANU – "Ibu…ibu…" itu rintihan terakhir yang diungkapkan Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, 17, ketika dipangku ayahnya, Mohd Abdul Hakim Embong, 47, sebelum beliau koma di Hospital Putrajaya, selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), lima hari lalu, lapor NORADILA MAHAMAD.

Bagaimanapun, setelah sekian lama bertarung nyawa, akhirnya, pelumba negara itu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kelmarin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, di sini jam 8.30 pagi, semalam.

Pagi sebelum mangsa meninggal dunia, ibunya, Norhaidah Mohd Noor, 44, sempat membeli sebuah diari untuk mencatatkan perkembangan anaknya itu, namun belum sempat dia menulis luahan hatinya, anak sulung daripada tiga beradik itu terlebih dahulu ‘pergi’ meninggalkannya.

Lebih menyedihkan, ketika menyambut hari ulang tahun kelahiran anaknya itu pada 3 September lalu, Muhammad Izzat meminta sebuah rumah sebagai hadiah.

Ayahnya, Abdul Hakim berkata, dia tidak menyangka hadiah yang dimintanya ketika itu petanda dia akan pergi meninggal mereka selamanya.

“Saya memang tidak menyangka hadiah sebuah rumah yang diminta ketika hari lahirnya, baru-baru ini, petanda dia akan meninggalkan kami.

“Apabila difikirkan kembali, mungkin inilah ‘rumah’ (kubur) yang dikatakan walaupun ketika itu dia meminta dalam nada bergurau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas jenazah selamat dikebumikan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan, Steven Ong berkata, kehilangan penunggang Ninja 250cc itu memang dirasai sebab dia memiliki bakat besar yang boleh dilatih.

“Izzat bukan setakat berpotensi tapi banyak kelebihan, berdisiplin, ikut arahan. Walaupun dia pendiam tetapi apabila membuat latihan dia begitu berdedikasi,” katanya.

Okada kagum kesungguhan Azlan

Okada (kanan) berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan Azlan.

SELEPAS mempamerkan prestasi baik dengan menamatkan saingan di tempat ke-24 pada aksi pertama saingan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia di San Marino, Azlan Shah Kamaruzaman kini lebih bersedia untuk menghadapi perlumbaan keduanya di Litar Aragon, Sepanyol, hujung minggu ini.

Sebaik perlumbaan di San Marino tamat, Azlan dan seluruh pasukan Honda Team Asia telah kembali ke pangkalan mereka, Litar Ales di Perancis dan di sana, Azlan melakukan pelbagai latihan kecergasan termasuk berlatih di litar motorcross bersama pemilik pasukan, Tadayuki Okada.

Selain itu, pasukannya turut mengatur dua hari sesi latihan di litar Ales bagi membolehkan Azlan menyesuaikan diri dan mendalami karakter jentera yang digunakannya.

Dalam satu temu bual selepas perlumbaan di San Marino, Okada menjelaskan dia cukup tertarik dengan gaya agresif yang ditunjukkan Azlan sepanjang perlumbaan pertamanya.

“Dia tidak mudah mengalah dan cepat berputus asa. Kami tahu perlumbaan pertama di San Marino cukup sukar buat Azlan. Dia begitu keletihan selepas menamatkan dua perlumbaan Kejuaraan Asia dan kemudiannya terpaksa mengharungi perjalanan yang panjang untuk ke San Marino.

"Pada masa sama, dia terpaksa belajar menyesuaikan diri dengan litar dan jenteranya namun ini semua tidak menjadi satu halangan kepada Azlan.

“Sewaktu perlumbaan akhir pula, Azlan merupakan antara pelumba yang paling kerap memintas pelumba di hadapannya. Dia mempunyai ciri-ciri seorang pelumba sejati dan berani,” jelas Okada.

Pelumba Siri MSS Muhammad Izzat meninggal dunia


KUALA LUMPUR - Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, lima hari selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
   
Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata pelumba berusia 17 tahun itu meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
   
Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat, yang beraksi dalam kelas 250cc, dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.
   
Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan serius di kepala manakala Muhammad Izzat, yang turut mengalami kecederaan parah, dihantar ke HKL.
   
Berikutan kemalangan itu, perlumbaan pusingan keempat MSS 2013 ditangguhkan.
   
Sementara itu, SIC ketika mengucapkan takziah, berkata pemergian Muhammad Izaat adalah satu kehilangan besar kepada sukan permotoran negara kerana anak muda itu menunjukkan potensi yang besar untuk menjadi pelumba hebat di masa depan.
   
"SIC berkongsi berita kesedihan mendalam ini dengan pemergian pelumba Piala Ninja SIC ini dan kami akan membantu urusan penghantaran jenazah melalui penerbangan ke kampung halamannya di Kuala Terengganu," kata SIC dalam kenyataan di sini.
   
Muhammad Izzat mengikuti Program 250 Piala Ninja SIC tahun ini dan berlumba secara aktif sejak 2006.
   
Program itu dimiliki oleh SIC dan disokong oleh Kawasaki.
   
Kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di Litar SIC selepas pelumba MotoGP, Marco Simoncelli, 24, terbunuh semasa perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia pada 23 Oktober, 2011. - Bernama

MotoGP: Rossi raih pendapatan tertinggi

Rossi muncul antara atlet yang terima pendapatan tertinggi.

VALENTINO Rossi tetap menerima pendapatan tertinggi dalam bidang MotoGP meskipun rela dipotong gajinya selepas memutuskan kembali ke pasukan Yamaha.

Menurut majalah Forbes, Rossi berada dalam senarai teratas daripada daftar atlet dengan pendapatan terbesar sebanyak RM69 juta.

Jumlah itu membolehkan Rossi berada pada posisi 51 atlet menerima bayaran tertinggi pada tahun ini.

Pelumba Itali itu juga muncul satu-satunya penunggang MotoGP yang berada di posisi 100 terbaik dunia.

Berbanding musim lalu, kedudukan Rossi merosot dan hanya terima RM94 juta semasa mewakili pasukan Ducati.

Pertemuan Barcelona FC, Harimau Malaya untung


PERLAWANAN persahabatan antarabangsa antara Barcelona FC dan Harimau Malaya pada 10 Ogos ini dijangka dapat menjana pendapatan RM115 juta kepada ekonomi negara.
 
Penganjur, Malaysia Major Events, dalam kenyataan hari ini, berkata perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dijangka menarik 80,000 penonton dengan lebih 8,000 peminat kelab gergasi Sepanyol itu di rantau ini.
 
Ia berkata acara itu bukan sahaja menampilkan aksi lagenda bola sepak tetapi juga tarikh diatur semasa sambutan Aidilfitri membolehkan pelawat asing didedahkan kepada kepelbagaian budaya Malaysia.
 
"Rakyat Malaysia dan bola sepak tidak dapat dipisahkan. Kami gembira untuk melihat kehebatan semangat bola sepak melanda negara ini dan kami akan terus membawa acara sukan mega ke sini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan pameran Malaysia (MyCEB), Zulkefli Sharif.
 
Malaysia Major Events merupakan cabang dalam MyCEB, iaitu agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. - Bernama