10 tahun raih semula kos bina jambatan

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang bernilai RM4.5 billion dijangka siap pada 
bulan September tahun depan.

Syarikat peroleh manfaat pembangunan Pulau Pinang

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menyasarkan mendapatkan semula kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berjumlah RM4.5 bilion dalam tempoh 10 tahun ia beroperasi.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ismail Mohamed Taib, berkata beliau positif bahawa kos pembinaan itu akan diperoleh semula dalam tempoh itu berikutan pembangunan rancak di kawasan sekitarnya.

" Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun," Dr Ismail Mohamed Taib, Pengarah Urusan JKSB

Beliau menjelaskan, kawasan Batu Kawan dan Balik Pulau akan mendapat manfaat dari Jabatan Pulau Pinang Kedua itu kerana aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan akan menjadi lebih fokus apabila siapnya jambatan itu.

“Kerajaan (Persekutuan) mahu pembangunan di negeri Pulau Pinang seimbang. Kini, ia bertumpu di sebelah utara, iaitu Georgetown dan Butterworth,” katanya.

Jambatan terpanjang

Jambatan itu, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau, apabila disiapkan menjelang September 2013, akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, dengan jarak atas air 16.9 kilometer (km).
Ia akan dibina untuk tahan gegaran seismik dan dapat menahan gempa bumi pada skala 8.2 Richter yang berpusat sejauh kira-kira 300km.

JKSB menyasarkan untuk mencapai kemajuan pembinaan 90 peratus menjelang akhir 2012 dan menjangka jambatan itu akan dibuka kepada orang awam menjelang November 2013, kata Ismail.

Katanya, JKSB menyandarkan kepada kutipan tol bagi pendapatan dan menjangka purata 25,000 pengguna menggunakan jambatan itu sehari.

“Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun,” katanya.

Sedang naik taraf

Ismail berkata, syarikat itu kini sedang menaik taraf Lebuhraya Tun Lim Chong Eu.

“Kami menjangka peningkatan trafik di jambatan baharu itu selepas kerja menaik taraf selesai. Pengguna jalan raya akan mendapatinya selesa untuk ke Georgetown.

“Pembangunan Kawasan Perindustrian Batu Kawan atau Bandar Cassia akan memanfaatkan jambatan dan kawasan itu,” katanya.

Mengenai kadar tolnya, Ismail berkata ia dijangka ditetapkan pada RM7.

“Dalam perjanjian konsesi, kami perlu memastikan tol jambatan itu dan Jambatan Pulau Pinang Pertama adalah sama,” katanya. - BERNAMA

10 pantai tercantik di dunia

SUASANA privasi dan terpencil menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Ocracoke.

BAGI kebanyakan orang di negara bermusim, percutian musim panas sering dikaitkan dengan satu perkataan iaitu pantai. Cabaran untuk mencari sesebuah pantai yang sempurna dan bertaraf dunia sememangnya mengujakan para pelancong sejak sekian lama.

Tentunya sukar untuk mencari jawapan yang tepat kerana ia bergantung kepada penilaian seseorang individu itu sendiri.

Mereka yang gemarkan suasana sunyi dan privasi lazim memilih kawasan pantai yang terpencil. Tidak kurang juga yang sukakan kawasan pantai yang sesak semata-mata mahu mencuri perhatian melalui fesyen pakaian mandi terkini mahupun bentuk tubuh yang ideal dan berotot.

Walau apapun alasannya, mencari sesebuah pantai yang sempurna bergantung kepada tiga 'resipi' asas iaitu cahaya matahari, pasir pantai dan panorama menakjubkan di sekitarnya.

Sama ada pantai yang terkenal atau tidak, privasi atau sesak, senarai ini sekurang-kurangnya memberi idea mengenai lokasi pantai popular dunia untuk rujukan percutian masing-masing.

Pantai La Minitas, Republik Dominica

Pantai yang terletak di Republik Dominica itu terkenal dengan kecantikan dan ketenangannya.

Bersih, jauh daripada sebarang pencemaran dan dikelilingi panorama indah, pengunjung pasti tidak akan menyesal sekiranya memilih republik itu sebagai destinasi percutian.

Pantai La Minitas hanya memakan masa 10 minit perjalanan dengan menggunakan bas shuttle. Ia merupakan lokasi terbaik bagi pengunjung yang suka berjemur dalam suasana privasi.

Biarpun kedudukannya agak terpencil, pengunjung tidak akan kelaparan kerana terdapat banyak restoran di sekelilingnya. Lebih menarik, terdapat perkhidmatan spa dan urutan yang ditawarkan di tepi pantai.

White Beach, Boracay, Filipina

Mempunyai pesisiran pantai yang halus memutih sepanjang lebih dua kilometer, White Beach atau Pantai Putih dianggap syurga bagi peminat-peminat aktiviti pantai di seluruh dunia.

Persekitarannya memukau dengan keaslian semula jadi yang tidak pernah terusik sejak 30 tahun lalu.

Dikelilingi perkampungan nelayan, ia menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang mahu merasai suasana percutian dalam iklim tropika.

Masa terbaik untuk berkunjung ke situ ialah ketika musim Amihan (monsun barat laut) bermula dari September hingga Jun. Ketika itu, suhunya agak sederhana dengan sedikit hujan dan angin sejuk yang lazim bertiup dari Timur.

DIKENALI sebagai Pantai Merah Santorini, lokasi istimewa ini menawarkan landskap dan 
panorama menakjubkan.

South Beach, Miami, Florida, Amerika Syarikat

Sejak sekian lama, South Beach menjadi pilihan pelancong yang mahu merasai imej mewah dan glamornya.

Bagaikan sebuah jenama yang tidak perlu diterjemahkan, pantai itu sesak dengan pengunjung yang mahu merasai budaya keriangan pantai ala Amerika. Selain itu, pantai tersebut menjadi tumpuan kerana kehadiran wanita-wanita seksi berpakaian mandi atau lelaki yang berotot sasa.

Dikelilingi ratusan hotel mewah, pusat membeli-belah, restoran dan kelab malam, ia menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan tanpa henti sehingga ke malam.

Sepanjang berada di situ juga pengunjung mungkin terserempak dengan selebriti Holywood kesayangan yang sedang memandu kereta mewah atau membeli-belah.

Pantai Merah Santorini, Akrotiri, Kepulauan Greece

Jika mahu menikmati percutian unik sambil menyaksikan landskap istimewa, Santorini Red Beach (Pantai Merah Santorini) berbaloi untuk dikunjungi.

Pertembungan warna biru air laut, rona merah daripada pasirnya yang halus dan puncak gunung berapi di sekelilingnya menghasilkan landskap unik dan tiada yang seumpamanya di dunia.

Biarpun kawasan pantainya agak kecil, namun ia sangat popular dan sering menjadi tumpuan pelancong untuk bersantai.

Perlu diingat, tiada sebarang kemudahan asas disediakan kecuali sebuah gerai yang menyewakan payung dan kerusi pantai. Anda perlu membawa makanan dan minuman sendiri sekiranya mahu berada di situ lebih lama.

Pantai Tulum, Mexico

Mexico sememangnya terkenal dengan keindahan bandar raya dan pantainya yang mempesona.

Terletak kira-kira 80 kilometer dari Cancun, Tulum terkenal sebagai kawasan yang menyimpan sejarah silam puak Maya satu ketika dahulu.

Di samping nilai sejarahnya yang hebat, ia juga memiliki pantai yang tidak kurang hebatnya, Pantai Tulum.

Pasir pantai yang halus memutih dan air laut yang jernih menjadi tarikan ideal bagi pelancong yang mahu berada jauh daripada kesesakan orang ramai dan hiruk-pikuk kota.

Pantai Arambol, Goa, India

Mudah untuk mengetahui mengapa Pantai Arambol yang terletak di wilayah Pernem, utara Goa, terus masyhur.

Mudah diakses dan terletak hanya satu jam pemanduan dari Lapangan Terbang Dabolim, Arambol yang terkenal dengan imej pasir berwarna kuning emas kekal sebagai antara rahsia yang masih belum diterokai sepenuhnya di India.

PANTAI yang bersih, jauh daripada pencemaran dan landskap tropika menghijau menjadi 
daya penarik di La Minitas, Republik Dominica.

Dikelilingi pokok-pokok palma dan kolam-kolam air tawar, ia menawarkan suasana percutian yang diidamkan oleh pelibur yang mencari ketenangan tropika.

Popularitinya telah menyebabkan pesisir pantainya meriah dengan binaan kafe dan restoran serta peniaga jalanan yang menjual pelbagai produk kraftangan.

Terdapat sebuah menara penyelamat pantai disediakan bagi menjami keselamatan pengunjung sepanjang berada di situ.

Pantai Teluk Hanalei, Kauai, Hawaii

Sekiranya suasana pantai dan landskap ala imej poskad menjadi syarat utama percutian anda pada masa hadapan, Hanalei Bay Beach (Pantai Teluk Hanalei) pasti tidak akan menghampakan.

Pantai teluknya yang berbentuk melengkung cukup indah dengan kehalusan pasir dan lautnya yang membiru.

Kehadiran air terjun serta gunung-ganang yang gah di sekelilingnya sudah cukup meletakkan Hanalei Bay Beach berada dalam kelas yang tersendiri.

Ia mungkin agak sesak terutama menjelang musim sejuk, bagaimanapun kelebihan yang ditawarkan pasti memberi kenangan manis yang sukar dilupakan.

Pulau Ocracoke, Carolina Utara, Amerika Syarikat

Sekiranya anda memilih percutian yang penuh privasi, sukar untuk menolak apa yang ditawarkan di Pulau Ocracoke.

Lokasinya yang agak terpencil membuatkan ia hanya dapat diakses menggunakan bot, feri atau kapal terbang persendirian.

Sepanjang bercuti di pulau itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati kedamaian suasana pantainya malah bebas daripada pengaruh teknologi moden pada hari ini.

Ya, Ocracoke tidak dilengkapi jaringan talian telefon atau internet, maka sepanjang tempoh percutian di situ anda terlepas daripada gangguan yang menyesakkan fikiran.

Pulau itu juga turut menempatkan perkuburan tentera-tentera British yang terbunuh sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu. Upacara peringatannya diadakan pada bulan Mei setiap tahun.

Pantai Ipanema, Rio de Janeiro, Brazil

PASIR pantai yang halus memutih menyebabkan White Beach menjadi idaman para 
penggemar aktiviti pantai di Filipina.

Terletak di selatan bandar raya Rio de Janeiro di antara Leblon dan Arpoador, Ipanema merupakan pantai yang popular di Brazil.

Sejak tahun 70-an lagi, namanya sering menjadi sebutan peminat-peminat aktiviti dari seluruh dunia.

Dikurniakan kawasan pantai yang luas, Ipanema Beach bukan sekadar lokasi bermandi-manda.

Ia juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai yang sememangnya sinonim di negara Latin itu.

Pada musim sejuk, ombaknya mampu mencecah ketinggian 0.3 meter sekali gus menjadi tumpuan dalam kalangan peluncur-peluncur ombak yang mahu menguji skil masing-masing.

Populariti yang diraihnya juga menyebabkan namanya diabadikan dalam judul lagu The Girl From Ipanema, karya Antonio Carlos Jobim dan Vinicius de Moraes.

Aroa, Aitutaki, Kepulauan Cook

Berbanding pulau-pulau kecil lain yang membentuk Kepulauan Cook pada hari ini, Pantai Aroa yang terletak di Pulau Aitutaki sememangnya layak digelar sebagai juara.

Suasana damai, tenang dan dikelilingi lagun unik berwarna biru firus, Aroa memiliki pantai yang hampir sempurna dengan kehijauan alam semula jadi.

Kejernihan air laut dan kekayaan terumbu karang dan hidupan laut yang masih terpelihara menyebabkan ia dianggap syurga bagi penggemar-penggemar aktiviti snorkeling dan menyelam.

Menawarkan suasana percutian iklim tropika, Aroa pastinya menjanjikan pengalaman romantis kepada sesiapa jua yang bertandang.

Fandi puas hati prestasi pemain

Pemain Kelab Johor Darul Takzim Daniel Guiza (kiri) cuba melepasi
pertahanan Woodlands Wellington, di Stadium Larkin, kelmarin.

Johor Bahru: Pelaburan lumayan Johor Darul Takzim mendapatkan khidmat pemain berstatus bintang menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mula membuahkan hasil.

Ini berikutan kemenangan besar skuad kendalian Fandi Ahmad apabila membelasah kelab Liga Singapura (Liga-S), Woodland Wellington 5-1 pada saingan Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, kelmarin.

Kejayaan itu memberi gambaran awal skuad yang bergelar Harimau Selatan itu harus digeruni dalam usaha memburu tiga kejuaraan - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.

Kelemahan dikesan

“Untuk keseluruhan aksi itu, saya berpuas hati,” kata pengendali skuad Johor darul Takzim, Fandi Ahmad.

“Cuma pada 10 hingga 15 minit perlawanan pada babak pertama, ada kelemahan dikesan apabila pemain hilang arah dan gagal mengumpan bola dengan tepat namun semua dapat diatasi selepas mereka mula menjiwai perlawanan itu.”

Fandi berkata, beliau sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama bagi memberi ruang kepada pemain muda membuktikan kesungguhan untuk berada dalam skuad utama dan apa yang mereka sajikan tidak mengecewakan.

Mengenai tugas Safiq Rahim, Fandi berkata pemain itu tampak lebih selesa apabila bergandingan dengan Ahmad Ezrie Sazali yang sering bertindak menyekat pergerakan lawan di kawasan tengah tatkala pemain tengah kebangsaan itu bebas melakukan gerakan tanpa perlu memikir untuk bertahan.

Apek-Leuniey bernikah hari ini

NUR EILUNIE menunjukkan kad majlis resepsi persandingannya dengan Khairul Fahmi di
rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat semalam.

KOTA BHARU – Selepas melalui pelbagai episod kontroversi, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, akan diijabkabulkan hari ini.

Majlis akad nikah Khairul Fahmi dan Nur Eilunie dijangka berlangsung di kediaman Nur Eilunie atau Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat pada pukul 10 pagi.

Nur Eilunie ketika ditemui semalam, mengakui berdebar menanti detik pernikahannya dengan Khairul Fahmi atau Apek itu.

“Semakin dekat hari pernikahan berlangsung, semakin berdebar hati ini. Saya rasa semua orang yang hendak berkahwin juga merasai debaran sebegini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Nur Eilunie turut memberitahu, dia sudah lebih seminggu tidak bersua dengan Apek dan hanya akan bertentang mata dengan jejaka itu pada hari pernikahan.

“Sejak lebih seminggu lalu, saya tidak berjumpa dengan Apek kerana Apek menjalani latihan bola sepak di Pulau Pinang. Doakan majlis perkahwinan kami berjalan lancar,” katanya.

Kosmo! 22 November lalu melaporkan Apek bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Leuniey pada 28 Disember ini pada majlis perkahwinan yang membabitkan kos RM300,000.

Mereka akan mengadakan tiga majlis iaitu majlis resepsi pengantin perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember diikuti persandingan di sebelah pengantin lelaki di rumah keluarga Apek di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari tahun depan.

Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang


JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel (gambar) disoal siasat pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.

Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.

Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja menuduhnya.

Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.

Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.

Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi