10 tahun raih semula kos bina jambatan

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang bernilai RM4.5 billion dijangka siap pada 
bulan September tahun depan.

Syarikat peroleh manfaat pembangunan Pulau Pinang

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menyasarkan mendapatkan semula kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berjumlah RM4.5 bilion dalam tempoh 10 tahun ia beroperasi.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ismail Mohamed Taib, berkata beliau positif bahawa kos pembinaan itu akan diperoleh semula dalam tempoh itu berikutan pembangunan rancak di kawasan sekitarnya.

" Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun," Dr Ismail Mohamed Taib, Pengarah Urusan JKSB

Beliau menjelaskan, kawasan Batu Kawan dan Balik Pulau akan mendapat manfaat dari Jabatan Pulau Pinang Kedua itu kerana aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan akan menjadi lebih fokus apabila siapnya jambatan itu.

“Kerajaan (Persekutuan) mahu pembangunan di negeri Pulau Pinang seimbang. Kini, ia bertumpu di sebelah utara, iaitu Georgetown dan Butterworth,” katanya.

Jambatan terpanjang

Jambatan itu, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau, apabila disiapkan menjelang September 2013, akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, dengan jarak atas air 16.9 kilometer (km).
Ia akan dibina untuk tahan gegaran seismik dan dapat menahan gempa bumi pada skala 8.2 Richter yang berpusat sejauh kira-kira 300km.

JKSB menyasarkan untuk mencapai kemajuan pembinaan 90 peratus menjelang akhir 2012 dan menjangka jambatan itu akan dibuka kepada orang awam menjelang November 2013, kata Ismail.

Katanya, JKSB menyandarkan kepada kutipan tol bagi pendapatan dan menjangka purata 25,000 pengguna menggunakan jambatan itu sehari.

“Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun,” katanya.

Sedang naik taraf

Ismail berkata, syarikat itu kini sedang menaik taraf Lebuhraya Tun Lim Chong Eu.

“Kami menjangka peningkatan trafik di jambatan baharu itu selepas kerja menaik taraf selesai. Pengguna jalan raya akan mendapatinya selesa untuk ke Georgetown.

“Pembangunan Kawasan Perindustrian Batu Kawan atau Bandar Cassia akan memanfaatkan jambatan dan kawasan itu,” katanya.

Mengenai kadar tolnya, Ismail berkata ia dijangka ditetapkan pada RM7.

“Dalam perjanjian konsesi, kami perlu memastikan tol jambatan itu dan Jambatan Pulau Pinang Pertama adalah sama,” katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment