Chong Wei juara Terbuka India, gelaran ketiga tahun ini

Aksi Lee Chong Wei

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei diuji dalam perlawanan akhir yang mendebarkan sebelum merangkul kejuaraan ketiga tahun ini - Siri Super Terbuka India dengan menundukkan pemain Jepun, Kenichi Tago di New Delhi, hari ini.

Selepas menang selesa dalam set pembukaan, Chong Wei tumpas di set kedua dan dipaksa mengharungi aksi mencemaskan di set ketiga.

Dia memenangi pertarungan sengit 21-15, 18-21 dan 21-17 dalam masa 63 minit.

Ini adalah kemenangan ketiga  Chong Wei sejak awal tahun ini.

Sebelum ini dia menjuarai Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia.

Dia juga merupakan juara Terbuka India 2011, tetapi gagal mempertahankannya tahun lepas.

Kejuaraan Motosikal Sepanyol: Hafizh kedua terpantas

Hafizh menyasarkan sekurang-kurangnya tangga ketiga keseluruhan musim ini.

PELUMBA Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah memberi petanda positif mampu mengharungi saingan musim kedua apabila berjaya mencatat masa kedua terpantas ketika sesi latihan bebas kategori Moto2 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol di Litar Catalunya, Sepanyol semalam.

Walaupun terpaksa beraksi di liar yang agak lembab dan berangin, Hafizh yang beralih ke jentera Kalex musim ini tetap berjaya mencatat masa terpantas 1:48.8s, menyamai catatan yang dilakukan pada sesi latihan bebas di litar sama, musim lalu.

Durian kita lebih sedap

Penduduk China me­ngakui durian dari Malaysia paling sedap untuk dimakan. Jadi bukan sesuatu menghairankan apabila permintaan produk durian sejuk beku sangat tinggi di negara itu, sekali gus memberi peluang besar bagi pengusaha untuk meluaskan pasaran.

Atas sebab itu kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meneroka pasaran lebih luas bagi durian sejuk beku di negara berkenaan.


Bagaimanapun, Ketua Pe­ngarah Pertanian, Datuk Mustafa Kamal Baharuddin berkata, proses mendapat kelulusan laluan pasaran bagi durian sejuk beku dari China bukan mudah kerana membabitkan pelbagai proses kelulusan yang rumit seperti analisis risiko perosak (PRA).

Hal ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk membekal­kan segala maklumat teknikal diperlukan Jabatan Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ) bagi melengkapkan PRA.

Katanya, hanya selepas tujuh tahun permohonan dikemukakan iaitu pada 2004 barulah kerajaan China membenarkan pengeksportan pertama yang dilakukan pada 2011 oleh FAMA Batu Kurau, Perak.

"Kejayaan mengeksport durian sejuk beku ke China bermula pada 23 November 2007, di mana pada tarikh itu MOA serta AQSIQ mencapai persetujuan berkaitan Protokol Pemeriksaan dan Kuarantin bagi Eksport Durian Sejuk Beku dari Malaysia ke China.

"Berdasarkan artikel dua protokol itu, semua ladang yang terbabit membekalkan durian untuk dieksport ke China perlu diselia MOA serta mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) dan Pengurusan Perosak Bersepadu (PPB)," katanya pada majlis penyampaian sijil akreditasi fasiliti memproses durian sejuk beku ke China di Wisma Tani, Put­rajaya, baru-baru ini.

Ketika ini, hanya enam pengusaha fasiliti memproses durian beku termasuk dua yang diusahakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Batu Kurau, Perak yang mendapat kelulusan pada 2011 manakala Jerantut, Pahang pada 2012.

Empat lagi fasiliti dikendalikan syarikat persendirian iaitu Topfruits Sdn Bhd, Batu Pahat, Johor; Lee Moon Sdn Bhd, Semenyih, Selangor; Hernan Corporation Sdn Bhd, Subang, Selangor dan ARTM Services Sdn Bhd, Melaka, mendapat kelulusan pada 2012.

Klon durian yang paling popular adalah D 24 dan D 197 atau lebih dikenali sebagai Moasan King.

Menurutnya, sehingga kini Jabatan Pertanian sudah mendaftar 49 ladang durian berkeluasan 486. 2 hektar di bawah Skim Amalan Ladang Baik (SALM) untuk eksport ke China.

Malah, bagi menjamin bekalan durian segar yang berkualiti dan berterusan, Jabatan Pertanian turut membangunkan Kluster Durian di Batu Kurau, Perak; Raub, Pahang dan Ledang/Tangkak, Johor.

Mustafa Kamal berkata, sebagai jaminan produk durian sejuk beku yang dihasilkan bersih dan selamat, artikel tiga dalam protokol mengkehendaki semua fasiliti memproses durian sejuk beku mengamalkan Amalan Pengilang Baik (APB) dan sijil ini diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

"Semua pengusaha yang ingin mengeks­port durian sejuk beku ke negara itu perlu membina fasiliti memproses mengikut keperluan ditetapkan AQSIQ dan ia perlu diperiksa sendiri pegawai AQSIQ sebelum kelulusan eksport diberikan," kata­nya.

Beliau berkata, pengeksportan durian sejuk beku yang laluan pasarannya diusahakan sendiri Jabatan Pertanian bertujuan meningkatkan pendapatan petani, pengeksport dan negara.

"Memproses durian secara sejuk beku dapat menjamin jangka hayat produk ini dengan kualiti lebih terjamin dan seragam.

"Di samping itu, masalah lambakan durian dapat diatasi kerana durian segar boleh diproses menjadi durian sejuk beku dan boleh disimpan dalam tempoh lama.

"Ia juga boleh dihantar ke negara lebih jauh seperti China dan Amerika Syarikat kerana cara pembungkusan akan mengurangkan bau yang boleh diterima oleh pengangkutan secara kargo, mengurang­kan kos pengangkutan dan boleh dijual dengan harga lebih tinggi," katanya.

Katanya, walaupun rasa durian beku mungkin kurang sedikit berbanding yang segar, kelebihan jangka hayat dan cara memakan yang betul tidak akan menyebabkan perbezaan yang ketara.

Malah katanya, pengek­sportan durian sejuk beku ke China adalah pemangkin kepada pengeksportan produk pertanian lain pada masa depan.

"Pemilihan negara itu sebagai pasaran utama kerana hubungan perdaga­ngan yang wujud di antara kedua-dua negara sejak zaman Kesultanan Melaka lagi.

"Hubungan baik yang sudah lama terjalin ini boleh digunakan untuk meningkatkan pengeksportan produk pertanian ke negara itu, malah populasi rakyat China yang berjumlah kira-kira 1.3 bilion dapat mening­katkan permintaan terhadap produk ini.

"Selain itu, penerimaan rakyat China terhadap buahan tropika seperti manggis dan nangka juga semakin meningkat," katanya.

Zulfahmi di tempat ketujuh


Zulfahmi Khairuddin terpaksa berpuas hati menduduki tempat ketujuh daripada 23 pelumba dalam Moto3 Grand Prix Amerika di Litar Americas, Austin, Amerika Syarikat.


Penunggang jentera KTM daripada pasukan Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 11 minit 36.682 saat untuk meraih sembilan mata sekali gus mengumpul 19 mata di tangga keenam keseluruhan selepas dua sirkit termasuk di Losail, Qatar.

Tiga tempat teratas Grand Prix Amerika di litar sepanjang 5,513 meter itu, dikuasai pelumba Sepanyol iaitu Alex Rins, Maverick Vinales dan Luis Salom.

Menurut laman web rasmi MotoGP, www.motogp.com perlumbaan itu dimulakan semula sebanyak lima pusingan selepas sebelumnya diberhentikan akibat kemalangan teruk yang menimpa pelumba dari Belanda, Jasper Iwema pada pusingan ke-12. - Utusan

Vettel teruskan rentak kemenangan

Grand Prix Bahrain melihat ulangan perlumbaan tahun 2012 apabila Sebastian Vettel, Kimi Raikkonen dan Romain Grosjean mencapai podium pada hari Ahad.


Vettel menikmati perlumbaan selesa selepas bergelar juara buat kali ke-28 di Bahrain.

Kemenangan kali kedua berturut-turut itu bermakna Vettel kini 10 mata di atas pemandu Lotus, Kimi Raikkonen.

Raikkonen sekali lagi hanya mendapat temat kedua seperti yang berlaku di
China tetapi kali ini ditemani rakan sepasukan, Romain Grosjean di podium.

Ramai menjangkakan Fernando Alonso akan menang di Bahrain selepas menang di China tetapi kelihatannya perlumbaan kali ini tidak mudah.