SEDIA menggegarkan Bukit Kiara Equestrian Park. Band rock otai tanah air termasuklah Lefhanded,
Rusty Blade, XPDCVsix, May dan Wings janjikan reunion rock terhebat tahun ini. |
BATTLE of The Band menjadi mercu tanda kepada gelombang muzik rock negara kira-kira 30 tahun lalu. Ketika itu, rock menjadi fenomena. Gaya rambut panjang potongan gondrong, seluar ketat berwarna-warni dan bercorak garang, paling popular motif kulit harimau bintang menghiasi poster-poster kumpulan rock terkenal dari dalam dan luar negara.
Barangkali itu zaman paling kaya gaya di Malaysia namun panorama seperti itu bakal berulang pada 20 Oktober ini. Bagi anak-anak muda yang membesar pada era milenium, fesyen ketat sendat dianggap ketinggalan zaman, namun bagi peminat muzik rock, penampilan seperti itu satu kebanggaan yang penuh nilai sentimental.
Minggu depan, bakal terukir sejarah dalam industri muzik tempatan apabila lima legenda rock bakal bergabung dalam sebuah festival yang bertempat di Bukit Kiara Equestrian Park. Bukan sahaja reunion kumpulan rock bahkan penyatuan kepada peminat-peminat rock itu sendiri.
Lima buah grup legenda dengan portfolio dan susunan lagu-lagu rock akan menggegar festival muzik yang diberi nama Malaysian Rock Fest 2012.
Wings, Lefthanded, XPDCVsix, May dan Rusty Blade akan mempersembahkan Peronda Jaket Biru (Wings), Tak Nak Jadi Soh Chai (XPDC), Jasa Tok Janggut (Rusty Blade), Sendiri (May) dan Semangat Lamina (Lefthanded). Mereka ini adalah tentera-tentera rock yang membikin empayar rock pada tahun 1970-an dan 1980-an dan akan mengembalikan ingatan khalayak terhadap zaman kegemilangan era Battle of The Bands.
Konsert yang bakal berlangsung bermula pukul 3.30 petang hingga 12 tengah malam itu diterbitkan oleh Zamberi Shaari atau lebih dikenali Bombay dari syarikat Bombay Worldwide manakala Solih Toha bertindak sebagai penerbit eksekutif daripada Red On Black Sdn. Bhd. selaku penganjur bersama.
Lebih menarik lagi, ini merupakan kemunculan semula grup Rusty Blade selepas 20 tahun tidak bersatu dalam konsert berskala besar. Semua itu untuk industri muzik rock serta mengembalikan nostalgia muzik rock kepada para peminat genre tersebut.
SENSASI BINTANG: Selera muzik sudah banyak berubah namun apa rahsia genre rock masih terus beraja dalam hati peminat?
YANTZEN (Y:) Zaman dahulu, pemuda-pemudi yang dengar muzik kami. Muzik yang sampai ke jiwa mereka. Apabila dewasa dengan pelbagai jenis pekerjaan, mereka masih mendengar genre rock dengan lagu yang sesuai dengan mereka. Saya sendiri kagum kerana masih diundang seperti dahulu untuk membuat persembahan pentas.
NASH (N): Bagi saya, rock itu bersifat universal. Malah pepatah Inggeris juga menyebut 'rock will never die or fade.' Kalau ditanya kenapa, ini adalah kerana alunan dalam muzik rock yang keras itu ada kelembutan. Dalam keras ada maksudnya. Dalam muzik rock, luahan cinta adalah lebih mendalam dan simbolik. Itu yang melekat di jiwa para peminat baik antarabangsa atau tempatan. Contohnya lagu Stairway To Heaven, jelas menunjukkan keunggulan cinta yang mendalam. Pendengar bukan hanya mendengar muzik tetapi juga menghayati lirik dan maksud.
ALI (A): Saya sependapat dengan Nash bahawa rock will never die. Walaupun ada lagu yang berentak laju dan keras namun itu sebenarnya adalah pembakar semangat. Ada juga lagi yang perlahan rentaknya rock itu versatil dan boleh diterima.
MUS (M): Rock mempunyai banyak cabang dengan genre yang pelbagai. Sampai bila-bila pun tidak akan habis.
Apa teknik untuk meremajakan semula rock dalam konsert yang bakal berlangsung Sabtu depan?
M: Setiap persembahan yang kami lakukan tidak akan sama. Mungkin rasa dan penampilan selama ini masih kekal, tetapi setiap persembahan pasti dilakukan dengan pembaharuan. Dalam Malaysia Rock Festival, kami mempunyai konsep persembahan yang dirancangkan dan ditetapkan oleh Bombay dan Solih sebagai penganjur. Kami akan penuhi konsep tersebut.
USIK-MENGUSIK sesama sendiri menjadi sesi wajib para vokalis rock ini setiap kali bertemu atau
berada di belakang pentas.
|
A: Kalau sebut penyegaran, pertama sekali, kali ini saya tampil bersama Lola, Izo, Yan, Eli. Izo sendiri akan muncul bersama anaknya Arif, selaku pemain gitar sebagai grup XPDCVsix. Setiap grup akan memainkan lagu saduran dan akan bertukar penyanyi dengan grup yang berlainan. Akan ada kolaborasi secara santai dan tidak formal.
N: Harus diingat bahawa ini adalah masa untuk membuat persembahan dan bukan sebuah pertandingan. Ini adalah persembahan secara famili. Sebuah reunion rock band bersama para peminat.
Y: Anak muda sekarang mungkin hafal lagu kami tetapi tidak mengenali grup atau anggotanya. Inilah masanya untuk mereka melihat grup ini beraksi di pentas. Peluang buat generasi baru mengenali grup-grup ini.
Bagaimana pula dari segi stamina dan vokal?
M: Stamina cemerlang. Kami akan persembahkan sebaik mungkin.
A: Semua sihat dan stamina masih ada. Kami mengadakan latihan yang secukupnya.
Y: Setiap anggota grup kena bersedia dengan stamina secukupnya kerana kita akan mainkan lebih 10 lagu. Hakikatnya permainan kami tidaklah sekeras atau menyanyi setinggi dahulu, boleh minta nyawa kalau sebegitu. Selain berlatih, saya melakukan senaman dengan berenang dan tidur yang cukup.
N: Saya bersyukur kerana masih banyak dengan persembahan pentas. Jadi, rutin itu sudah menjadi latihan harian bagi saya. Tidak ada masalah.
Biasanya kalau sesekali berkumpul ramai-ramai, apa yang dibualkan?
Y: Kami suka buat kelakar secara spontan. Seronok bila boleh melawak-lawak.
A: Cerita pasal Nash dengan seluar biru dia dan rambut yang kerinting.
N: Mereka ini semua junior bagi saya, saya tidak hidup zaman mereka. Tetapi mereka hidup zaman saya.
Mungkin boleh kongsi cerita dan kenangan zaman rock dahulu?
N: Bloodshed, Rahim Maarof, SYJ, Ella, Lefthanded adalah pencetus muzik rock dan itu senarai band pertama dalam Battle Of The Band (BOTB). Kami berkongsi banyak cerita antara kehebatan Ali Bakar sebagai orang yang mempunyai banyak jasa terhadap muzik rock yang tidak boleh dilupakan. Masa zaman BOTB dahulu kami naik satu bas ke setiap negeri untuk membuat persembahan. Dari Perlis ke Johor dan para peminat memang menunggu kedatangan kami. Malah bas kami digegarkan oleh peminat. Siap ada FRU yang bantu untuk jaga konsert kami. Dahulu, kalau cakap 35,000 orang yang datang, itu dikira sedikit. Peminat dapat dilihat sejauh mata memandang. Banyak kenangan dan terima kasih kepada pihak Warnada Records yang telah membuat album BOTB.
Y: Kalau lihat daripada segi sokongan dan BOTB, muzik rock melonjak naik. Dahulu kita ada Search, Wings, Lefthanded dan ramai lagi. Peminat datang untuk berhibur kerana rock sangat diminati. Itu genre yang mereka inginkan.
A: Masa BOTB, saya masih sekolah lagi dan ada pergi menyaksikan. Kalau imbas balik kenangan zaman rock, saya dan XPDC bergabung pada akhir 1990-an. Ke mana sahaja kami pergi, peminat ramai dan dipanggil King of Fun Fair. Persembahan paling meletup adalah di Stadium Shah Alam. Malah kami merupakan grup rock metal pertama yang mengadakan persembahan di Brunei. Ini yang mahu dikembalikan pada malam Malaysia Rock Festival nanti, sebuah reunion beramai-ramai.
Empat vokalis ternama, Nash, Mus, Ali, Yantzen dan Awie
(tiada dalam gambar) menjanjikan konsert rock penuh kenangan dalam Malaysian Rock Fest 2012. |
Y: Dahulu, pemuzik banyak bertanya kepada pemuzik atau orang lama. Tetapi sekarang, grup banyak keluar dengan lagu yang sangat asas dan santai. Dahulu kami pecah kepala untuk membikin atau mencari sebuah lagu. Kami ada identiti sendiri dan skil dalam muzik. Sekarang saya tidak nampak sangat.
M: Band rock dulu-dulu banyak yang bikin album sendiri, bila lagu jadi hit, itulah tanda dagang kepada kumpulan berkenaan.
A: Mereka ada bakat tersendiri tetapi banyak juga yang bergantung kepada rekod label. Itu antara faktor yang membuatkan bunyi muzik mereka seakan-akan sama dan sealiran. Sepatutnya yang ada identiti, teruskan dengan perjuangan mereka.
N: Paling penting, band baharu sekarang kena ada sentuhan peribadi. Mereka kena fokus kepada skil dan vokal, bila kerja sudah menjadi barulah peminat nampak. Saya nampak, susah untuk cari muzik yang benar-benar melekat. Aliran yang sama itu ada pada setiap band.
0 comments:
Post a Comment