Gelagat tunggu hari kiamat

BEBERAPA buah kenderaan polis menuju ke Gunung Pic de Bugarach di pekan Bugarach,
selatan Perancis kelmarin. - REUTERS

BEIJING - China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.

Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.

Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.

Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.

Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.

Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya.

Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.

Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini.

Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut.

BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan 
era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. - Agensi

Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut.

Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.

Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat.

Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.

Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi.

"Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi," katanya.

Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: "Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?"

Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini.

Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.

Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.

Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. - Agensi

0 comments:

Post a Comment