VETTEL berkemungkinan hilang status selaku juara dunia yang dimenangi pada perlumbaan
F1 musim ini.
|
LONDON - Pemandu Red Bull Racing, Sebastian Vettel menegaskan bahawa dia tidak bimbang kemungkinan hilang status selaku juara dunia yang dimenangi pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Vettel berada dalam situasi tidak menentu selepas Ferrari membuat bantahan kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengenai cara pemanduannya pada Grand Prix (GP) Brazil, 25 November lalu.
Tiga hari selepas Vettel dinobatkan sebagai juara dunia termuda yang merangkul gelaran hatrik pada perlumbaan terakhir di Litar Interlagos, Ferrari mendesak FIA mengkaji cara Vettel memintas Jean-Eric Vergne pada pusingan keempat ketika bendera kuning dikibarkan.
Gelaran juara dunia yang diraih tahun ini mungkin akan bertukar tangan sekiranya insiden tersebut tidak mengikuti peraturan.
Begitupun, pemandu kelahiran Jerman itu mengakui dia tidak gentar jika kejuaraan yang diperoleh tahun ini akan ditarik semula.
"Secara jujur, saya tidak pernah mengelak daripada kesalahan yang telah kami lakukan.
"Walaupun ia merupakan perlumbaan yang bermakna. Saya pasti bahawa saya telah melihat semua bendera dan warna yang dikibarkan.
"Saya juga mendapat maklumat Ferrari cuba melakukan sesuatu selepas Christian Horner memberitahu saya bahawa mereka tidak suka dengan keputusan perlumbaan.
"Selepas FIA memeriksa setiap 'inci' daripada rakaman perlumbaan, mereka mengesahkan ia mengikuti peraturan tetapi percaya atau tidak, saya tahu pergerakkan saya memang tidak menyalahi peraturan," jelas Vettel.
Setelah terlibat dalam pelanggaran pada pusingan awal, Vettel mengakui insiden tersebut menyedarkannya untuk memberikan fokus sehingga melepasi garisan penamat.
"Ia perlumbaan yang mendebarkan kerana saya sendiri sukar untuk jangkakan situasi pada setiap selekoh. Jadi saya tidak pernah terlepas pandang terutamanya perkara-perkara yang penting.
"Saya kini sudah semakin faham. Pencapaian yang dilakukan pada 2012, khususnya di Brazil mengajar saya mengenai kepentingan setiap mata yang saya pernah raih sebelum ini," kata Vettel. - Agensi
0 comments:
Post a Comment