Neo R3 dilengkapi aksesori sporty

BERGAYA...Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza (dua dari kanan) 
dan Khamil (kanan) selepas majlis pelancaran Proton Satria Neo R3 di Shah Alam, semalam.

PROTON Holdings Bhd menyasar jualan 250 unit sebulan bagi model terbarunya, Proton Satria Neo R3 (Race, Rally, Research) yang dipertingkatkan dari model Satria Neo CPS.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohd Khamil Jamil berkata, model terbaru itu dilengkapi dengan kit badan dipertingkatkan dan eksklusif serta aksesori R3 yang lebih sporty dan dinamik.

“Satria Neo model popular Proton dan ikonik yang mendapat kejayaan luar biasa di arena sukan bermotor. Dengan pengenalan model R3 kepada pengguna, kami menawarkan model yang sudah diuji selain dilengkapi sepenuhnya aksesori kit R3 yang lebih segar dengan gaya sporty,” katanya pada majlis pelancarannya di Pusat Kecemerlangan Proton di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kewangan, Strategi dan Perancangan DRB-Hicom, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Holdings, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan ialah RM61,250 bagi transmisi manual manakala RM64,250 bagi transmisi automatik dengan yuran tempahan RM300 saja.

0 comments:

Post a Comment