Wajib menang, habis cerita

HARIMAU Malaya wajib menang pada aksi menentang Indonesia esok jika mahu layak ke 
separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.

Itu misi ‘hidup dan mati’ Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Atas kertas, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal masih berpeluang mara ke separuh akhir sekiranya sekadar melakar keputusan seri, itu pun jika Laos berjaya mengejutkan Singapura dalam satu lagi aksi terakhir kumpulan di Stadium Shah Alam yang bakal berlangsung serentak malam esok.

Ini kerana jumlah perbezaan jaringan masih berpihak kepada Harimau Malaya yang kini berkongsi tiga mata dengan Singapura, satu mata di belakang Indonesia manakala Laos pula hanya mengutip satu mata.

Harapan skuad negara muncul juara kumpulan bagi mengelak bertemu Thailand dalam saingan separuh akhir nanti juga masih ada jika berjaya mengatasi Indonesia malam esok dengan syarat Singapura tersungkur di Shah Alam.

Namun, ia sesuatu yang agak mustahil lantaran Singapura pastinya enggan memperjudikan nasib ketika berdepan dengan Laos nanti bagi memastikan mereka juga layak ke separuh akhir.

Pada masa sama, kepantasan jentera serangan Laos yang diterajui Keoviengpheth Lithideth, Soukaphone Vongchiengkham dan Khampheng Sayavutthi ketika melakukan serangan kilat malam kelmarin juga sering kali ‘melemaskan’ benteng pertahanan negara yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohamad Fadhli Shas.

Jika aksi kurang meyakinkan itu yang ditunjukkan Harimau Malaya ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok, tidak mustahil ‘malapetaka’ bakal menanti mereka.

Ini kerana Sang Garuda dilihat memiliki pemain yang jauh lebih pantas seperti Andik Vermansah dan Oktavianus Maniani seperti mana yang dibuktikan mereka ketika mengejutkan Singapura 1-0 dalam satu lagi aksi kumpulan kelmarin.

Analisisnya mudah. Harimau Malaya dilihat senang kehilangan fokus apabila terlalu ghairah menyerang selain mempamerkan persembahan yang ‘tidak masuk akal’ apabila gagal memecah kebuntuan mahupun ketika ketinggalan kepada lawan.

Jadi, hanya kemenangan mampu menjamin slot Harimau Malaya ke separuh akhir berbanding bergantung kepada tuah di atas kertas semata-mata.

Malaysia sewajarnya sedar hanya kemenangan ke atas Indonesia yang mampu memastikan peluang mara ke separuh akhir sebelum boleh berkira-kira sama ada mampu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 kali ini.

Lebih baik Malaysia belasah Indonesia terlebih dahulu sebelum mencongak lawan pada separuh akhir nanti.

Bukan apa, pemain dan Rajagobal sepatutnya lebih arif betapa kegembiraan peminat selepas Malaysia mengatasi Laos malam kelmarin hanyalah bersifat sementara.

Misi Harimau Malaya belum selesai. Maruah yang tercalar sebelum ini hanya boleh ditebus apabila berjaya menewaskan Sang Garuda.

0 comments:

Post a Comment