![]() |
EPISOD penting pengunduran Tun Dr. Mahathir dari kerusi penting UMNO menjadi klimaks cerita. |
BERMAIN watak negarawan yang masih hidup di atas pentas teater mengundang banyak risiko. Di sebalik hakikat Teater Tun Siti Hasmah yang kini berbaki satu pementasan sebelum melabuhkan tirai, kesungguhan produksi bernilai hampir RM2 juta itu sudah dipamerkan kepada khalayak.
Teater itu berisi babak lakonan berselang tarian dan nyanyian yang dikutip daripada keratan akhbar dan video arkib. Namun perjalanan seorang negarawan itu masih gagal diceritakan dalam tempoh hanya dua jam.
Kehidupan negarawan itu diintip hidupnya dari awal usia dewasa, bermain cinta, menjadi doktor wanita Melayu kedua, berkahwin kemudian bertugas di luar kota dan seterusnya mula berdepan sang suami Tun Dr. Mahathir Mohamad dari awal bergelumang politik hingga zaman bersara yang tidak henti berbakti untuk rakyat. Semua itu dipersembahkan dalam plot yang mengikut putaran jam.
Putaran jam di tangan juga kerap dikerling sebagai riak kepada penantian untuk sampai titik pengakhiran. Jujurnya, reaksi sebegitu tidak berlaku dalam karya Badai Semalam, arahan Erma Fatima di pentas yang sama sebelum ini.
Tidak mahu mempertikaikan isi plot yang ditampilkan atas rasional kehidupan seorang negarawan, bahkan isteri kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sangat disanjungi dan disayangi negara namun secara teknikalnya, belanja lebih RM2 juta untuk wajah teater yang seperti itu rasanya terlalu mahal.
Menonton teater Tun Siti Hasmah, kemegahan set, kostum, prop, efek lampu atau montaj yang sebagai nilai tambah kepada mutu sebuah teater biografi bertaraf mega seperti tidak begitu ketara. Ia banyak diselamatkan oleh keyakinan daripada jiwa dan rasa daripada mata serta kejelasan dari telinga terhadap penghayatan dan kerja kuat pelakon-pelakon terbabit. Tepukan gemuruh untuk Dr. Siti Hasmah yang ditangani penuh keibuan, kesantunan dan kelembutan seorang wanita srikandi negara oleh Eja.
Tidak lengkap Siti Hasmah tanpa kekasih yang diturunkan dari langit untuknya, pemimpin ulung negara Dr. Mahathir yang dihadam secukup rasa oleh Esma Daniel.
Tanpa meninggalkan sumbangan Lisa Surihani sebagai Siti Hasmah pada usia muda dan Nazim Othman selaku Dr. Mahathir muda, persembahan Lisa dan Nazim ibarat zaman manis kepada kelat-maung dua tokoh itu.
Benarlah mencari kesilapan itu lebih mudah daripada mendalami kekuatan sesebuah naskhah. Salah percaturan atau sudah tidak menang tangan membuat pemilihan pelakon membuatkan watak ibu kepada Siti Hasmah, lakonan salah seorang artis Istana Budaya menjadi watak itu sekadar ada.
Teater Tun Siti Hasmah - Dari Hati Seorang Perempuan; dari segi fokusnya, ia masih mencapai sasaran penulis skrip. Sekadar memasukkan babak yang dikira penting sehingga kekuatan hatinya teruji; pertama ketika suaminya dituduh miliki skandal dengan wanita lain dan kedua ketika berdepan risiko hidup dan mati untuk pembedahan jantung yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur, tidak terkecuali pengalaman bertugas di ceruk kampung, sebenarnya banyak lagi kisah hidup Siti Hasmah tidak diberi perhatian. Tidak harus dilupakan, episod klimaks pengunduran Dr. Mahathir sebagai presiden UMNO dan pucuk pimpinan negara juga episod penting untuk membuka rahsia antara Siti Hasmah dan Dr. Mahathir selama ini. Sesungguhnya, apa yang dipaparkan hanyalah secebis daripada garis hidup Siti Hasmah yang tidak terbayang oleh kita semua.
Monolog akhir yang diletuskan daripada jiwa teguh rasa oleh Eja, 'bermadu dengan wanita sakitnya sampai ke lulur hati, tapi saya bermadu dengan rakyat, ada sakit, ada nikmat' di hujung cerita, bagaimanapun sangat merentap jiwa. Ia jelas membayangkan reda dan ikhlasnya wanita bernama Siti Hasmah Mohamad Ali itu. Dia menemani dan menjadi pendamping yang setia di sisi sang suaminya yang dimiliki oleh rakyat tanpa sekatan usia.
Terima kasih naskhah teater Tun Siti Hasmah atas sebuah kisah wanita ikonik, isteri, ibu dan srikandi negara yang tumbuh berwarna depan mata!
0 comments:
Post a Comment