Selesa solo

Gitar terus sinonim dengan Sham Kamikaze biarpun kini bergelar pendakwah.

PELBAGAI kisah panas muncul saat dia memulakan penghijrahan. Selain dianggap terlalu taksub dengan penghijrahannya itu, dia juga terpalit kontroversi kononnya menduakan isteri.

Tanpa mahu mengulas panjang mengenai hal-hal dalaman dan isu rumah tangga, akhirnya cerita-cerita panas itu menjadi dingin.

Dan kini selepas setahun kembali solo setelah bercerai dengan isterinya, Farazila Abdul Jabar pada 1 September tahun lepas, Sham Kamikaze memberitahu, matlamatnya kini hanya satu iaitu mahu berdakwah.

Soal hati dan perasaan, tolak ke tepi dahulu, katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Farazila pada 17 Ogos 2008.

Bekas pemain gitar kumpulan Kamikaze itu mengakui bahawa kini dia lebih senang bersendirian malah masih belum terfikir untuk mencari suri baru.

Tetap dengan pendirian - tidak mahu memberi ulasan perihal peribadi - kata Sham atau nama sebenarnya Shamril Mohd. Salleh:

"Semua soalan (tentang kontroversi yang melanda) sudah saya jawab sebelum ini. Kalau 10 kali tanya dari sekarang pun jawapan saya tetap sama."

Malah akui Sham ketika ditemui selepas menjadi tetamu pada segmen Bicara Hijrah di Masjid Az-Zubair Al-Awwam, Cheras, Kuala Lumpur sempena sambutan Maal Hijrah anjuran Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah, baru-baru ini:

"Tidak ada pengganti baru atau wanita kedua dalam kehidupan saya. Tidak buat masa ini. Ketika ini matlamat saya hanya satu, iaitu berdakwah.

"Soal jodoh, biar takdir yang menentukan," katanya berterus terang.

Sibuk berceramah

Tenang dengan apa yang dilaluinya hari ini, Sham memberitahu, kehidupannya kini berpusing 360 darjah dari sebelumnya.

Menurut lelaki berusia 36 tahun ini, apa yang dilalui kini berbeza seratus peratus berbanding ketika aktif sebagai pemuzik kerana sekarang orang lebih mengenalinya sebagai pendakwah bebas.

Malah akuinya, dalam seminggu, tidak ada sehari pun dia dapat beristirehat di rumah kerana setiap hari dia memenuhi undangan untuk berceramah kepada orang ramai menerusi majlis ilmu yang diadakan di sekitar ibu kota mahu pun di seluruh Malaysia.

"Buat masa sekarang saya adalah pendakwah sepenuh masa. Alhamdulillah, setiap hari ada sahaja undangan daripada pelbagai pihak.

"Rezeki memang tidak pernah putus. Biarpun sikit tapi saya gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai. Ini jalan yang saya pilih," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri kumpulan Raihan dan Al-Maulid, Sham turut memetik gitar memperdengarkan lagu Padamu Ku Bersujud yang dipopularkan penyanyi Afgan.

Kata Sham, biarpun sering memberi ceramah namun pada waktu yang sama dia juga masih lagi belajar untuk memperbaiki diri daripada pelbagai guru agama.

"Saya sendiri masih belajar kerana saya bukanlah ustaz tapi baru nak start (bermula). Moga-moga apa yang dikongsi ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada kita semua.

"Dulu sewaktu di zaman 'jahiliah', saya tidak pernah ambil tahu apa itu Maal Hijrah selain dari hari untuk bercuti.

"Sekarang ini, baru faham dan mengerti maksud hijrah. Rupa-rupanya bukan mudah untuk berhijrah jika tidak disertakan dengan niat," cerita Sham tentang pengalamannya sewaktu aktif dalam bidang hiburan.

Jelasnya, selepas mengerti maksud hijrah iaitu meninggalkan perbuatan yang dibenci Allah maka jiwanya kini lebih tenang berbanding dulu yang hanya memberikan perhatian pada urusan duniawi.

Sham memberitahu, kesibukan menghadiri majlis ilmu juga tidak menghalangnya untuk mengadakan usrah di kediamannya pada setiap minggu.

"Usrah tertutup ini dibuat untuk rakan-rakan yang ingin mendalami ilmu. Ada juga rakan-rakan artis yang menyertainya dan setiap minggu, topik berbeza dibincangkan.

"Saya tidak buka pada umum kerana usrah ini untuk rakan-rakan yang mungkin malu untuk menghadiri majlis terbuka kerana dikenali. Apa pun majlis perkongsian ilmu ini banyak membantu saya dan rakan-rakan," katanya.

0 comments:

Post a Comment