Singa buru bekalan selesa

BARISAN pemain Singapura tidak rela dirobek Filipina pada aksi separuh akhir pertama Piala
Suzuki AFF hari ini.

JUARA tiga kali, Singapura memburu bekalan selesa ketika berdepan Filipina pada separuh akhir pertama kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Memorial Rizal, Manila malam ini.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam saingan peringkat kumpulan pada kempen dua tahun lalu.

Ia menyebabkan Singapura tersingkir di peringkat kumpulan apabila sekadar mengutip empat mata, satu mata di belakang Filipina yang mengiringi Vietnam yang muncul juara kumpulan dengan enam mata.

Ketika itu, Singapura terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Aleksandar Duric pada minit ke-65 sebelum penyerang Filipina, Christopher Greatwich menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Pada kempen kali ini, The Azkals juga dilihat cukup garang apabila meledak gol pada penghujung babak kedua sepanjang tiga perlawanan peringkat Kumpulan A.

Namun jurulatih Singapura, Radojko Avramovic tetap tidak gentar walaupun Filipina dilihat garang pada saingan peringkat kumpulan.

“Kami lebih memikirkan bagaimana untuk menjaringkan gol,” katanya ringkas kepada portal Singapura, The New Paper semalam.

Apa yang pasti, kata-kata Avramovic itu dilihat membayangkan corak serangan yang bakal diamalkan Singapura malam ini dalam usaha memburu bekalan selesa sebelum kembali berdepan Filipina di Stadium Jalan Besar, Rabu depan.

Peraturan gol di tempat lawan juga menjadi detik penentu Singapura mara ke final kali ini selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 2007 sebaik mengatasi Thailand menerusi agregat 3-2.

0 comments:

Post a Comment