![]() |
ROZALIMAN antara pelumba negara yang tampil hebat pada sesi kelayakan semalam. |
FAKTOR litar serta kekurangan pengalaman menjadi penghalang buat pelumba negara untuk memulakan perlumbaan akhir dalam kelompok hadapan pada saingan Piala Yamaha ASEAN yang sedang berlangsung di Manila, Filipina.
Menurut pelumba paling berpengalaman dalam pasukan Yamaha Malaysia, Mohd. Taufiq Roslan, semua pelumba negara telah mempamerkan aksi terbaik namun masih belum berupaya untuk menandingi kehandalan pelumba Indonesia dan Thailand.
"Kami bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan litar kerana ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan litar di Malaysia.
"Mereka menggunakan permukaan daripada jenis simen konkrit dan bukannya tar seperti perlumbaan Cub Prix," kata Taufiq.
Katanya, keadaan tersebut sangat mencabar malah terlalu asing bagi mereka.
"Situasi ini berbeza dengan pelumba Indonesia, Thailand dan juga tuan rumah, Filipina kerana kebanyakan perlumbaan mereka turut dijalankan di litar seperti ini.
"Di situ mereka sudah mempunyai banyak kelebihan berbanding kami," jelas Taufiq yang beraksi dalam kategori Transmisi Manual bersama empat lagi pelumba, Mohd. Shariffuddin Shamsuddin, Ahmad Afif Amran, Zulsyafiz Rosli dan Mohd. Hafiz Nor Azman.
Dalam pada itu, Taufiq berkata, dia tidak kecewa tetapi tetap berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan rakan sepasukannya.
"Kami telah menunjukkan peningkatan ketara berbanding sesi latihan bebas pertama, semalam (kelmarin). Jika dibandingkan dengan catatan masa terbaik, secara keseluruhannya catatan kami sekadar satu atau dua saat sahaja ketinggalan kepada pelumba terbaik berbanding ketinggalan antara tiga hingga ke empat saat sebelum ini.
"Selain pelumba Indonesia dan Thailand, Filipina juga menjadi ancaman."
0 comments:
Post a Comment