WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu. |
LOS ANGELES: Kematian Whitney Houston pada Februari lalu bukan disebabkan lemas dalam tab mandi di sebuah bilik hotel, sebaliknya dia dibunuh pengedar dadah.
Seorang penyiasat persendirian mendakwa, satu salinan video daripada kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Whitney dibunuh kerana berhutang kepada pengedar dadah.
Menurut Paul Huebl, bukti berkenaan sudah diserahkan kepada agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Penyiasat perubatan sebelum ini mengesahkan, Whitney mati kerana lemas dalam tab mandi selepas mengambil pelbagai jenis dadah serta ubat-ubatan.
Akhbar tabloid National Enquirer melaporkan, Huebl yakin Whitney menjadi sasaran beberapa “pengedar dadah digeruni” yang menghantar samseng bagi memungut hutang penyanyi bermasalah itu.
Sesetengah laporan menyatakan, Whitney menanggung hutang sehingga AS$1.5 juta (RM4.6 juta) daripada pengedah dadah. Bagaimanapun, Huebl berkata, dia tidak tahu secara pasti bahawa Whitney dibunuh, sebaliknya bukti yang dikumpulnya membayangkan penyanyi itu memang menjadi mangsa penjenayah.
“Whitney menerima kokain daripada pengedar dadah di bilik hotelnya di Beverly Hilton sehari sebelum dia ditemui mati,” katanya.
Menurut Huebl, daripada rakaman video itu dapat didengar Whitney merungut dengan berkata: “Aku bosan dengan segala benda mengarut ini!” Sebelum itu, kata Huebl, Whitney memang menjadi sasaran gangguan pengedar dadah yang menuntut supaya hutangnya dilangsaikan.
Huebl mendakwa, dia menerima salinan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali pergi ke Hotel Beverly Hilton berkali-kali dan bergaul dengan anggota rombongan Whitney.
“Ada kemungkinan dua lelaki terbabit menyelinap masuk ke bilik hotel Whitney dan membunuhnya,” katanya.
Huebl juga tidak bersetuju dengan keputusan Koroner Daerah Los Angeles yang memutuskan kematian Whitney disebabkan “kemalangan.” Kata Huebl, tubuh Whitney menunjukkan ada kesan kecederaan mempertahankan diri yang mungkin berlaku ketika dia bergelut cuba menyelamatkan diri.
“Namun, kesan pada tangan dan kuku itu mungkin berlaku akibat kejadian lain.
“Saya cuma mengesyaki ia adalah kecederaan kerana mempertahankan diri,” katanya.
Huebl, bekas anggota polis Chicago yang menjadi pelakon selepas bersara mendakwa melakukan siasatan selepas diupah seorang pelanggan. Huebl enggan menyatakan siapa pelanggannya itu. - DM
0 comments:
Post a Comment