Kesatuan dan semangat rakyat teguh menyokong perjuangan anggota pasukan keselamatan menentang pengganas Sulu yang menceroboh Sabah, dizahirkan melalui khutbah Jumaat di semua masjid di seluruh negara semalam, sebelum diikuti solat sunat hajat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menunaikan solat Jumaat di Surau Ar Rahman, Ladang Barat, Pulau Carey, dekat Banting, Selangor, bersama kira-kira 500 jemaah turut mengaminkan doa ketika khutbah disampaikan imam, Muhammad Md Kasim, 65, yang menyentuh pertempuran di Lahad Datu yang mengorbankan lapan wira negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah di Masjid Kariah Kampung Paya, Port Dickson, pula bersama-sama menghayati khutbah bertajuk 'Tanggungjawab Mempertahankan Negara' sebelum menunaikan solat hajat diimamkan Pegawai Agama Islam Daerah Port Dickson, Abd Manas Md Isa.
Di Putrajaya, Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Muhd Redza Ahmad dalam khutbahnya menyeru rakyat Malaysia bersatu mempertahankan kedaulatan negara dan agama mengikut kemampuan yang ada dan wajib menolak sebarang usaha menghancurkan keamanan.
Beliau berkata, walaupun Islam mengutuk peperangan kerana membabitkan pembunuhan, Islam juga mengharuskan umatnya menjadikan peperangan sebagai cara mempertahankan diri demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 39.
“Percayalah peperangan di jalan Allah ialah peperangan mempertahankan agama, bangsa serta negara dari sebarang pencerobohan musuh. Oleh itu mereka dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.
“Malaysia tanah air kita yang perlu dipertahankan. Di sinilah tempat kita membiakkan keturunan, membesarkan generasi Islam, menyuburkan syiar Islam dan menjaga kemaslahatan ummah yang kita warisi daripada asal usul keluarga kita.
“Oleh itu, marilah kita berusaha mempertahankan kedaulatan negara yang dirintis oleh perjuangan datuk nenek kita selama ini. Usahlah menggadaikan masa depan dan terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
0 comments:
Post a Comment