Masalah boleh sebabkan fizikal bayi cacat, kelahiran pramatang
Kehamilan boleh membuatkan anda ketawa dan menangis tanpa sebab. Ia berlaku kerana perubahan hormon ketika kehamilan yang mengganggu penghantaran mesej ke otak, selain dipengaruhi emosi sebelum bergelar ibu bapa.
Bagaimanapun, setiap bakal ibu mengalami perubahan emosi yang tidak sama ketika hamil. Ada yang muram dan ada yang ceria. Tidak kurang juga bakal ibu yang mengalami tekanan perasaan.
Ia kebiasaannya memuncak pada minggu keenam hingga 10 minggu kandungan dan semakin berkurangan apabila memasuki trimester kedua. Akhirnya hilang begitu saja sewaktu kandungan semakin sarat.
Perasaan risau banyak dipengaruhi harapan tinggi bakal ibu bapa itu sendiri terhadap anak mereka. Dikatakan, tekanan itu bermula sejak bayi masih dalam kandungan.
Antara bebanan yang sering membelenggu adalah persediaan menyambut bayi dan perkara remeh seperti “Adakah aku membaca buku kehamilan yang terbaik?, Adakah produk bayi yang dibeli memberi jaminan terbaik? Adakah aku mampu membentuk perkembangan mental dan sosial anak itu nanti?
Bentuk tubuh berubah
Pada sama sama, badan mengalami perubahan dan menyebabkan ibu hamil berasa tidak menarik di mata pasangan.
Ramai benci dengan pertambahan berat mendadak dan berasa diri gemuk sedangkan ia adalah perubahan biasa dialami ibu mengandung.
Selain itu, bebanan emosi bertambah apabila timbul simptom kehamilan seperti pedih ulu hati, penat dan sering mahu buang air kecil.
Wanita yang mengalami fasa ini pasti bersetuju jika keadaan itu pernah membuatkan mereka berasa seperti hilang semangat sehingga ada yang mengatakan tidak mahu hamil lagi. Bebanan itu sebenarnya yang membuatkan emosi anda turun naik dan menjadi tidak stabil.
Justeru, bagi menikmati saat indah membawa insan kecil di dalam kandungan tentunya ramai yang ingin mengetahui kaedah menguruskan emosi tidak stabil ketika hamil.
Adakah bakal ibu perlu risau jika gagal mengawal emosi lebih daripada tiga minggu? Jawapannya anda perlu berjumpa pengamal perubatan sebelum dirujuk kepada kaunselor.
Mungkin anda antara 10 peratus wanita mengalami masalah tekanan (ringan kepada sederhana) sewaktu hamil. Petanda mudah untuk mengenali masalah itu adalah jika anda sering berasa gugup atau cemas.
Jika gangguan kecelaruan emosi lebih berat, anda mungkin mengalami masalah bipolar (gangguan perasaan).
Kajian menunjukkan masalah emosi ketika hamil yang tidak dirawat boleh menjejaskan fizikal bayi, meningkatkan peratusan kelahiran bayi pra matang dan seterusnya risiko meroyan.
INFO: Kaedah menguruskan emosi tidak stabil ketika hamil
- Paling mudah tentunya dengan mengingatkan diri bahawa perubahan emosi ketika hamil adalah normal. Jadi, belajar menerima adalah kaedah paling mudah membantu anda menguruskan emosi ketika ia memuncak.
- Cuba juga jadi lebih santai dan tidak membebankan diri melakukan pelbagai tugasan sebelum melahirkan.
- Perasaan runsing juga pasti berkurangan jika hubungan dengan pasangan lebih intim. Hubungan itu umpama jaminan pasangan ada untuk anda dan anda juga tidak berseorangan ketika sedang menghadapi cabaran mengandung.
- Ada juga ibu hamil tanpa suami di sisi, jadi dekati keluarga dan rakan rapat yang setia mendampingi. Wujudkan sistem sokongan sebelum dan selepas bayi dilahirkan.
- Tidak salah jika lakukan sesuatu yang boleh membuatkan rasa gembira misalnya menghabiskan waktu berkualiti bersama pasangan atau waktu bersendiri seperti menikmati urutan prenatal dan menonton wayang bersama teman baik.
- Luahkan kebimbangan yang membelenggu bersama rakan yang memahami. Luahan atau kata-kata kadangkala mampu menunjukkan jalan penyelesaian kepada kebimbangan anda.
- Pengurusan tekanan juga penting daripada membiarkan ia membebankan perasaan dan emosi. Pastikan cukup tidur, makan yang teratur, senaman dan ceriakan hidup. Kenali apakah punca menyebabkan perasaan terbeban.
0 comments:
Post a Comment