Poligami tidak pilih status



Jika ikut syarak, wanita bermadu tidak teraniaya

Satu, banyak-banyak. Dua, sikit-sikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apakah ia? Mungkin ramai sudah ramai tahu jawapannya - KAHWIN.

Berkahwin lebih dari satu atau poligami, antara topik menarik yang sering dibincangkan. Ada pandangan pro dan ada yang kontra. Malah, ada tergelak besar dan ada yang boleh menangis apabila memperkatakan poligami.
Tetapi menariknya, sejak kebelakangan ini ada ‘bisikan nakal’ yang menyatakan, kahwin lebih dari satu atau berpoligami bukan saja menjadi pilihan lelaki ‘biasa’ tetapi juga golongan Adam yang mempunyai latar belakang pendidikan agama tinggi dan lebih arif mengenai hukum hakam.

Namun, ramai ‘merestui’ dengan kata-kata atau jawapan yang masuk akal. “Tak apa mereka tu tentu lebih faham dan boleh berlaku adil.” Tepuk dada tanya selera!

Kehendak nafsu 

Hakikatnya, sebut saja poligami hati dan minda suami begitu segar dan berbunga manakala isteri pula ‘mencuka’ dan naik angin, fikir lelaki memang tidak pernah puas dengan seorang wanita. Entah apa lagi yang dimahukan lagi sang lelaki ini.

Bagi yang dangkal fikiran, pastinya poligami dikaitkan dengan keinginan untuk memenuhi kehendak nafsu seks lelaki yang begitu tinggi. Poligami menjadi suatu perkara yang subjektif. Cuma jika lelaki memahami tujuan berpoligami dan mengikuti syarak pasti dunia ini aman damai manakala isteri yang terpaksa dan sanggup bermadu juga tidak berhadapan dengan sebarang masalah seperti wujud ketidakadilan, terabai dan penganiayaan.
Apa yang pasti, ada kes lelaki berpoligami mampu berlaku adil dalam segenap segi dan tidak kurang juga gagal dengan hubungan antara isteri menjadi tegang sebab tidak reti berlaku adil dan anak hidup melarat.

Poligami dibenarkan dalam Islam. Terpulang kepada mereka apa tujuan berpoligami. Ramai yang berpoligami katanya ingin mengikut sunnah Nabi. Nabi Muhammad SAW, berpoligami kerana ingin membantu golongan wanita teraniya. Mampukan mereka mengikut cara Nabi Muhammad?

Bagaimanapun, sekarang dapat kita saksikan ramai lelaki berpoligami milih perempuan muda dan sesetengahnya anak dara sunti. Mengapa tidak ramai lelaki memilih yang andartu atau ibu tunggal yang miskin melarat dan teraniya?

Mengulas berkaitannya, Perunding Psikologi dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata menjadi pertikaian sesetengah pihak mengenai pemilihan usia isteri baru.

Suzana berkata, jika dilihat kisah Rasulullah SAW, baginda pernah berkahwin dengan wanita muda iaitu Saiyidatina Aishah, dipinang selepas kewafatan Saiyidatina Khadijah serentak bersama seorang ibu tunggal, Saudah Zamah.

“Isteri-isteri Rasulullah SAW selepas Aishah terdiri daripada janda. Ada sebab perkahwinan berlaku dan asasnya poligami diamalkan berkaitan dengan sosial dan kebajikan.

"Rasulullah SAW mengahwini Saudah untuk membela kebajikannya selepas kematian suami. Begitu juga Ummu Salamah yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah sebelum bekas suaminya, Abu Salamah meninggal dunia anaknya Salamah masih kecil dan memerlukan didikan.

“Dari sudut sosial pula, Rasulullah berkahwin dengan Aisyah dan Hafsah sebagai
penghargaan kepada orang tua mereka yang sangat membantu baginda iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khatab,” jelasnya.

Poligami pilih isteri muda 

Wanita selalunya memerlukan suami yang buka saja matang tetapi juga mempunyai pengetahuan dalam membimbing mereka, justeru Suzana menegaskan, kebanyakan kes dikendalikannya lelaki muda kurang menepati cita rasa wanita masa kini berbanding yang sudah berusia.

Katanya, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila orang yang engkau reda agama dan akhlaknya datang meminang, maka berkahwinlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan besar.”

"Wanita memerlukan lelaki sebagai suami sudah semestinya mampu bertindak sebagai pelindung dan pembimbing. Lelaki berusia atau berdakwah ditambah lagi mempunyai ilmu agama dan jelas bahkan mempraktikkannya, menjadi sebab wanita moden lebih mudah tertarik,” katanya.

Apa yang penting perkahwinan lebih daripada satu seharusnya untuk dinikmati, dipenuhi dengan tanggungjawab dan mampu bertindak adil.

Katanya, ini bermaksud suami mampu dan adil memberi nafkah zahir dan batin meliputi makanan minuman, pakaian, tuntutan seks, giliran, jaminan keselamatan dan tempat tinggal.

Lantaran, haram berpoligami bagi lelaki yang tidak dapat memenuhi tuntutan itu.

“Fakta penting poligami bukanlah dipelopori oleh agama Islam seperti didakwa oleh sesetengah masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia sebenarnya diamalkan zaman berzaman oleh masyarakat China, Yunani, Kristian dan Yahudi.

“Berdasarkan hukum syarak, lelaki ingin berpoligami mestilah berkemampuan menyara keperluan keluarga sedia ada dan mampu pula membiayai keperluan bakal isteri.

“Bukan saja kemampuan kewangan sebaliknya fizikal untuk melaksanakan kehendak nafkah batin, memberikan perhatian dan kasih sayang, mendidik dan membimbing keluarga ke jalan diredai Allah,” katanya.

Masalah bangkit 

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie pula berkata, isu poligami, lelaki sering disalah erti kerana kahwin lagi satu hanya kerana nafsu.

Katanya, sepatutnya apabila lelaki tahu dirinya tidak mampu berlaku adil, jelas menunjukkan mereka tidak mampu dan jika diteruskan berpoligami akan menjadi isu serta masalah dalam kehidupan berkeluarga.

“Banyak kesan buruk akibat poligami sekiranya suami gagal memenuhi syarat berpoligami dan pastinya wanita akan terabai dalam pelbagai segi. Antara masalah berbangkit ialah nafkah isteri, pergaulan dan hak giliran menjadi isu utama. Pengabaian tanggungjawab ini memberi kesan secara langsung terhadap hati isteri yang sudah tentu akan merasai perbezaannya sebelum tindakan suami berpoligami.

“Situasi inilah sebenarnya yang tidak digalakkan oleh syarak. Inilah juga yang dikatakan diharamkan seperti mana syarat yang diperhalusi oleh undang-undang. Kegagalan untuk melaksanakan keadilan inilah yang menyebabkan poligami dipandang buruk dalam masyarakat," katanya.

Kata Roshdan, perkahwinan itu boleh menjadi haram jika suami tahu dirinya tidak mampu berlaku adil kepada isteri lain tetapi tetap mahu berpoligami.

Pada asasnya, poligami menjadi hak mutlak suami dan berdasarkan faktor itu, jelas keizinan isteri bukanlah syarat membolehkan lelaki berpoligami.

“Bagaimanapun undang-undang sudah dibataskan demi menjaga kemaslahatan dan kesucian perkahwinan itu sendiri. Ia juga demi mengelak berlakunya penganiayaan terhadap isteri.

“Mampu berlaku adil’ itu perlu menepati kehendak hukum syarak. Keadilan dianjurkan meliputi pemberian nafkah, tempat tinggal, giliran, tempat tidur, pergaulan yang baik dan melaksanakan kewajipan suami terhadap isteri lain.

“Oleh itu, undang-undang menggariskan satu penilaian dan siasatan mahkamah sebelum membenarkan lelaki berpoligami. Mahkamah akan menilai kemampuan secara zahir maka kebenaran akan diberikan biarpun isteri sedia ada tidak bersetuju akan perkahwinan baru,” jelasnya.


Syarat berpoligami: 

  • Berdasarkan prinsip syarak, tiada garis panduan khas diberikan ke atas individu untuk berpoligami melainkan seorang suami itu perlu mampu berlaku adil. 
  • Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” 
  • Berdasarkan ayat itu, syarat utama membolehkan seseorang lelaki berpoligami adalah “mampu berlaku adil”. Jika mereka khuatir tidak maka cukuplah sekadar seorang isteri saja. 
  • Pengertian itu secara tidak langsung menjadikan hak mutlaknya di tangan suami. 
  • Ia juga memberi erti bahawa syarat ‘mampu adil” perlu diperhalusi dan dinilai oleh suami itu sendiri.


Jika perceraian berlaku: 

  • Hak wanita atau isteri tidak kira pertama, kedua, ketiga atau keempat dengan keluarganya terjamin berdasarkan peruntukan digariskan undang-undang dan hukum syarak. 
  • Wanita diceraikan berhak menuntut haknya seperti nafkah edah, mutaah, harta sepencarian, faraid dan hak lain jika ia menepati kehendak hukum syarak serta undang-undang. 
  • Anak lahir daripada perkahwinan itu juga berhak mendapatkan hak dan boleh dituntut jika tidak ditunaikan. 
  • Tuntutan hak menjadi rumit jika poligami tidak didaftarkan mengikut lunas undang-undang. 
  • Sukar jika mahu merahsiakan perkahwinan terutama untuk menuntut sebarang hak selepas perceraian. 
  • Jika berlaku pernikahan di sempadan atau di luar negara tanpa melalui prosedur diperuntukkan undang-undang, isteri masih lagi mempunyai hak untuk menuntut di mahkamah. 
  • Isteri sebegini perlu membuat permohonan secara sah di mahkamah untuk menuntut segala hak wajar ke atasnya dengan syarat pernikahan itu hendaklah didaftarkan terlebih dulu. 
  • Perbezaan timbul kerana jika poligami dibuat melalui kebenaran mahkamah atau prosedur undang-undang, sudah pasti hak isteri akan ditentukan sebelum kebenaran berkahwin diberikan mahkamah. 
  • Bagaimanapun jika ia berlaku di sempadan atau tanpa kebenaran mahkamah, hak itu tidak dapat ditentukan pada masa itu. Bagaimanapun hak ini boleh dituntut walaupun perkahwinan berlaku. Isteri boleh memfailkan permohonan secara berasingan untuk menuntut haknya di mahkamah.

0 comments:

Post a Comment