Marquez cipta sejarah MotoGP


Monterey, California: Penunggang muda Marc Marquez memenangi Grand Prix Amerika Syarikat semalam sekali gus melebarkan jurang mata sebagai pendahulu untuk menjadi pelumba termuda dalam sejarah MotoGP memenangi dua perlumbaan berturut-turut.

Pelumba dari Sepanyol berusia 20 tahun itu menang di Jerman awal bulan lalu, meraih kemenangan ketiga musim ini apabila menewaskan pelumba petak utama dari Jerman, Stefan Bradl di Laguna Seca.

“Saya gembira kerana meraih keputusan ini menjelang cuti musim panas,” kata Marquez. “Ia litar baru dan saya meraih 25 mata.” Bradl menjejak podium pertama dan juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Itali, ketiga. Kemenangan itu menyaksikan pelumba pasukan Repsol Honda menjadi pelumba rookie pertama menang di Laguna Seca.

Marquez turut memenangi perlumbaan di sirkit baru di Austin, Texas, April lalu dan minggu lalu di Jerman, berjaya memintas rekod Freddie Spencer sebagai pelumba termuda merangkul dua kemenangan berturut-turut.

Bermula di petak kedua, Marquez berjaya memintas lawan dua kali termasuk memintas Rossi di selekoh sukar Corkscrew pada awal perlumbaan.

Dia kemudian memintas Bradl untuk memenangi perlumbaan itu dengan kelebihan 2.2 saat.

Marquez kini mengatasi rakan sepasukan Dani Pedrosa 16 mata ketika perlumbaan di pertengahan saingan. Lorenzo di tempat ketiga, ketinggalan 26 mata berbanding Marquez. - AFP

0 comments:

Post a Comment