KUALA LUMPUR: Polis yakin akan dapat menjejaki rakan suspek utama kes rompakan dan bunuh pegawai Ambank, dikenali sebagai 'Joemar' walaupun jika lelaki itu melarikan diri ke luar negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini kerana Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Interpol dan hubungan dua hala dengan negara-negara jiran.
"Kalau dia lari luar (negara) pun kami akan cari dia juga, kami ada platform bersama Interpol, kami ada hubungan bilateral (dua hala) dengan jiran-jiran.
"Jadi kami akan dapatkan bantuan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Ekonomi 2013 di Hotel Istana di sini hari ini.
Joemar yang menggunakan kad pengenalan palsu bernombor 840713-12-5207 dengan nama Osman Salleh yang berusia 29 tahun dipercayai tinggal di negara ini lebih setahun. Dia dikatakan menetap di Klang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikat lain dan tidak bertugas mengawal institusi perbankan.
Pada 11 Nov lepas, suspek utama kes itu diberkas polis kira-kira 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Dalam kejadian rompakan 23 Okt itu, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak ketika mangsa membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu sebelum suspek utama itu melarikan wang tunai RM450,000.
Joemar dipercayai menyimpan sebahagian wang hasil rompakan itu.
Khalid berkata dalam perkembangan lain, polis mempunyai petunjuk baharu berhubung kes tembak Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Mohd Raffli Abdul Malik, 49, pada 10 Nov lalu.
"Kami ada petunjuk-petunjuk untuk kami meneruskan siasatan dan saya yakin kami boleh selesaikan kes ini tidak lama lagi," katanya.
Dalam kejadian pada jam 1.55 petang itu, Mohd Raffli, maut selepas ditembak seorang daripada tiga lelaki yang datang berjumpa mangsa di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan. - Bernama
0 comments:
Post a Comment