Preve berkualiti, lebih murah


Langkah PROTON sebagai pengeluar kereta bermutu tinggi

PROTON Holdings Bhd terus melaksanakan perubahan dan penambahbaikan pada kereta keluarannya dengan menampilkan spesifikasi keselamatan tambahan pada model Preve tanpa membabitkan perubahan kepada harganya yang kini adalah lebih rendah berbanding semasa diperkenalkan pada April tahun lalu.

Langkah penambahbaikan itu sejajar dengan matlamat DRB-Hicom Bhd, iaitu pemilik Proton Holdings Bhd, untuk menjadikan anak syarikatnya itu sebagai pengeluar kereta bermutu tinggi dengan teknologi dan ciri keselamatan terkini, tetapi ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki.

Spesifikasi baru yang mendapat penarafan lima bintang dalam Program Penilaian Kenderaan Baru Australasian (ANCAP) yang dilengkapkan dalam semua versi Preve itu ialah enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik (ESC).

Ini termasuk beg udara pemandu dan penumpang hadapan, beg udara sisi (pemandu dan penumpang hadapan), beg udara pada sisi kerusi depan bahagian pemandu dan penumpang depan, serta beg udara bidai penuh di bahagian depan dan belakang.

Spesifikasi yang biasanya hanya ada pada kereta sedan premium segmen D itu meletakkan standard Preve yang bersaing dalam model kereta sedan segmen C itu, lebih tinggi berbanding pesaingnya seperti Toyota Vios, Honda City, Volkswagen Polo Sedan, Ford Fiesta 1.6L Sedan, Mazda 2 Sedan, Kia Forte 1.6L dan Hyundai Elantra 1.6.

Sebelum ini, hanya Preve CamPro CFE 1.6 Premium yang dilengkapi dengan ESC. Namun ia hanya dilengkapi empat beg udara. Preve versi CamPro IAFM 1.6 CVT Eksekutif dan 1.6 MT Eksekutif pula hanya disediakan dengan dua beg udara tanpa ESC.

Pengenalan spesifikasi tambahan yang menepati piawaian antarabangsa itu, meletakkan Preve dalam kedudukan lebih baik dari segi spesifikasi produk dan harga berbanding kereta jenama lain yang ditawarkan pada harga lebih mahal.

Ketua Pegawai Operasi Proton Holdings (Bahagian Komersial), Hisham Othman, berkata Preve yang dilengkapi ciri tambahan itu sudah pun dipasarkan di pasaran tempatan sejak Oktober lalu.

Model dengan spesifikasi yang sama itu, katanya turut sudah dieksport ke pasaran antarabangsa seperti Australia.

“Spesifikasi keselamatan tambahan dalam model Preve itu adalah sama seperti apa yang ada pada model terbaru Suprima S, dan ia dibuat sebagai antara strategi perubahan dan penambahbaikan yang sedang diusahakan DRB-Hicom sebagai pemilik PROTON Holdings untuk menjadikan produk keluaran syarikat kereta nasional itu lebih baik dan diterima dalam semua peringkat masyarakat, baik pasaran domestik mahupun antarabangsa.

“Preve kini berada dalam kedudukan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Malah, Preve memiliki ciri-ciri keselamatan yang tidak ada pada kereta lain dalam segmen yang sama, seperti enam beg udara dan ESC.

“Ciri keselamatan itu hanya ada pada kereta mewah seperti BMW dan Mercedes,” katanya dalam temubual di Shah Alam, semalam.

Justeru, Hisham berkata, spesifikasi tambahan baru itu akan menjadi permulaan kepada perubahan standard dan kualiti keselamatan yang ada pada kereta Proton pada masa depan.

“Kami (kumpulan) akan menjadikan jenama Proton kembali bangkit untuk menerajui semula pasaran automotif negara selain berkembang dan menjadi kenderaan bertaraf dunia dengan model terbaru sendiri yang berkualiti dan kompetitif,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa perubahan yang dibuat kumpulan itu bakal mengubah persepsi segelintir pihak yang mendakwa syarikat nasional itu sebagai pengeluar kenderaan bermutu rendah.

Pemergian Paul Walker mengejutkan

Walker bersama rakan kerja (dari kiri) Tyrese Gibson , Vin Diesel dan Ludacris di tayangan perdana Fast & Furious 5 di Brazil, 2011.

KEMATIAN bintang utama filem Fast & The Furious, Paul Walker atau terkenal dengan watak Brian O'Conner dalam filem tersebut nyata memberi kejutan bukan sahaja kru produksi filem tersebut, bahkan peminatnya seluruh dunia.

Menurut sumber, Walker dikatakan dalam perjalanan pulang untuk menyelesaikan baki penggambaran francais Fast & The Furious 7.

Malah kemalangan tersebut memberi kesan mendalam dalam proses penggambaran filem .

Menurut sumber, kehilangan bintang itu menyebabkan seluruh tenaga kerja Universal Studio terhenti dan mereka terlalu sedih untuk meneruskan penggambaran filem tersebut.

"Mereka terpaksa mengubah sebahagian besar jalan cerita kerana kebanyakan babak melibatkan Walker.

"Malah mereka juga mengambil cuti buat sementara dan menangguhkan segalanya berkait dengan filem ini untuk pembikinan semula," kata sumber itu.

Kehilangan aktor tersebut nyata beri kesan mendalam terhadap rakan seperjuangan dalam siri Fast & Furious yang berjaya menaikkan namanya.

"Saudara, aku akan merinduimu selalu. Sangat terkejut terkejut dengan berita kematian ini, semoga aman di sana," ujar Vin Diesel.

Sementara itu, rakan artis Dwayne ‘The Rock’ Johnson turut memuat naik status dan gambar kenangan bersama mendiang dalam laman sosial, Twitter.

Dalam kejadian yang berlaku pada 30 November, jam 3 pagi di di Los Angeles, Walker difahamkan dalam perjalanan pulang dari majlis amal yang dianjurkan syarikatnya, Reach Out Worldwide.

Aktor berusia 40 tahun itu difahamkan menghadiri pameran kereta yang dianjurkan untuk mengutip derma untuk mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Ketika kejadian, rakan karibnya, Roger Rodas yang memandu kereta Porshe Carrera GT berwarna merah milik Walker, gagal mengawal kenderaan tersebut dan melanggar sebatang tiang telefon sebelum kenderaan tersebut meletup.

Brian O’Conner tinggal kenangan

Menyingkap sejarah latar belakang Walker, anak kepada model fesyen, Cheryl dan kontraktor, Paul William Walker III itu dibesarkan dalam kelas pertengahan di kediaman mereka, Los Angelas.

Merupakan anak sulung daripada lima beradik, ibunya mula mendedahkannya dengan dunia penuh glamor sejak dia masih bayi lagi.

Bermula sebagai model iklan Pampers dari usia dua tahun, wang ganjaran tersebut digunakan untuk perbelanjaan keluarganya.

Kerjayanya sebagai pelakon mula berkembang setelah membintangi rancangan TV pada 1980, Walker kemudiannya menyerlah dalam siri komedi Meet the Deedles (1998).

Tidak selektif memilih watak, dia menerima watak sampingan dalam pelbagai filem termasuk  Pleasantville (1998), Varsity Blues dan She’s All That (1999).

Tapi bakat Walker mula dikesan oleh produser terkenal, Neal H. Moritz ketika dia belakon dalam filem seram The Skulls (2000) dan menawarkan watak sebagai polis pengintip, Brian O’Conner dalam filem the Fast and the Furious (2001).

Tanpa disangka, filem tersebut menjadi popular dalam sekelip mata menyebabkan nama Walker menjadi sebutan.

Dalam filem sekuel, Turbo-Charged Prelude dan 2 Fast 2 Furious (2003) dia berganding dengan Vin Diesel sehingga beberapa siri filem tersebut seperti Fast & Furious (2009), Fast Five (2011), Fast & Furious 6 (2013) dan Fast & Furious 7 yang dijangkakan menemui penonton pada tahun depan.

Selain siri filem tersebut, Walker turut berlakon dalam filem lain termasuk Brokedown Palace, Flags of Our Fathers dan Hours.

Namun peminatnya lebih suka lakonannya dalam Fast & Furious kerana impaknya kurang berbanding filemnya yang lain .

Bukan kematian palsu

Di sebalik berita kematian yang mengejutkan itu, ada beberapa pihak cuba mengelirukan peminat dengan menyebarkan berita palsu bahawa Walker masih hidup.

Namun setelah kematiannya disahkan pihak berkuasa, ramai peminatnya mula memenuhi kawasan kemalangan dengan dengan meletakkan bunga, kad ucapan, CD filem Fast & Furious dan sebagainya, sebagai tanda kenangan dan penghormatan.

Nyata kematiannya meninggalkan kesan terhadap dunia hiburan Hollywood kerana kehilangan pelakon yang sangat berbakat.

Selain itu, aktor bertubuh sasa itu juga meninggalkan seorang anak perempuan berusia 16 tahun, Meadow.

Ironi kematian Paul Walker

TRAGIS... Keadaan kereta Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakan Walker yang juga seorang pelumba, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok. Walker dan Rodas mati di tempat kejadian.

BULAN Disember menjengah dengan membawakan kisah sedih kepada penggemar siri filem perlumbaan kereta jalanan Fast & Furious apabila pelakon utamanya, Paul Walker menemui ajal dalam satu kecelakaan jalan raya di California, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Ironinya, pelakon yang sinonim dengan watak yang memperlihatkan dirinya sebagai ikon lumba kereta ini sememangnya pakar dalam bidang perlumbaan automotif dan pernah menyertai beberapa perlumbaan di AS.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh portal berita CNN, pegawai pengantara Walker, Ame van Iden mengesahkan kejadian tersebut melalui laman sosial Facebook dan Twitter milik aktor berkenaan.

Menerusi kemas kini status tersebut, dia menjelaskan: "Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya hari ini. Ketika itu, dia dalam perjalanan menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide.

"Dia menumpang kereta seorang rakan, mereka terkorban dalam tragedi tersebut."

PAUL WALKER meninggal dunia pada usia 40 tahun. Satu ironi apabila pelumba kereta dan pemegang watak pemandu kereta lumba ini menemui ajal kerana pemanduan melebihi had laju.

Jurucakap itu yang juga dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka terkejut dan amat sedih dengan berita tragis itu.

Walker, 40, mati di tempat kejadian apabila kereta jenis Porsche Carrera GT 2005 yang dipandu oleh rakannya yang juga seorang pelumba kereta, Roger Rodas terbakar selepas merempuh sebatang pokok.

Pegawai Polis dari Pejabat Syerif Daerah di Los Angeles, Brian Allen, berkata, kemalangan tragik itu berpunca daripada pemanduan yang melebihi had laju.

Seiring dengan watak Brian O'Conner menerusi francais filem Fast & Furious, Walker yang juga merupakan peminat tegar kereta-kereta berkelajuan tinggi pernah menyertai beberapa pertandingan perlumbaan kereta termasuklah Redline Time Attack.

Dia juga pernah berlumba dengan Roger menerusi siri pertandingan Pirelli World Challenge. Selain itu, aktor tersebut turut memiliki beberapa kereta lumba termasuklah Nissan Skyline R34 GT-R V-Spec II yang digunakan oleh Brian dalam 2 Fast 2 Furious.

Legasi pecah panggung

Watak Brian yang cukup sebati dengan dirinya menerusi siri filem Fast & Furious sangat meninggalkan kesan dalam hati dan minda para penonton. Masakan tidak, Walker sendiri mengakui sering disapa sebagai Brian ketika berjumpa dengan para peminat.

Mungkin kisah seorang polis yang mengambil keputusan untuk membanteras penjenayah menjadikan watak tersebut digilai peminat, terutamanya golongan wanita.

"Saya sering disapa begitu. Orang mengenali saya sebagai watak Brian lebih ramai daripada orang mengenali Paul Walker.

"Bila orang menyapa 'Hi Paul Walker!' bulu roma saya seakan-akan meremang. Namun, bila ada yang memanggil saya Brian, saya seperti tidak kisah. Saya suka dengan nama Brian," ujarnya dalam satu temu bual akhir ketika menjalani penggambaran Fast & Furious 7 yang dijangka berada di pawagam pada 2014 di Atlanta akhir bulan lalu.

MULA bersama francais filem The Fast and the Furious sejak tahun 2001, Walker yang memegang watak Brian akan muncul buat kali terakhir menerusi edisi ketujuh filem itu, Fast & Furious 7 pada tahun depan.

Watak berat dalam Hours

Pelakon berketuruan Irish-Jerman ini juga bakal muncul dengan filem berjudul Hours, antara filem terakhir lakonannya sebelum menemui ajal.

Dalam filem tersebut, Walker yang pernah terbang ke Haiti untuk membantu mangsa gempa bumi di sana, memegang watak Nolan, seorang bapa yang berusaha untuk menyelamatkan anak perempuannya yang baru lahir daripada ancaman bencana Taufan Katrina.

Menurutnya lagi, watak tersebut merupakan watak paling berat dan mencabar yang pernah dibawa sepanjang penglibatannya sebagai pelakon.

"Apa sahaja yang saya dapat di dalam jiwa, tidak dibeza-bezakan. Jika anda betul-betul hidup dengan watak dalam sesebuah filem itu, ia sama sahaja seperti anda hidup di kehidupan sebenar.

"Kejayaan saya dalam filem adalah kejayaan saya dalam dunia sebenar. Jika saya berjaya, saya berasa bangga kerana saya belajar sesuatu yang baharu dalam kerjaya saya. Sejujurnya, kita akan menjadi lebih cekal jika terus diuji," ujarnya ketika berbicara tentang watak tersebut.

Walaupun nama Paul Walker mula melonjak naik selepas dia membintangi The Fast and the Furious pada tahun 2001, namun pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan, dia pernah membintangi beberapa drama bersiri termasuklah Throb dan The Young and the Restless.

Selepas mula dikenali, dia kemudiannya mendapat tawaran untuk membintangi filem-filem berbajet besar seperti Eight Bellow, Into The Blue dan Takers.

PROTON lancar Pesona SV selepas kejayaan Saga SV


SHAH ALAM: Proton Holdings Bhd hari ini melancarkan Proton Persona Super Value (SV) selepas mendapat maklum balas positif daripada pengguna Malaysia terhadap model Proton Saga Super Value yang dilancarkan Jun lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Lukman Ibrahim yang melancarkan model itu berkata untuk bersaing dengan pengeluar kereta lain, Persona SV menawarkan lebih banyak nilai tambah bagi setiap ringgit yang dibelanjakan pembeli.

Beliau berkata demikian pada pelancaran model itu sempena Karnival Pandu Uji Mega Bola! Bola! Bola! Proton selama dua hari di kawasan parkir Stadium Shah Alam di sini.

Persona SV masih menggunakan enjin 1.6 liter Campro AIFM, namun ia kini dilengkapi brek cakera depan belakang, dua beg udara untuk keselamatan, cermin sisi bersekali lampu isyarat, sistem brek anti kekunci (ABS) dan dan pengagihan daya kuasa brek elektronik (EBD) bagi meningkatkan keselamatan pemanduan, katanya.

Model ini juga dilengkapi rim aloi 15 inci dan didatangkan dalam tujuh warna iaitu putih, hitam (tranquility black), gangsa (bronze garnet), perak (genetic silver), merah api (fire red), hijau (chiffon green), dan biru Atlantik (Atlantic Blue).

Beliau juga berkata jaminan untuk model ini sama seperti model Persona sebelum ini iaitu selama dua tahun atau 50,000 km.

Persona SV ditawarkan pada harga serendah RM44,938 seunit sehingga RM50,388, bergantung kepada warna, lokasi jualan dan sistem transmisi, berbanding model Persona sebelum ini yang dijual antara RM47,000 dan RM51,150.
Lukman berkata pengeluaran model Persona SV ini dibuat sempena kejayaan Proton mengeluarkan lebih setengah juta unit model Persona sejak dilancarkan pada 2007.

Ketua Pegawai Operasi (Komersil) Proton, Hisham Othman pula berkata Proton menyasarkan 2,400 unit Persona SV sebulan.

"Kami percaya kami boleh mencapai sasaran ini malah lebih lagi seperti yang dialami dalam penjualan Saga SV," katanya.

Lukman berkata setakat ini tempahan bagi model Saga SV mencecah 42,000 dan hampir 30,000 unit telah dihantar kepada pelanggan manakala jualan bagi model Saga, termasuk SV sebanyak 78,000 unit sebulan.

Beliau juga berkata model baharu Proton dijangka menemui pengguna di Malaysia pada separuh pertama tahun depan, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.



Mengenai Karnival Pandu Uji yang bermula hari ini, beliau berkata ia merupakan antara strategi Proton untuk menarik pembeli kereta masa kini yang semakin berpengetahuan mengenai kereta dan memerlukan pengalaman memandu uji sesebuah kereta sebelum membuat keputusan pembelian.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Proton menyediakan 79 kereta daripada model Suprima S, Preve, Saga, Satria Neo dan Inspira.

Proton turut menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk pembelian model terpilih sempena karnival itu. - BERNAMA

Hero Fast and Furious maut nahas kereta

Paul Walker

LOS ANGELES - Bintang filem aksi kereta Fast and Furious, Paul Walker maut dalam satu nahas jalan raya kelmarin, kata jurucakapnya di akaun Facebook aktor berkenaan.

"Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker meninggal dunia akibat kemalangan kereta hari ini ketika dia menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide," menurut kenyataan tersebut.

"Dia menumpang kereta seorang rakannya. Mereka terkorban dalam nahas tersebut," tambahnya.

Jurucakap itu yang dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka "terkejut dan amat sedih dengan berita tersebut".

Pengumuman serupa turut disiarkan di laman sosial Twitter.

Walker, 40, dikenali ramai kerana wataknya sebagai ejen rahsia, Brian O'Conner dalam siri filem Fast and Furious.

Dia berlakon dalam lima daripada enam filem itu bersama dua pelakon popular lain, Vin Diesel dan Michelle Rodriguez.

Media Amerika Syarikat melaporkan, Walker meninggal dunia di Daerah Los Angeles apabila kereta sport Porsche yang dinaikinya terbakar selepas merempuh sebatang pokok. - AFP