Langkah PROTON sebagai pengeluar kereta bermutu tinggi
PROTON Holdings Bhd terus melaksanakan perubahan dan penambahbaikan pada kereta keluarannya dengan menampilkan spesifikasi keselamatan tambahan pada model Preve tanpa membabitkan perubahan kepada harganya yang kini adalah lebih rendah berbanding semasa diperkenalkan pada April tahun lalu.
Langkah penambahbaikan itu sejajar dengan matlamat DRB-Hicom Bhd, iaitu pemilik Proton Holdings Bhd, untuk menjadikan anak syarikatnya itu sebagai pengeluar kereta bermutu tinggi dengan teknologi dan ciri keselamatan terkini, tetapi ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki.
Spesifikasi baru yang mendapat penarafan lima bintang dalam Program Penilaian Kenderaan Baru Australasian (ANCAP) yang dilengkapkan dalam semua versi Preve itu ialah enam beg udara dan kawalan kestabilan elektronik (ESC).
Ini termasuk beg udara pemandu dan penumpang hadapan, beg udara sisi (pemandu dan penumpang hadapan), beg udara pada sisi kerusi depan bahagian pemandu dan penumpang depan, serta beg udara bidai penuh di bahagian depan dan belakang.
Spesifikasi yang biasanya hanya ada pada kereta sedan premium segmen D itu meletakkan standard Preve yang bersaing dalam model kereta sedan segmen C itu, lebih tinggi berbanding pesaingnya seperti Toyota Vios, Honda City, Volkswagen Polo Sedan, Ford Fiesta 1.6L Sedan, Mazda 2 Sedan, Kia Forte 1.6L dan Hyundai Elantra 1.6.
Sebelum ini, hanya Preve CamPro CFE 1.6 Premium yang dilengkapi dengan ESC. Namun ia hanya dilengkapi empat beg udara. Preve versi CamPro IAFM 1.6 CVT Eksekutif dan 1.6 MT Eksekutif pula hanya disediakan dengan dua beg udara tanpa ESC.
Pengenalan spesifikasi tambahan yang menepati piawaian antarabangsa itu, meletakkan Preve dalam kedudukan lebih baik dari segi spesifikasi produk dan harga berbanding kereta jenama lain yang ditawarkan pada harga lebih mahal.
Ketua Pegawai Operasi Proton Holdings (Bahagian Komersial), Hisham Othman, berkata Preve yang dilengkapi ciri tambahan itu sudah pun dipasarkan di pasaran tempatan sejak Oktober lalu.
Model dengan spesifikasi yang sama itu, katanya turut sudah dieksport ke pasaran antarabangsa seperti Australia.
“Spesifikasi keselamatan tambahan dalam model Preve itu adalah sama seperti apa yang ada pada model terbaru Suprima S, dan ia dibuat sebagai antara strategi perubahan dan penambahbaikan yang sedang diusahakan DRB-Hicom sebagai pemilik PROTON Holdings untuk menjadikan produk keluaran syarikat kereta nasional itu lebih baik dan diterima dalam semua peringkat masyarakat, baik pasaran domestik mahupun antarabangsa.
“Preve kini berada dalam kedudukan yang lebih baik dan mempunyai kelebihan tersendiri. Malah, Preve memiliki ciri-ciri keselamatan yang tidak ada pada kereta lain dalam segmen yang sama, seperti enam beg udara dan ESC.
“Ciri keselamatan itu hanya ada pada kereta mewah seperti BMW dan Mercedes,” katanya dalam temubual di Shah Alam, semalam.
Justeru, Hisham berkata, spesifikasi tambahan baru itu akan menjadi permulaan kepada perubahan standard dan kualiti keselamatan yang ada pada kereta Proton pada masa depan.
“Kami (kumpulan) akan menjadikan jenama Proton kembali bangkit untuk menerajui semula pasaran automotif negara selain berkembang dan menjadi kenderaan bertaraf dunia dengan model terbaru sendiri yang berkualiti dan kompetitif,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa perubahan yang dibuat kumpulan itu bakal mengubah persepsi segelintir pihak yang mendakwa syarikat nasional itu sebagai pengeluar kenderaan bermutu rendah.
0 comments:
Post a Comment