SEPANG - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyatakan ada kemungkinan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, ia ekoran rekod rakaman radar tentera yang telah disiasat.
"...apa yang kami buat adalah melihat rakaman radar yang kami ada. Kami sedar bahawa ada kemungkinan pesawat itu berpatah balik.
"Patah balik itu maksudnya melencong dari laluan penerbangan dan kembali ke lokasi asal. Itu kemungkinannya," katanya pada sidang media di Hotel Sama Sama, hari ini.
Dalam usaha untuk mengesan keberadaan pesawat itu, pihak TUDM menjalin kerjasama dengan agensi antarabangsa.
"Kami masih bekerjasama dengan 'civil radar' agensi antarabangsa di mana lokasi mencari diluaskan ke barat Laut China Selatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut menjawab pertanyaan media berhubung prosedur operasi standard (SOP) juruterbang yang membuat keputusan untuk berpatah balik.
Katanya, juruterbang perlu membuat laporan kepada pusat kawalan udara (ATC) dan pangkalan data MAS.
"Sepatutnya, juruterbang perlu melaporkan kepada ATC. Tapi berdasarkan rekod ATC dan rekod kami, tiada isyarat 'distress' atau panggilan 'distress'," katanya.
Pagi tadi, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pesawat MH370 berpatah balik untuk kembali ke Malaysia.
Setakat jam 3 petang, masih tiada sebarang perkembangan terbaru dari misi mencari dan menyelamat MH370.
Sidang media ditanggunhkan sehingga jam lapan malam ekoran tiada perkembangan terkini daripada operasi mencari setakat ini.