EKSKLUSIF: Zulfahmi, wira muda

Zulfahmi Khairuddin
ESPNSTAR.my mendapat peluang untuk menemubual dengan Zulfahmi Khairuddin, pelumba muda Malaysia yang telah mencatatkan sejarah.

Penghargaan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kepada beliau dan wira negara Datuk Lee Chong Wei mungkin mengejutkan ramai yang berpendapat bahawa pelumba Air Asia - SIC - Ajo itu masih mempunyai perjalanan yang jauh lagi. Apa yang jelas dalam temubual ESPNSTAR.my dengan Zulfahmi adalah kematangan beliau dan pendekatan yang agak praktikal dalam semua aspek kehidupannya.

Pengurus beliau, Hanna Hakkarainen dari AJO Motorsport Finland, telah mededahkan sedikit sebanyak tentang jadual beliau yang padat: "Sejak penampilan beliau dalam Moto3, kami banyak menerima permintaan untuk sesi temubual, untuk beliau hadir dalam acara motorsport dan sebagainya. Ini memang baik untuk perkembangan beliau tetapi Zulfahmi masih perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi latihan beliau. "

"Ini bermakna masa yang diluangkan adalah masa lapang peribadi beliau sendiri." kata Hanna dengan penuh simpati."

Semangat kesukanan beliau dapat dilihat apabila beliau meluangkan masa untuk kami hanya beberapa minit selepas mengakhiri sesi latihan di trek: "Terimah kasih kerana dapat menelefon saya." kata Zulfahmi sebelum kami dapat menyatakan apa-apapun - kali pertama kami dihargai sebelum menjalankan tugas.

"Ya memang jadual agak padat. Saya menghabiskan masa di trek ataupun dengan sesi latihan. Selalunya saya berbasikal untuk mengekalkan tahap kesihatan. Saya perlu jaga pemakanan saya."

"Bukan selalu saya dapat makanan kegemaran saya tetapi ia bukan pengorbanan besar. Yang lebih sukar adalah masa yang dihabiskan jauh dari keluarga atau kawan-kawan saya. Selalunya kalau saya kembali ke Malaysia saya akan habiskan masa dirumah."

Kami juga telah tanya beliau tentang nasihat yang boleh diberi kepada mereka yang ingin mengikut langkah beliau dan Zulfahmi menjawab: "Saya tidak rasa yang saya patut dicontohi, belum lagi. Mungkin lepas saya dapat pencapaian besar. Walauapapun jalan yang dipilih, seseorang itu memerlukan dedikasi dan kerja keras serta sokongan padu untuk berjaya. Saya bernasib baik yang semua aspek ini cukup dalam kehidupan saya."

"Saya ingin kekal di Moto3 untuk musim depan kerana ingin sasar kejuaraan, saya rasa saya perlu meningkatkan lagi prestasi sebelum memikirkan tentang Moto2. Ini hanya musim pertama saya, masih banyak ruang untuk diperbaiki lagi." kata Zulfahmi apabila ditanya tentang rancangan beliau.

"Walauapapun saya berterima kasih atas sokongan semua dan saya harap ia dapat diteruskan dalam usaha saya mencatatkan sejarah untuk Malaysia." katanya sebelum mengakhiri satu-satunya sesi temubual yang istimewa bagi kami.

0 comments:

Post a Comment