Lee Chong Wei |
Pada pertarungan separuh akhir, Chong Wei, selaku juara bertahan dan pilihan utama, hanya mengambil masa 34 minit untuk menyingkirkan pemain muda Hong Kong berusia 22 tahun, Wong Wing Ki dengan keputusan 21-11, 21-18.
Chong Wei, 30, yang memegang status pemain nombor satu dunia, mengharapkan hadiah Tahun Baru, apabila menentang pemain muda China, Du Pengyu, pada final esok.
Sebelum itu, Du Pengyu, pilihan keempat kejohanan, itu menempah tiket ke perlawanan akhir dengan mengetepikan pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro 21-12, 21-17 dalam satu lagi saingan separuh akhir.
Pada edisi tahun lepas, Chong Wei mengalahkan Du Pengyu 21-8, 21-13, pada peringkat separuh akhir sebelum merangkul kejuaraan itu dengan menundukkan musuh tradisinya, Lin Dan dari China, 12-21, 21-18, 21-14, di final.
Terdahulu, satu lagi wakil negara, beregu Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong gagal ke perlawanan akhir pertama tahun ini selepas kalah kepada beregu tuan rumah Lee Yong Dae/Ko Sung Hyun, 17-21, 11-21.
Bagaimanapun, beregu Korea itu bakal berdepan laluan yang sukar apabila dijadual bertemu dengan beregu nombor satu dunia Mathias Boe/Carsten Mogensen dari Denmark pada aksi final nanti.
Beregu Denmark itu terpaksa bekerja keras lebih sejam untuk menempah slot ke perlawanan akhir apabila ditentang hebat oleh beregu muda China, Hong Wei/Shen Ye sebelum menang 19-21, 21-10, 21-18. - Bernama
0 comments:
Post a Comment