Terokai lombong Sungai Lembing

SERATUS tahun berlalu, namun sejarah yang ditinggalkan tidak luput daripada ingatan. Namanya gah dan menjadi peneman bicara jika ke Sungai Lembing, Kuantan, Pahang.

Begitulah kesan khazanah ‘unik dan antik’ lombong bijih timah terpanjang dan termasyhur di dunia yang bakal mewarnai industri pelancongan Pahang.

Reputasi lombong bawah tanah yang pernah diangkat sebagai pengeluar bijih timah terbesar dunia menjadikan pekan kecil Sungai Lembing, kira-kira 42 kilometer (km) dari Kuantan itu lebih maju dan terkenal berbanding kawasan lain.

Pembukaan lombong itu bakal mencatat sejarah tersendiri dan menjadi sesuatu yang amat istimewa kepada bekas pekerja lombong dan penduduk di Sungai Lembing.

Terowong yang digunakan untuk kegiatan melombong itu akan ‘ditransformasikan’ untuk tatapan umum.

Justeru, bagi mengembalikan nostalgia lama bagaimana pekerja lombong ketika itu beroperasi mengeluarkan bijih timah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menambah baik satu daripada terowong itu untuk menjadi nilai tambah produk pelancongan sedia ada.

Ini membolehkan pengunjung melihat sendiri bagaimana suasana di terowong, sekali gus merasai sendiri kehidupan bekas pekerja lombong biji timah suatu ketika dulu.

Sebaik tiba, pengunjung akan dibawa menaiki ‘gerabak mini’ di pintu nombor dua dengan melalui landasan kereta api pada jarak 300 meter sebelum diturunkan untuk memulakan perjalanan meneroka ‘misteri’ di dalam terowong itu.

Tubuh mula dibaluti suhu dingin dan nyaman kerana sistem pengudaraannya yang dibantu ‘lubang angin’ dan bagaikan berada dalam bilik berhawa dingin yang amat luas.

Pengunjung memulakan langkah ‘menikmati’ pemandangan di kiri kanan terowong dengan pelbagai paparan maklumat berkaitan sejarah perlombongan bijih timah.

Menyusuri terowong sepanjang 750 meter itu, pengunjung pasti dapat merasai ‘keasliannya’ terutama dari segi reka bentuk dan strukturnya yang tersendiri dengan jaminan keselamatan.


Perasaan seram sejuk pasti dirasai pengunjung apabila melalui terowong berkenaan dan fikiran pasti terbayang bagaimana pelombong bekerja dalam suasana kelam dan panas serta kekurangan oksigen.

Perjalanan juga pasti ‘terganggu’ kerana banyak maklumat disediakan untuk tatapan pengunjung yang menceritakan secara terperinci bagaimana lombong itu ditemui dan beroperasi sehingga penutupannya.

Pengunjung boleh melihat kayu cengal yang digunakan sebagai penahan hakisan
di dalam terowong juga masih kukuh dan binaanya tetap utuh.

Pengarah Pejabat Pelan­congan Pahang, Idros Yahya berkata, pengunjung dapat melihat beberapa lubang angin yang disalut konkrit di dalam terowong itu masih kukuh dan sama sejak dikorek lebih 100 tahun dulu.

Beliau berkata, lubang angin itu disambungkan ke terowong utama di bahagian permukaan sebelum disambungkan ke terowong menegak ke bawah tanah.

“Ia bagi memastikan udara panas di terowong sentiasa bertukar ganti dengan udara baru yang masuk melalui lubang di puncak bukit,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif ke terowong itu.

Beliau berkata, di terowong itu, pelancong berpeluang melihat pelbagai barang pameran berhubung lombong Sungai Lembing.

“Pengunjung dapat melihat binaan patung (bersaiz badan manusia) dalam pelbagai posisi seperti mendulang dan mengorek, topi keselamatan, lampu kabaid, lampu berkuasa bateri dan bahan letupan (karbait) bagi memberi gambaran situasi dan bagaimana pekerja dahulu bekerja,” katanya.

Bagi mewujudkan suasana semula jadi, beberapa ‘patung’ dicipta dan menggayakan keadaan ketika bekerja di lombong itu.

Sepanjang perjalanan meneroka ‘dunia bawah tanah zaman silam’ itu, pengunjung diberi penerangan oleh kakitangan bertugas bagi memudahkan mereka memperoleh maklumat lebih lengkap.

Kembara terowong di ‘garis penamat’ apabila pengunjung tiba bahagian ‘kiew’ atau lif yang menjadi satu-satunya cara pekerja keluar masuk dari aras lombong selain digunakan untuk mengeluarkan bijih timah.

Sangkar ‘kiew’ itu mampu menampung antara enam hingga lapan pelombong setiap masa. Ketika itu, ada lima ‘kiew’ beroperasi dalam lombong Tabeto.

Selama hampir satu setengah jam meneroka ‘mutiara’ Sungai Lembing, pengunjung akan melalui laluan sama dan kepada yang berminat boleh mengunjungi premis perniagaan yang menjual pel­bagai cenderahati berkaitan lombong dan maklumat lain berkaitan lombong bijih timah.

Antaranya, kemeja-T, rantai kunci, bekas habuk rokok dan buku nota yang melambangkan terowong selain papan tanda mempunyai penerangan dan keratan akhbar berkaitan lombong berkenaan.

0 comments:

Post a Comment