Pusara P.Ramlee, Saloma siap dibaiki

Pengerusi Finas, Datuk Affendi Hamdan (dua, kiri) bersama para hadirin membantu meletakkan batu nisan di pusara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee selepas majlis tahlil dan perletakan batu nisan seniman dan seniwati Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengadakan majlis tahlil untuk menyempurnakan peletakan batu nisan pusara seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan seniwati negara Allahyarham Puan Sri Saloma di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini hari ini.
 
Kedua-dua pusara itu dibaik pulih menggunakan batu marmar dari Itali, dengan kos berjumlah RM25,000, yang ditanggung bersama oleh Finas dan Astro.
 
Pada Ogos lepas, Finas mengumumkan keputusan untuk membaik pulih pusara Allahyarham berdua yang rosak akibat dihempap pokok semasa hujan lebat pada Mac lepas.
 
Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan berkata, sebagai agensi bagi membantu para seniman, usaha itu akan diteruskan selain Finas merancang gotong-royong bersama Persatuan Seniman dan persatuan berkaitan bagi membersihkan kawasan pusara seniman lain.
 
"Kalau kita hendak nilaikan perjuangan P. Ramlee dan Saloma dengan kos pemulihan ini, sememangnya tidak ternilai. Bukanlah kita nak riak cuma kita mahu mengembalikan keadaan yang asal tanpa berlebih-lebihan. Yang paling baik kita sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah tiada," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Turut hadir anggota keluarga seniman dan seniwati agung itu termasuk kakak Saloma yang juga pelakon veteran Mariani Ismail, adik Saloma, Mimi Loma serta balu Allahyarham Nasir P. Ramlee, Suria Bakar.
 
Anggota Perbadanan Finas dan pelakon veteran Datuk Mustapha Ma'arof, Naib Presiden Bahagian Melayu Astro Khairul Anwar Salleh dan Presiden Seniman Jurey Latif turut menghadiri majlis itu.
 
P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan pada 22 Mac 1929 dan kembali ke rahmahtullah pada 29 Mei 1973 manakala Saloma atau nama sebenarnya Salmah Ismail dilahirkan pada 22 Januari 1935 dan meninggal dunia pada 25 April 1983.  - Bernama

Rossi intai peluang

ROSSI (dua dari kiri) bertekad untuk mencipta satu lagi kejayaan di Litar Sepang Ahad ini.
JUARA dunia tujuh kali, Valentino Rossi menjelaskan bahawa peluangnya untuk melakar satu lagi kejayaan pada Kejohanan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2013 Shell Advance di Litar Sepang minggu ini masih cerah, namun bergantung jika hujan tidak turun pada hari perlumbaan Ahad ini.

Kali terakhir Rossi menaiki podium di Sepang bersama pasukan Yamaha ialah pada edisi 2010 sebelum dia mengharungi musim yang mengecewakan bersama Ducati selama dua tahun.

Setelah kembali ke Yamaha musim ini, pelumba dari Itali tersebut mula mempamer peningkatan prestasi dan hampir ke tahap sebenarnya ketika saingan MotoGP musim ini berbaki empat pusingan lagi.

“Litar Sepang adalah litar yang sangat hebat, saya amat sukakan litar ini dan ia adalah antara litar kegemaran saya.

“Bagaimanapun, saya jamin semua pelumba juga amat gemar dengan litar ini. Mereka mampu mencatat prestasi yang baik dan sangat laju apabila beraksi di litar ini. Jadi, saya rasa minggu ini akan menjadi minggu yang sukar kepada saya.

“Hujan juga mampu menambahkan lagi cabaran kepada kami seperti tahun lepas. Jadi, kami lihat saja kalau-kalau situasi yang sama (hujan) akan berlaku lagi minggu ini,” jelas Rossi pada sidang media di Sepang semalam.

Rossi yang kini di kedudukan keempat dalam kejuaraan dunia dengan 185 mata, 93 mata di belakang pendahulu dari Honda, Marc Marquez, menjelaskan dia gembira dengan peningkatan prestasi yang dipamerkan pada dua perlumbaan terakhir di GP San Marino dan GP Aragon bulan lalu.

Pelumba berusia 34 tahun itu menduduki tempat keempat pada perlumbaan GP San Marino 15 September lepas manakala berjaya menaiki podium di tempat ketiga pada GP Aragon, 29 September kemudian.

“Saya dapat rasakan peningkatan ketika menuju ke penghujung musim ini, terutamanya pada dua saingan GP yang lepas.

“Saya mahu mencatat lebih banyak peningkatan. Saya masih berusaha untuk mengurangkan jurang mata dengan tiga pelumba teratas,” tambah Rossi.

Ramli Sarip, Rosyam Nor, Kim Swee bergelar Datuk


MELAKA – Penyanyi rock, Ramli Sarip; pelakon popular, Rosyam Nor dan jurulatih skuad Harimau Muda A, Ong Kim Swee akan dianugerahkan darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar berkata, Rosyam atau nama sebenarnya Mohd. Noor Shamsuddin, 46, dan Kim Swee, 43, dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) manakala Ramli, 61, menerima DMSM Kehormat.


Menurutnya, ketiga-tiga individu berkenaan antara 901 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka yang akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada hari ini, Ahad dan 24 Oktober ini.

Hukuman kesalahan AES: Gantung lesen


Putrajaya: Berkuat kuasa Januari tahun depan, pesalah yang disaman menerusi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dikenakan mata demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA), selain boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM300 jika lewat membayar saman.

Tempoh setahunKetua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad, berkata jika mendapat 15 mata demerit dalam tempoh setahun, lesen memandu mereka boleh digantung.

Bagaimanapun, menurutnya, jika mereka membayar saman dalam tempoh tiga bulan, mata demerit tidak akan dikenakan.

Sebagai contoh, beliau berkata, bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat dan melebihi had laju, pesalah akan dikenakan lapan mata demerit.

“Penyelarasan hukuman itu dijangka dilakukan selepas proses pengambilalihan AES dan sistem KEJARA oleh kerajaan selesai,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Mengenai kompaun maksimum RM300, beliau berkata, ia hanya akan dikenakan jika mereka membayar saman selepas tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan, manakala yang membayar dalam tempoh satu hingga 14 hari hanya perlu membayar RM150 dan yang membayar dalam tempoh 15 hingga 30 hari, sebanyak RM200.

Kompaun kekal RM300

KETUA Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad menunjukkan borang pengesahan identiti kad pengenalan yang akan ditukarkan sepenuhnya kepada sistem biomatrik dalam MySIKAP pada sidang media mengenai AES di Putrajaya, semalam.
Ismail berkata, kadar berkenaan hanya untuk kesalahan pemanduan melebihi satu kilometer hingga 40 kilometer sejam daripada had laju yang ditetapkan serta melanggar lampu isyarat merah.

Bagi kesalahan yang melebihi 40 kilometer sejam daripada had laju, kadar kompaun kekal RM300 tanpa mengambil bila mereka membuat bayaran.

“Kadar baru saman AES ini adalah berasaskan prinsip ‘lebih lama anda tangguh, lebih tinggi anda bayar.

“Bagi saman AES yang dikeluarkan antara 18 September lalu hingga semalam (9 Oktober), tempoh pembayaran 14 hari dikira mulai hari ini (semalam).

“Bagaimanapun, ia hanya berkuat kuasa bagi saman dikeluarkan mulai 18 September lalu. Saman sebelum itu masih pada kadar tetap tetapi bergantung keputusan kerajaan kelak,” katanya.

Beliau menjelaskan, saman boleh dibayar melalui Sistem MySIKAP JPJ.

Zulfahmi bawa khabar gembira

Pelumba Moto 3, Zulfahmi Khairuddin bercakap ketika sidang media di SIC sempena
Grand PrixMoto GP Malaysia 2013.
BERITA gembira buat peminat sukan permotoran tempatan apabila jaguh motosikal negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengalami kecederaan dalam perlumbaan di Alcaniz, Sepanyol bakal beraksi pada Grand Prix Malaysia hujung minggu ini.

Zulfahmi berkata, rawatan pemulihan kesan dari kecederaan dialami menunjukkan peningkatan positif yang memberikannya peluang untuk beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Rawatan pemulihan kesan kecederaan menunjukkan kesan positif dan pakar perubatan sendiri mengesahkan saya boleh beraksi hujung minggu ini.

“Hari ini saya akan menjalani latihan ringan menunggang motosikal sambil diselia doktor perubatan sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media di SIC Sepang, semalam.

Jelasnya, sokongan peminat tempatan memenuhi SIC Sepang semasa perlumbaan diadakan hujung minggu ini amatlah diharapkan bagi menaikkan semangat pelumba tempatan.

“Sudah tentu kehadiran penonton akan menaikkan semangat pelumba tempatan, kami akan  melakukan yang terbaik demi negara dan peminat,” katanya yang menduduki tempat kedua pada perlumbaan musim lalu.

Selain Zulfahmi (Red Bull KTM Ajo) yang akan beraksi dalam Moto3 bersama Husni Aizat Abdul Malik (Touchline SIC Ajo) dan Amirul Hafiq Mohd. Azmi (Touchline SIC Ajo).

Peminat tempatan juga bakal melihat Azlan Shah Kamarulzaman (Musashi Boon Siew Honda), Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline Malaysia)  dan Mohd. Zaqhwan akan bersaing Moto 2.