Racun ikan pontianak

Ludington: Pekerja hidupan liar akan menggunakan racun serangga di sungai berhampiran Tasik Michigan dalam usaha untuk membunuh ‘ikan pontianak’ yang menghisap darah ikan lain.

Lamprei laut dewasa boleh mencapai dua hingga tiga kaki menyerupai belut, tetapi bersikap seperti lintah.

Dengan mulut bulat seperti cakera dan bergigi tajam, mereka melekap pada ikan lain dan menghisap darah dan cecair lain dalam badan menyebabkan mangsa menjadi terlalu lemah.

Meskipun berasal dari Lautan Atlantik, ia boleh hidup dalam air tawar dan berpindah ke tasik besar menerusi terusan laluan kapal.

LAMPREI mempunyai mulut bulat seperti cakera dan bergigi tajam.

LAMPREI dewasa boleh mencapai tiga kaki panjang.

DUA lamprei menghisap darah seekor ikan trout.

Menjelang lewat 1940-an, penceroboh yang membiak dengan banyak itu menyebabkan ikan trout, ikan putih dan spesies sukan serta komersial di seluruh tasik semakin berkurangan.

Usaha memerangi lamprei menelan belanja lebih AS$400 juta (RM1.2 bilion) sepanjang lima dekad lalu.

Populasi ikan itu berkurangan 90 peratus sejak lewat 1950-an selepas penyelidik menemui cara membunuhnya tanpa menjejaskan spesies lain.

Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat memerangi lamprei menggunakan rawatan racun serangga mulai hari ini hingga Ahad depan di Sungai Mitchell Creek yang mengalir ke Tasik Michigan.

“Larva lamprei laut itu di sungai itu paling mudah diserang. Adalah mustahil kami mendapatkan lamprei dewasa di tasik ,” kata Alez Gonzalez, pakar biologi perikanan yang berkhidmat di pejabat Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Luar Amerika Syarikat di Ludington.

Menurutnya, rawatan itu 95 hingga 99 peratus berkesan dalam membunuh parasit pada peringkat ini, kata Gonzalez.

Lamprei laut biasanya digelar ‘ikan pontianak’ kerana ia menghisap darah ikan lain. - Daily Mail

‘Belum rezeki Zulfahmi’


Kuala Lumpur: Pengurus pasukan Red Bull KTM Ajo, Aki Ajo percaya nasib masih belum menyebelahi Zulfahmi Khairuddin untuk berada di podium selepas Pusingan 5 Kejuaraan Dunia di GP Itali hanya menyaksikan anak didiknya itu berada di tangga ke-11 keseluruhan.

Baginya, pelumba dari Banting, Selangor itu sudah menunjukkan peningkatan sejak awal musim perlumbaan, cuma mungkin tuah masih belum memihak kepada Zulfahmi sejak menyertai Moto3.
“Mungkin keputusan masih belum memihak kepada dirinya,” kata Aki semalam. “Tetapi dia dan pasukan sangat gembira kerana kami melihat ada peningkatan dan kami sebenarnya berada di landasan yang betul.

Boleh lakukan lebih baik

“Kami tahu dan percaya bahawa pasukan semakin hampir dengan apa yang diingini. Kami perlu meningkatkan lagi latihan, kerana jurang perlumbaan ketika ini sangat bagus,” katanya yang turut gembira apabila seorang lagi pelumbanya, Luis Salom menjuarai GP Itali, kelmarin.

Salom meraih kemenangan keduanya musim ini selepas di GP Qatar untuk meraih 102 mata - 4 mata di belakang pendahulu, Maverick Vinales (pasukan Team Calvo). Zulfahmi kini di tangga ke-8 keseluruhan berkongsi 33 mata dengan pelumba Mahindra Racing, Miguel Oliveira.

Sementara itu, Zulfahmi berkata: “Sekarang ini, kami perlu fokus kepada hasil kerja ketika sesi latihan terutama sesi kelayakan. Pada sesi latihan pertama, kami sentiasa bermula dengan baik tetapi apabila masuk hari kedua, kami gagal mendapat posisi yang bagus.
“Jika berjaya memulakan perlumbaan di posisi hadapan dan terus kekal bersama kelompok pendahulu, saya boleh melakukan yang lebih baik lagi,” kata Zulfahmi yang mempunyai rekod dua penamat di podium tahun lalu - di GP Malaysia dan GP Valencia.

Wajah pisau cukur


Hati wanita memang secara zahirnya dilahirkan dengan kelembutan dan ketenangan, sehingga mudah cair andai diucap kata-kata manis dan pujuk rayu daripada insan yang mereka sayang.

Namun jangan disebabkan terlalu sayang, sehingga diri terjerat oleh teman lelaki sehingga sanggup menghabiskan duit demi si jejaka hati. Cuba buka mata dan akal sebelum bertindak bodoh. Wanita harus ingat, jangan jadikan alasan bercinta sehingga membuatkan teman lelaki melampau dan pijak kepala.

Kalau dua atau tiga kali bolehlah dianggap membantu, tetapi kalau sudah hampir setiap minggu menagih wang, wanita harus lebih berwaspada!

Jangan digelar pula tidak mempunyai akal untuk bertindak, kalau kena tipu janganlah pula menangis berlutut depan orang tua. Wanita harus lebih tegas dalam menangani isu ini. Lelaki dalam kategori pisau cukur ini akan memberikan seribu satu alasan untuk menjadikan teman wanita sebagai sumber untuk dapatkan wang.

Pisau cukur biasanya akan menjadikan perempuan kaya sebagai mangsa untuk menagih simpati dengan menjual wajah tampan mereka. Kemudian menggunakan kata-kata manis untuk memerangkap supaya mangsa simpati. Hakikatnya hanya penipuan dan lakonan semata-mata.

Apabila sudah menghabiskan wang perempuan pertama, mereka akan mula mencari mangsa yang seterusnya dengan pujukan rayu yang sama. Modus operandi yang sama iaitu duit.

Selama ini ramai berpandangan isu ini lebih kepada kaum wanita yang dianggap suka mengikis harta teman lelaki. Namun janganlah terlalu berfikiran skeptikal kerana lelaki juga ada sikap buruk itu. Malas untuk bekerja juga menjadi punca lelaki meminta wang daripada kekasih.

Lelaki perlu ingat tugas sebagai suami adalah memberikan nafkah zahir dan batin untuk keluarga, mereka perlulah menunjukkan sikap dan komitmen itu sebelum berkahwin.

Biasanya mereka memberikan alasan meminjam wang kerana ingin memulakan perniagaan bagi menjamin masa depan bersama, namun hakikat sebenar pinjam duit sebab ingin keluar bersama perempuan lain.

Apabila hutang bertimbun, membuatkan mereka terdesak untuk meminjam wang. Pinjaman bank atau badan kewangan yang lain, mengambil tempoh yang lama untuk proses tetapi pinjam dengan kekasih, boleh dapat dengan segera.

Gaji atau pendapatan bulanan yang tidak seberapa juga, menjadi punca lelaki kategori ini meminjam daripada teman wanita. Kalau setakat RM100 atau RM200 mungkin wanita boleh tolong, tetapi hampir setiap minggu nak pinjam, memang parah!

Mereka harus fikir wanita juga ada kehendak lain yang perlu dituruti, bukannya menghabiskan wang simpanan itu untuk menyara kehidupan mereka.

Ada juga yang buat onar semasa bekerja dan akhirnya dibuang, lalu buat muka ala-ala minta simpati kepada teman wanita untuk meminjam wang. Bantuan yang kecil pada mulanya, menjadi kerap atas alasan sayang.

Kehidupan yang miskin juga menjadi antara sebab mereka menjadi pisau cukur.
Tidak kurang yang berdendam kepada bekas teman wanita, membuatkan lelaki menipu kaum wanita untuk mendapatkan harta. Habis madu, sepah akan dibuang.

Terikut dengan kawan-kawan yang tergolong dalam kategori ini juga antara punca mereka menjadi pisau cukur. Namun harus ingat, selamat di dunia belum tentu selamat di akhirat.

Lelaki dalam kategori ini juga akan memberikan kata-kata manis, misalnya perempuan yang dikenali itu adalah segala-galanya, ­namun


6 cara untuk elak menjadi mangsa kekasih pisau cukur

1. Buat muka kering

Walaupun dipujuk rayu dengan kata-kata manis, jangan termakan janji manisnya. Perempuan juga jangan cepat tersentuh hati dengan wajah yang mereka tampilkan kerana lelaki dalam kategori ini mudah dan pandai dalam memujuk rayu.


2. Kenakan syarat ketika keluar

Berikan beberapa syarat kepada teman lelaki untuk keluar dan jangan sesekali memberi muka kepada mereka dengan mengeluarkan wang sendiri. Jika dia yang mengajak keluar biarkan teman lelaki yang mengeluarkan duit untuk berbelanja.


3. Jauhkan diri 

Apabila terasa diri ditipu, cubalah belajar berjauhan daripadanya, mungkin ketika itu dia akan berasa perubahan pada diri anda. Lelaki dalam kategori ini juga tidak ikhlas dalam percintaan.


4. Beranikan diri katakan TIDAK

Jika teman lelaki ingin meminjam wang dengan kerap kali, berikan alasan yang munasabah supaya diri tidak terjerat dengan lakonan palsu mereka dan berani suarakan pendapat dan katakan TIDAK andai teman lelaki tidak putus-putus mengganggu urusan seharian kerana ingin meminjam wang.


5. Pura-pura tiada duit 

Wanita juga harus bijak dalam berpura-pura, terutama kepada orang lelaki yang suka meminjam duit ini. Jika diri sering kali dipergunakan untuk diminta wang, cubalah berpura-pura tidak mempunyai wang atau berikan seberapa banyak alasan seperti akaun bank ada masalah atau belum terima gaji. Mudah bukan?


6. Putuskan hubungan

Nasihat juga tidak diterima dan tabiat itu masih berleluasa seperti malas bekerja hanya tahu meminta, putuskan saja hubungan dengan mereka, jangan buat diri sendiri terjerat dengan masalah teman lelaki sehingga diri terjebak dengan konflik itu. Mungkin ada yang lebih baik menanti anda di luar sana.

Bayi terselamat dari paip kumbahan keluar hospital

Keadaan bayi yang terperangkap di dalam saluran paip kumbahan, di China. - Foto BBC

BEIJING - Seorang bayi lelaki di China yang diselamatkan dari paip kumbahan telah keluar dari hospital semalam.

Bayi itu diselamatkan selepas tersekat di paip kumbahan sebesar 10 sentimeter Sabtu lalu.

Ibunya yang berusia 22 tahun berkata, bayinya terjatuh dalam tandas dan tersekat di dalam lubang tandas ketika dilahirkan.

Polis pada mulanya menganggap kes itu sebagai cubaan bunuh berdasarkan keadaan bayi itu yang berada di paip kumbahan.

Tetapi menurut polis, tiada sebarang bukti menunjukkan ia merupakan cubaan bunuh.

“Kes ini merupakan satu kemalangan. Bayi itu sudah keluar hospital dan diambil oleh datuk dan neneknya.

"Dia kini berada dalam keadaan stabil,” kata pegawai dari daerah Pujian.

Luna, Ariel hanya kawan

Pengarah Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi (kanan), Luna Maya dan Fauzan Nasrul pada majlis pengumuman tayangan perdana filem Pintu Harmonika.
Artis Indonesia enggan ulas lanjut hubungan dengan vokalis kumpulan Noah, tumpu perhatian kepada perniagaan, mengarah

Tersenyum wanita ini apabila diajukan soalan mengenai hubungan sebenarnya bersama vokalis kumpulan Noah, Ariel, ketika ini. Tidak melatah tatkala dihujani pertanyaan berhubung perkara itu, sebaliknya Luna Maya tenang selain sedaya upaya memberikan jawapan yang berlapik.

Bersikap profesional, pelakon yang juga pengacara berusia 30 tahun ini menganggap hubungan mereka kini tidak lebih daripada kawan dan rakan kongsi dalam perniagaan.
Skandal video seks bersama penyanyi lelaki terbabit kira-kira tiga tahun lalu, sehingga menghumban bekas vokalis kumpulan Peterpan itu merengkok hampir dua tahun dalam penjara, nampaknya masih berbekas di hati wanita ini walaupun kes berkenaan sudah pun selesai.

Tidak pernah menyalahkan bekas kekasihnya dalam isu itu, Luna seboleh-bolehnya mahu memperbetul dan membersihkan kembali nama masing-masing.

Cuba melontar jauh kontroversi itu daripada diri, Luna pada masa sama berharap hubungan baik mereka kini tidak disalah erti.

“Saya masih berhubungan dengannya sebagai rakan perniagaan dan kenalan. Sekarang, dia lebih memfokuskan kepada pembinaan semula kerjaya seninya, dan berilah peluang kepadanya untuk memulakan hidup baru.

“Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan mengenai percintaan kerana kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada kemudian hari. Jadi, lebih baik beri tumpuan kepada bidang seni masing-masing daripada menyentuh soal peribadi,” katanya yang membuka kedai kasut bersama Ariel, sejak Disember lalu.

Teruja bergelar sutradara 

Kembali solo bukan bererti Luna menutup pintu hatinya daripada lamaran mana-mana jejaka, sebaliknya dia mahu membina kerjaya barunya sebagai pengarah.

Melangkah setapak lagi dalam bidang seni setelah 14 tahun bergelumang dalam industri hiburan Indonesia, Luna enggan menoleh ke belakang lagi.

“Saya tidak mahu terburu-buru dalam soal jodoh dan apabila sudah berpunya, saya akan maklumkan. Saya mahu menumpukan perhatian pada kerjaya kerana sekarang saya lebih teruja mengarah, seperti anak kecil yang baru mendapat permainan,” katanya.

Tampil dengan karya sulung berjudul Pintu Harmonika, ia menjadi batu loncatan buat Luna untuk berada di bangku sutradara tanpa mengabaikan bidang lakonan serta pengacaraan.

Keinginan untuk mengarah semakin menebal dalam jiwa artis berasal dari Denpasar, Bali, ini selepas muncul dengan filem pendek berjudul Suci In The City, pada 2008.

“Sebelum ini, saya terfikir untuk berniaga, tetapi ketika itu saya tidak tahu bentuk perniagaannya. Sehinggalah pada 2011, saya ada banyak waktu yang terluang, jadi saya mengambil keputusan untuk mengarah.

“Saya masih baru dalam bidang ini dan masih belajar. Saya banyak menonton filem di YouTube dan juga kerap ke panggung. Di situ saya belajar teknik pengarahan, selain mempelajarinya dengan petugas di set penggambaran,” katanya.

Peminat bantu promosi 

Filem sulung arahannya yang membariskan pelakon seperti Fauzan Nasrul, Karina Salim, Donny Damara, Barry Prima, Jenny Chang, Adam Putra Pertama dan Nasya Abigail mempunyai tiga cerita berbeza di rumah kedai, tetapi mengetengahkan satu mesej cinta.

Filem membabitkan kos RM1 juta yang menjalani penggambaran pada Disember 2011 itu turut menampilkan pengarah, Ilya Sigma dan Sigi Wimala. Ia ditayangkan di saluran Astro First serentak dengan tayangan di seluruh pawagam di Indonesia pada 23 Mei.

“Setiap pengarah menghasilkan karya mereka sendiri tetapi pada penghujung penceritaan, ia akan disatukan. Asalnya lima pengarah termasuk Dian Sastrowardoyo direncanakan terbabit dengan projek ini, tetapi mereka tidak dapat ikut serta kerana komitmen lain.

“Saya pula beruntung kerana mempunyai kelab peminat, Luna Tic, yang sangat mengambil berat sehinggakan mereka sanggup mengumpul dana untuk membantu membuat promosi filem ini dengan menghasilkan poster untuk ditampal di tempat awam.

“Dari segi pemasaran dan promosi, saya tidak mempunyai masalah kerana saya menggunakan populariti, kerjaya sebagai pengacara serta pelakon untuk menghebahkan kemunculan filem ini,” katanya yang akan menyambung pengajian dalam bidang pengarahan di Akademi Filem di New York selama tiga bulan, hujung tahun ini.

Bekerjasama dengan Astro turut memberi kelebihan kepada Luna untuk membawa karyanya ke luar negara, tanpa melalui pawagam memandangkan Astro juga dapat ditonton di Singapura dan Brunei.

Info: 

Luna Maya 
  • Tidak hanya bidang lakonan dan pengacaraan, bakatnya turut bersinar dalam bidang seni suara. 
  • Luna akan muncul dengan lagu terbaru dalam masa terdekat selepas tiga singlenya sebelum ini, Suara, Tak Bisa Bersamamu dan Sudah Biasa mendapat sambutan baik peminat. 
  • Luna akan muncul dengan filem terbarunya berjudul Killers pada Oktober ini, bergandingan dengan Oka Antara, Kazuki Kitamaru dan Rin Takanashi. Filem itu diterbitkan bersama oleh produksi Indonesia dan Jepun.