Pedrosa memukau

Sepang: Dani Pedrosa mengekalkan kemenangan yang diraih musim lalu apabila sekali lagi muncul juara pada saingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus kemenangan ketiga diraih musim ini.

Selepas melalui detik sukar pada Grand Prix Aragon apabila gagal menamatkan perlumbaan akibat terjatuh, pelumba Repsol Honda itu memulakan perlumbaan dengan baik meskipun sekadar bermula di petak kelima.

Podium kedua pula menjadi milik rakan sepasukan Marc Marquez yang terpaksa bersaing sengit dengan pelumba Yamaha, Jorge Lorenzo.

Juara bertahan itu sekadar berpuas hati dengan tempat ketiga selepas jenteranya tidak begitu kompetitif.

PEDROSA (No 26) cemerlang dengan merangkul tempat pertama di Sepang.
“Inilah kemenangan yang saya mahukan selepas melalui minggu yang cukup sukar di Aragon.

Zulfahmi sasar 10 terbaik

Zulfahmi memulakan perlumbaan di petak ke-14 hari ini.
PELUMBA negara dalam kategori Moto3,  Zulfahmi Khairudin akan memulakan perlumbaan di kedudukan ke-14 selepas mencatat masa 2’15.474 dalam seisi kelayakan masa Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kedudukan petak yang diraih pelumba negara ini dianggap satu perkembangan positif memandangkan Zulfahmi masih bertarung dengan kesakitan di bahagian belakang pinggang dan pergelangan tangan kanannya.

Menurut Zulfahmi, segalanya berjalan dengan lancar dengan beberapa penambahbaikan berjaya dilakukan pasukan dan berada dikedudukan ke -14 sesuatu yang memberangsangkan.

“Walaupun pada mulanya litar agak basah hingga menjejaskan sedikit catatan masa sebelum kami mengambil keputusan untuk menunggu litar kering dan catatan masa 2’15.474 dianggap bagus berbanding semalam.

“Saya masih bertarung dengan kesakitan namun, saya gagahkan kerana ingin mencuba yang terbaik, masih banyak boleh diperbaiki terutamanya ketika mengambil selekoh namun percaya esok mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran untuk aksi hari ini, Zulfahmi mahu memastikan dua pusingan awal mampu meletakkan dirinya berada dalam kedudukan terbaik selain menamatkan perlumbaan di kalangan 10 terbaik .

“Perlu tahu kemampuan diri saya pada masa ini,  kesakitan memang masih dirasai namun mengharapkan ia berkurangan dan tidak melarat.

“Sasaran peribadi sudah pastinya 10 terbaik dan yakin mampu melakukannya jika dilihat prestasi jentera dan kemampuan pasukan,” katanya.

Selain Zulfahmi, dua pelumba muda negara, Amirul Hafiq Azmi turut beraksi dalam kategori yang sama dan berada dipetak 32 (2’17.757) manakala Husni Aizat petak 33 (2’17.814).

Bergelut cari rentak

Sepang: Prestasi sederhana dipamer pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada dua sesi latihan bebas semalam sebenarnya menyaksikan dia berlumba dalam kesakitan dan agak bergelut mencari rentak tunggangan terbaik kerana belum pulih sepenuhnya daripada proses pemulihan berikutan kemalangan di Grand Prix Aragon, dua minggu lalu.

Pada sesi pagi latihan bebas pertama, pelumba Red Bull KTM Ajo itu mencatat masa 2 minit 16.852 saat untuk menduduki tempat ke-20 manakala pada sesi kedua yang berlangsung selepas hujan, Zulfahmi melakar masa 2:18.610s, juga di tempat ke-20.

Pada sesi latihan kedua, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu hanya memasuki litar kira-kira tujuh minit sebelum tamat sesi latihan 40 minit.

“Sebenarnya pada sesi latihan pertama, memang sakit akibat bengkak di bahagian bawah pinggang belakang. Ia berlaku terutama ketika saya tunduk di laluan lurus.

“Saya rasa betul-betul sakit. Sebab itu pasukan ambil keputusan untuk saya berehat lebih lama di pit dan hanya melakukan tujuh pusingan penuh.

“Kami mahu fokus kepada sesi latihan kedua, tapi ketika itu hujan dan litar pula basah. Keputusan diambil untuk saya buat dua pusingan penuh saja pada hujung sesi.

Zulfahmi Khairuddin

“Tidak banyak boleh saya katakan mengenai prestasi jentera sebab fokus utama adalah sesuaikan diri saya dengan motosikal,” katanya.

Zulfahmi berkata, dia memang rasa terkejut kerana kesakitan di bahagian belakang lebih memberi masalah berbanding pembedahan di pergelangan tangan kanannya yang selama ini menjadi tumpuan utama.

“Sakit di bahagian belakang sama ketika terjatuh di Aragon. Cuma tumpuan sebelum ini lebih kepada tangan saya,” katanya.

Apapun, dia sudah bersedia untuk turun berlumba walaupun terpaksa menahan kesakitan.

“Saya sudah 70 peratus sedia untuk turun berlumba dan cuba mencatat masa terbaik pada sesi kelayakan esok (hari ini),” katanya.

Hafizh mahu 10 terbaik

Hafizh Syahrin Abdullah (kiri) melayani peminatnya selepas menamatkan sesi latihan Grand Prix Malaysia di Sepang.
SEPANG - Pelumba muda berbakat besar negara, Hafizh Syahrin Abdullah meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik pada sesi kelayakan Moto2, Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Kata Hafizh, jenteranya kini berfungsi dengan baik selepas melakukan pelarasan pada enjin, sekali gus meningkatkan keyakinan untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Hafizh yang mewakili pasukan Petronas Raceline Malaysia pada Kejuaraan Dunia itu turut memberitahu, sasaran 10 terbaik tersebut lebih realistik berikutan perlu bersaing dengan ramai jaguh Moto2.

"Hari ini (semalam) saya puas hati dengan prestasi jentera terutama pada sesi latihan bebas kedua malah dapat merasai banyak perubahan besar pada jentera selepas melakukan pelarasan pada enjin.

"Jika saya dapat meraih kedudukan 10 terbaik ia sudah dianggap satu pencapaian baik kerana beza masa antara setiap pelumba tidak terlalu jauh," kata Hafizh.

Pada sesi latihan kedua, semalam Hafizh melakukan catatan masa 2 minit 9 saat untuk berada di tempat ke-14 terpantas dan ketinggalan 1.679s di belakang pelumba terpantas pada hari pertama GP Malaysia, Esteve Rabat daripada pasukan Tuenti HP 40.

Dua lagi pelumba negara yang beraksi pada Moto2 kali ini iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi tidak berupaya mengikut jejak Hafizh yang menamatkan sesi latihan bebas dengan catatan masa sekitar 2:09s.

Azlan yang mewakili pasukan Idemitsu Honda Team Asia tidak mampu memperbaiki catatan masa 2:10.469s selepas mengalami kemalangan pada sesi ujian bebas kedua, manakala Zaqhwan yang beraksi untuk Technomag Carxpert hanya mampu berada di kedudukan ke-27 terpantas pada sesi ujian bebas kedua dengan catatan masa 2:10.831s.

Sementara itu, dua pelumba wildcard Moto3 daripada pasukan Touchline-SIC-Ajo mengakui masih memerlukan pelarasan maksimum pada jentera untuk membolehkan mereka berlumba dengan baik pada Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.

Pada aksi pertama, semalam, dua pelumba tersebut iaitu Amirul Hafiq Mohd. Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik mempamer tunggangan memberangsangkan apabila menamatkan sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa sekitar 2:17s.

Namun, prestasi kedua-dua mereka yang baru pertama kali beraksi di Kejuaraan Dunia itu menurun di sesi latihan kedua di sebelah petang yang sedikit basah selepas hujan dengan masing-masing berada di tangga ke-29 dan ke-32.

Amirul Hafiq, 16 tahun, berkata, sesi latihan bebas ketiga yang berlangsung hari ini perlu dimanfaatkan dengan baik selain berharap jenteranya dapat berfungsi dengan lebih bagus.

"Pelarasan motosikal tidak berada baik lagi kerana apabila brek tidak stabil (sesi latihan bebas 1) namun pada baki-baki terakhir kami menukar pelarasan dan motosikal berada dalam keadaan lebih bagus.

"Namun di sesi latihan bebas 2, keadaan litar basah jadi ia agak sukar buat saya tetapi untuk sesi esok (hari ini) saya yakin mampu meningkat lebih baik," kata Amirul Hafiq.

Husni Aizat pula berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki terutama corak tunggangan di selekoh laju seperti di selekoh 5 dan 12.

"Catatan masa pada sesi latihan bebas pertama (2:17.865s) mencapai sasaran saya dan sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik esok (sesi latihan bebas ketiga)," jelas Husni Aizat.

'Saya boleh berlumba'

Bekas juara dunia, Valentino Rossi (kiri) bertanya keadaan kesihatan Zulfahmi pada sidang akhbar Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
SEPANG - "Saya sudah pulih dan cukup cergas untuk aksi hujung minggu ini."

Itu tegas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin pada sidang akhbar Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kata Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo, doktor perlumbaan MotoGP telah membuat pemeriksaan ke atasnya dan mengesahkan bahawa dia sudah boleh berlumba kembali biarpun sebelum ini ada pihak menyuarakan kebimbangan terhadap prestasinya selepas menjalani pembedahan di pergelangan tangan kanan di Sepanyol, baru-baru ini.

Tambah Zulfahmi, kini fokusnya adalah untuk memastikan tunggangannya pada perlumbaan hujung minggu ini berlangsung dengan baik tanpa sebarang masalah.

"Saya kini sudah boleh menggerakkan tangan dengan baik serta amat gembira apabila doktor yang merawat saya pagi tadi (semalam) memberitahu saya boleh beraksi tanpa apa-apa yang perlu dibimbangkan.

"Dapat beraksi di laman sendiri adalah sesuatu yang dinantikan oleh saya dan saya sentiasa memandang ke hadapan dalam setiap perlumbaan yang saya sertai," kata Zulfahmi.

Pada 29 September lalu, Zulfahmi mengalami kecederaan pada pergelangan tangannya selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi perlumbaan di Grand Prix Aragon, Sepanyol.

Kecederaan pelumba itu mendapat reaksi pelbagai pihak, malah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz turut menasihatkan Zulfahmi agar berehat dan tidak berlumba di Grand Prix Malaysia, hujung minggu ini.

Bagaimanapun, Zulfahmi tetap dengan pendiriannya untuk terus beraksi di Litar Antarabangsa Sepang sebelum memperoleh pengesahan daripada doktor perlumbaan di sini.

Sementara itu, Zulfahmi turut berharap pada sesi latihan bebas hari ini tiada lagi rasa sakit dirasai pada pergelangan tangannya.

"Sekiranya rasa sakit dapat di atasi sudah tentu semuanya akan berlangsung dengan baik selain dapat membuat catatan masa yang bagus.

"Dalam masa sama juga saya ingin berterima kasih kepada ISN kerana banyak memberikan bantuan dan prihatin terhadap kecederaan yang saya alami ini," kata Zulfahmi.