10 tahun raih semula kos bina jambatan

Pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang bernilai RM4.5 billion dijangka siap pada 
bulan September tahun depan.

Syarikat peroleh manfaat pembangunan Pulau Pinang

Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menyasarkan mendapatkan semula kos pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berjumlah RM4.5 bilion dalam tempoh 10 tahun ia beroperasi.

Pengarah Urusannya, Datuk Dr Ismail Mohamed Taib, berkata beliau positif bahawa kos pembinaan itu akan diperoleh semula dalam tempoh itu berikutan pembangunan rancak di kawasan sekitarnya.

" Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun," Dr Ismail Mohamed Taib, Pengarah Urusan JKSB

Beliau menjelaskan, kawasan Batu Kawan dan Balik Pulau akan mendapat manfaat dari Jabatan Pulau Pinang Kedua itu kerana aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan akan menjadi lebih fokus apabila siapnya jambatan itu.

“Kerajaan (Persekutuan) mahu pembangunan di negeri Pulau Pinang seimbang. Kini, ia bertumpu di sebelah utara, iaitu Georgetown dan Butterworth,” katanya.

Jambatan terpanjang

Jambatan itu, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar dan Batu Maung di pulau, apabila disiapkan menjelang September 2013, akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara, dengan jarak atas air 16.9 kilometer (km).
Ia akan dibina untuk tahan gegaran seismik dan dapat menahan gempa bumi pada skala 8.2 Richter yang berpusat sejauh kira-kira 300km.

JKSB menyasarkan untuk mencapai kemajuan pembinaan 90 peratus menjelang akhir 2012 dan menjangka jambatan itu akan dibuka kepada orang awam menjelang November 2013, kata Ismail.

Katanya, JKSB menyandarkan kepada kutipan tol bagi pendapatan dan menjangka purata 25,000 pengguna menggunakan jambatan itu sehari.

“Kami hanya dapat 20 peratus daripada trafik Jambatan Pulau Pinang Pertama. Kami mahu meningkatkan agihan itu sebanyak 15 peratus setahun,” katanya.

Sedang naik taraf

Ismail berkata, syarikat itu kini sedang menaik taraf Lebuhraya Tun Lim Chong Eu.

“Kami menjangka peningkatan trafik di jambatan baharu itu selepas kerja menaik taraf selesai. Pengguna jalan raya akan mendapatinya selesa untuk ke Georgetown.

“Pembangunan Kawasan Perindustrian Batu Kawan atau Bandar Cassia akan memanfaatkan jambatan dan kawasan itu,” katanya.

Mengenai kadar tolnya, Ismail berkata ia dijangka ditetapkan pada RM7.

“Dalam perjanjian konsesi, kami perlu memastikan tol jambatan itu dan Jambatan Pulau Pinang Pertama adalah sama,” katanya. - BERNAMA

10 pantai tercantik di dunia

SUASANA privasi dan terpencil menjadi tarikan pengunjung ke Pulau Ocracoke.

BAGI kebanyakan orang di negara bermusim, percutian musim panas sering dikaitkan dengan satu perkataan iaitu pantai. Cabaran untuk mencari sesebuah pantai yang sempurna dan bertaraf dunia sememangnya mengujakan para pelancong sejak sekian lama.

Tentunya sukar untuk mencari jawapan yang tepat kerana ia bergantung kepada penilaian seseorang individu itu sendiri.

Mereka yang gemarkan suasana sunyi dan privasi lazim memilih kawasan pantai yang terpencil. Tidak kurang juga yang sukakan kawasan pantai yang sesak semata-mata mahu mencuri perhatian melalui fesyen pakaian mandi terkini mahupun bentuk tubuh yang ideal dan berotot.

Walau apapun alasannya, mencari sesebuah pantai yang sempurna bergantung kepada tiga 'resipi' asas iaitu cahaya matahari, pasir pantai dan panorama menakjubkan di sekitarnya.

Sama ada pantai yang terkenal atau tidak, privasi atau sesak, senarai ini sekurang-kurangnya memberi idea mengenai lokasi pantai popular dunia untuk rujukan percutian masing-masing.

Pantai La Minitas, Republik Dominica

Pantai yang terletak di Republik Dominica itu terkenal dengan kecantikan dan ketenangannya.

Bersih, jauh daripada sebarang pencemaran dan dikelilingi panorama indah, pengunjung pasti tidak akan menyesal sekiranya memilih republik itu sebagai destinasi percutian.

Pantai La Minitas hanya memakan masa 10 minit perjalanan dengan menggunakan bas shuttle. Ia merupakan lokasi terbaik bagi pengunjung yang suka berjemur dalam suasana privasi.

Biarpun kedudukannya agak terpencil, pengunjung tidak akan kelaparan kerana terdapat banyak restoran di sekelilingnya. Lebih menarik, terdapat perkhidmatan spa dan urutan yang ditawarkan di tepi pantai.

White Beach, Boracay, Filipina

Mempunyai pesisiran pantai yang halus memutih sepanjang lebih dua kilometer, White Beach atau Pantai Putih dianggap syurga bagi peminat-peminat aktiviti pantai di seluruh dunia.

Persekitarannya memukau dengan keaslian semula jadi yang tidak pernah terusik sejak 30 tahun lalu.

Dikelilingi perkampungan nelayan, ia menjanjikan kepuasan kepada pengunjung yang mahu merasai suasana percutian dalam iklim tropika.

Masa terbaik untuk berkunjung ke situ ialah ketika musim Amihan (monsun barat laut) bermula dari September hingga Jun. Ketika itu, suhunya agak sederhana dengan sedikit hujan dan angin sejuk yang lazim bertiup dari Timur.

DIKENALI sebagai Pantai Merah Santorini, lokasi istimewa ini menawarkan landskap dan 
panorama menakjubkan.

South Beach, Miami, Florida, Amerika Syarikat

Sejak sekian lama, South Beach menjadi pilihan pelancong yang mahu merasai imej mewah dan glamornya.

Bagaikan sebuah jenama yang tidak perlu diterjemahkan, pantai itu sesak dengan pengunjung yang mahu merasai budaya keriangan pantai ala Amerika. Selain itu, pantai tersebut menjadi tumpuan kerana kehadiran wanita-wanita seksi berpakaian mandi atau lelaki yang berotot sasa.

Dikelilingi ratusan hotel mewah, pusat membeli-belah, restoran dan kelab malam, ia menawarkan pelbagai aktiviti dan hiburan tanpa henti sehingga ke malam.

Sepanjang berada di situ juga pengunjung mungkin terserempak dengan selebriti Holywood kesayangan yang sedang memandu kereta mewah atau membeli-belah.

Pantai Merah Santorini, Akrotiri, Kepulauan Greece

Jika mahu menikmati percutian unik sambil menyaksikan landskap istimewa, Santorini Red Beach (Pantai Merah Santorini) berbaloi untuk dikunjungi.

Pertembungan warna biru air laut, rona merah daripada pasirnya yang halus dan puncak gunung berapi di sekelilingnya menghasilkan landskap unik dan tiada yang seumpamanya di dunia.

Biarpun kawasan pantainya agak kecil, namun ia sangat popular dan sering menjadi tumpuan pelancong untuk bersantai.

Perlu diingat, tiada sebarang kemudahan asas disediakan kecuali sebuah gerai yang menyewakan payung dan kerusi pantai. Anda perlu membawa makanan dan minuman sendiri sekiranya mahu berada di situ lebih lama.

Pantai Tulum, Mexico

Mexico sememangnya terkenal dengan keindahan bandar raya dan pantainya yang mempesona.

Terletak kira-kira 80 kilometer dari Cancun, Tulum terkenal sebagai kawasan yang menyimpan sejarah silam puak Maya satu ketika dahulu.

Di samping nilai sejarahnya yang hebat, ia juga memiliki pantai yang tidak kurang hebatnya, Pantai Tulum.

Pasir pantai yang halus memutih dan air laut yang jernih menjadi tarikan ideal bagi pelancong yang mahu berada jauh daripada kesesakan orang ramai dan hiruk-pikuk kota.

Pantai Arambol, Goa, India

Mudah untuk mengetahui mengapa Pantai Arambol yang terletak di wilayah Pernem, utara Goa, terus masyhur.

Mudah diakses dan terletak hanya satu jam pemanduan dari Lapangan Terbang Dabolim, Arambol yang terkenal dengan imej pasir berwarna kuning emas kekal sebagai antara rahsia yang masih belum diterokai sepenuhnya di India.

PANTAI yang bersih, jauh daripada pencemaran dan landskap tropika menghijau menjadi 
daya penarik di La Minitas, Republik Dominica.

Dikelilingi pokok-pokok palma dan kolam-kolam air tawar, ia menawarkan suasana percutian yang diidamkan oleh pelibur yang mencari ketenangan tropika.

Popularitinya telah menyebabkan pesisir pantainya meriah dengan binaan kafe dan restoran serta peniaga jalanan yang menjual pelbagai produk kraftangan.

Terdapat sebuah menara penyelamat pantai disediakan bagi menjami keselamatan pengunjung sepanjang berada di situ.

Pantai Teluk Hanalei, Kauai, Hawaii

Sekiranya suasana pantai dan landskap ala imej poskad menjadi syarat utama percutian anda pada masa hadapan, Hanalei Bay Beach (Pantai Teluk Hanalei) pasti tidak akan menghampakan.

Pantai teluknya yang berbentuk melengkung cukup indah dengan kehalusan pasir dan lautnya yang membiru.

Kehadiran air terjun serta gunung-ganang yang gah di sekelilingnya sudah cukup meletakkan Hanalei Bay Beach berada dalam kelas yang tersendiri.

Ia mungkin agak sesak terutama menjelang musim sejuk, bagaimanapun kelebihan yang ditawarkan pasti memberi kenangan manis yang sukar dilupakan.

Pulau Ocracoke, Carolina Utara, Amerika Syarikat

Sekiranya anda memilih percutian yang penuh privasi, sukar untuk menolak apa yang ditawarkan di Pulau Ocracoke.

Lokasinya yang agak terpencil membuatkan ia hanya dapat diakses menggunakan bot, feri atau kapal terbang persendirian.

Sepanjang bercuti di pulau itu, pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati kedamaian suasana pantainya malah bebas daripada pengaruh teknologi moden pada hari ini.

Ya, Ocracoke tidak dilengkapi jaringan talian telefon atau internet, maka sepanjang tempoh percutian di situ anda terlepas daripada gangguan yang menyesakkan fikiran.

Pulau itu juga turut menempatkan perkuburan tentera-tentera British yang terbunuh sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu. Upacara peringatannya diadakan pada bulan Mei setiap tahun.

Pantai Ipanema, Rio de Janeiro, Brazil

PASIR pantai yang halus memutih menyebabkan White Beach menjadi idaman para 
penggemar aktiviti pantai di Filipina.

Terletak di selatan bandar raya Rio de Janeiro di antara Leblon dan Arpoador, Ipanema merupakan pantai yang popular di Brazil.

Sejak tahun 70-an lagi, namanya sering menjadi sebutan peminat-peminat aktiviti dari seluruh dunia.

Dikurniakan kawasan pantai yang luas, Ipanema Beach bukan sekadar lokasi bermandi-manda.

Ia juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai yang sememangnya sinonim di negara Latin itu.

Pada musim sejuk, ombaknya mampu mencecah ketinggian 0.3 meter sekali gus menjadi tumpuan dalam kalangan peluncur-peluncur ombak yang mahu menguji skil masing-masing.

Populariti yang diraihnya juga menyebabkan namanya diabadikan dalam judul lagu The Girl From Ipanema, karya Antonio Carlos Jobim dan Vinicius de Moraes.

Aroa, Aitutaki, Kepulauan Cook

Berbanding pulau-pulau kecil lain yang membentuk Kepulauan Cook pada hari ini, Pantai Aroa yang terletak di Pulau Aitutaki sememangnya layak digelar sebagai juara.

Suasana damai, tenang dan dikelilingi lagun unik berwarna biru firus, Aroa memiliki pantai yang hampir sempurna dengan kehijauan alam semula jadi.

Kejernihan air laut dan kekayaan terumbu karang dan hidupan laut yang masih terpelihara menyebabkan ia dianggap syurga bagi penggemar-penggemar aktiviti snorkeling dan menyelam.

Menawarkan suasana percutian iklim tropika, Aroa pastinya menjanjikan pengalaman romantis kepada sesiapa jua yang bertandang.

Fandi puas hati prestasi pemain

Pemain Kelab Johor Darul Takzim Daniel Guiza (kiri) cuba melepasi
pertahanan Woodlands Wellington, di Stadium Larkin, kelmarin.

Johor Bahru: Pelaburan lumayan Johor Darul Takzim mendapatkan khidmat pemain berstatus bintang menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan mula membuahkan hasil.

Ini berikutan kemenangan besar skuad kendalian Fandi Ahmad apabila membelasah kelab Liga Singapura (Liga-S), Woodland Wellington 5-1 pada saingan Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, kelmarin.

Kejayaan itu memberi gambaran awal skuad yang bergelar Harimau Selatan itu harus digeruni dalam usaha memburu tiga kejuaraan - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.

Kelemahan dikesan

“Untuk keseluruhan aksi itu, saya berpuas hati,” kata pengendali skuad Johor darul Takzim, Fandi Ahmad.

“Cuma pada 10 hingga 15 minit perlawanan pada babak pertama, ada kelemahan dikesan apabila pemain hilang arah dan gagal mengumpan bola dengan tepat namun semua dapat diatasi selepas mereka mula menjiwai perlawanan itu.”

Fandi berkata, beliau sengaja tidak menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dan Aidil Zafuan Abd Radzak pada babak pertama bagi memberi ruang kepada pemain muda membuktikan kesungguhan untuk berada dalam skuad utama dan apa yang mereka sajikan tidak mengecewakan.

Mengenai tugas Safiq Rahim, Fandi berkata pemain itu tampak lebih selesa apabila bergandingan dengan Ahmad Ezrie Sazali yang sering bertindak menyekat pergerakan lawan di kawasan tengah tatkala pemain tengah kebangsaan itu bebas melakukan gerakan tanpa perlu memikir untuk bertahan.

Apek-Leuniey bernikah hari ini

NUR EILUNIE menunjukkan kad majlis resepsi persandingannya dengan Khairul Fahmi di
rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat semalam.

KOTA BHARU – Selepas melalui pelbagai episod kontroversi, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, akan diijabkabulkan hari ini.

Majlis akad nikah Khairul Fahmi dan Nur Eilunie dijangka berlangsung di kediaman Nur Eilunie atau Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat pada pukul 10 pagi.

Nur Eilunie ketika ditemui semalam, mengakui berdebar menanti detik pernikahannya dengan Khairul Fahmi atau Apek itu.

“Semakin dekat hari pernikahan berlangsung, semakin berdebar hati ini. Saya rasa semua orang yang hendak berkahwin juga merasai debaran sebegini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Nur Eilunie turut memberitahu, dia sudah lebih seminggu tidak bersua dengan Apek dan hanya akan bertentang mata dengan jejaka itu pada hari pernikahan.

“Sejak lebih seminggu lalu, saya tidak berjumpa dengan Apek kerana Apek menjalani latihan bola sepak di Pulau Pinang. Doakan majlis perkahwinan kami berjalan lancar,” katanya.

Kosmo! 22 November lalu melaporkan Apek bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Leuniey pada 28 Disember ini pada majlis perkahwinan yang membabitkan kos RM300,000.

Mereka akan mengadakan tiga majlis iaitu majlis resepsi pengantin perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember diikuti persandingan di sebelah pengantin lelaki di rumah keluarga Apek di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari tahun depan.

Ariel disiasat polis jalin hubungan dengan isteri orang


JAKARTA - Penyanyi kumpulan muzik Noah, Ariel (gambar) disoal siasat pihak polis kelmarin ekoran dakwaan dia menjalin hubungan dengan seorang pramugari, lapor akhbar dalam talian Kompas.com semalam.

Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham, 31, dilaporkan disoal siasat selama lebih 90 minit di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini.

Pramugari berkenaan, Magdalena Awuy yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak didakwa berkenalan dengan Ariel sejak konsert jelajah kumpulan Noah di lima negara pada November lalu.

Namun, bekas penyanyi kumpulan Peterpan itu menafikan dia menjalin hubungan dengan wanita tersebut dan mendakwa ada pihak sengaja menuduhnya.

Berita hubungan sulit mereka mula tersebar di Internet pada 21 November lepas.

Pada 31 Januari 2011, Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah kerana terlibat dalam penerbitan pita video seks melibatkan wanita mirip dua selebriti Indonesia, Luna Maya dan Cut Tari.

Dia dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru, Bandung pada Julai lalu. - Agensi

Bina kilang RM790j

PELAN BARU...Aminar (kanan) mengumumkan kerjasama dengan Perodua Auto Corp pada
taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan melabur RM790 juta bagi menubuhkan sebuah syarikat baru bagi membina kemudahan kilang pembuatan baru dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 kenderaan setahun menjelang pertengahan 2014.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, penubuhan syarikat itu membabitkan kerjasama antara Perodua dengan Perodua Auto Corp dengan modal berbayar sebanyak RM200 juta.

“Dana bagi penubuhan syarikat ini akan dijana secara dalaman. Kilang yang akan didirikan pula terletak bersebelahan kemudahan sedia ada kami di Rawang dan dilengkapi peralatan sistem lebih baik, teknologi baru, lebih automasi dan mesra alam.

“Kami menjangkakan kilang terbabit akan mempunyai 1,200 kakitangan,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kilang berkenaan akan menggunakan teknologi terkini Daihatsu Corp yang berpangkalan di Jepun yang juga paling bersesuaian dengan keadaan negara ini.

“Kilang ini akan meningkatkan automasi proses kimpalan untuk kualiti yang baik dan ketepatan ukuran badan kenderaan untuk mengekalkan ketepatan.

“Kemudahan pengeluaran baru ini juga akan mengguna pakai sistem cat Daihatsu yang kurang membebankan alam sekitar, kos rendah tetapi menghasilkan cat berkualiti tinggi dan tahan lama, tetapi pada masa sama, mengurangkan karbon dioksida dan pelepasan sebatian organik tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, penubuhan syarikat baru itu dengan kepentingan 51-49 peratus antara Perodua Auto Corp dan Perodua adalah sebahagian daripada program transformasi struktur berdasarkan pelan hala tuju strategik lima tahun syarikat yang bermula tahun lalu.

“Program ini seiring dengan matlamat syarikat meningkatkan eksport kepada 20,000 unit menjelang 2015 berbanding 10,000 unit ketika ini selain mengekalkan penguasaan pasaran tempatan yang diramalkan oleh Institut Automotif Malaysia meningkat kepada sejuta unit daripada jumlah keseluruhan industri menjelang 2020,” katanya.

Whitney dibunuh pengedar dadah?

WHITNEY ditemui mati di Beverly Hills Februari lalu.

LOS ANGELES: Kematian Whitney Houston pada Februari lalu bukan disebabkan lemas dalam tab mandi di sebuah bilik hotel, sebaliknya dia dibunuh pengedar dadah.

Seorang penyiasat persendirian mendakwa, satu salinan video daripada kamera litar tertutup (CCTV) membuktikan Whitney dibunuh kerana berhutang kepada pengedar dadah.

Menurut Paul Huebl, bukti berkenaan sudah diserahkan kepada agensi Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Penyiasat perubatan sebelum ini mengesahkan, Whitney mati kerana lemas dalam tab mandi selepas mengambil pelbagai jenis dadah serta ubat-ubatan.

Akhbar tabloid National Enquirer melaporkan, Huebl yakin Whitney menjadi sasaran beberapa “pengedar dadah digeruni” yang menghantar samseng bagi memungut hutang penyanyi bermasalah itu.

Sesetengah laporan menyatakan, Whitney menanggung hutang sehingga AS$1.5 juta (RM4.6 juta) daripada pengedah dadah. Bagaimanapun, Huebl berkata, dia tidak tahu secara pasti bahawa Whitney dibunuh, sebaliknya bukti yang dikumpulnya membayangkan penyanyi itu memang menjadi mangsa penjenayah.

“Whitney menerima kokain daripada pengedar dadah di bilik hotelnya di Beverly Hilton sehari sebelum dia ditemui mati,” katanya.

Menurut Huebl, daripada rakaman video itu dapat didengar Whitney merungut dengan berkata: “Aku bosan dengan segala benda mengarut ini!” Sebelum itu, kata Huebl, Whitney memang menjadi sasaran gangguan pengedar dadah yang menuntut supaya hutangnya dilangsaikan.

Huebl mendakwa, dia menerima salinan rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki tidak dikenali pergi ke Hotel Beverly Hilton berkali-kali dan bergaul dengan anggota rombongan Whitney.

“Ada kemungkinan dua lelaki terbabit menyelinap masuk ke bilik hotel Whitney dan membunuhnya,” katanya.

Huebl juga tidak bersetuju dengan keputusan Koroner Daerah Los Angeles yang memutuskan kematian Whitney disebabkan “kemalangan.” Kata Huebl, tubuh Whitney menunjukkan ada kesan kecederaan mempertahankan diri yang mungkin berlaku ketika dia bergelut cuba menyelamatkan diri.

“Namun, kesan pada tangan dan kuku itu mungkin berlaku akibat kejadian lain.

“Saya cuma mengesyaki ia adalah kecederaan kerana mempertahankan diri,” katanya.

Huebl, bekas anggota polis Chicago yang menjadi pelakon selepas bersara mendakwa melakukan siasatan selepas diupah seorang pelanggan. Huebl enggan menyatakan siapa pelanggannya itu. - DM

Kuil berusia 3,000 tahun ditemui di Baitulmuqaddis

TAPAK kuil purba yang ditemui di Tel Motza, Baitulmuqaddis kelmarin.

TEL MOTZA, Israel - Beberapa ahli arkeologi Israel mendakwa telah menemui sebuah kuil dan patung-patung kecil keagamaan berusia kira-kira 3,000 tahun dan dipercayai wujud pada zaman empayar Judah, kata pihak berkuasa antikuiti negara itu kelmarin.

Artifak itu ditemui di Tel Motza, di luar Baitulmuqaddis semasa kerja-kerja arkeologi dilakukan di hadapan sebuah kawasan pembinaan lebuh raya baharu di lokasi terbabit.

"Struktur bangunan keagamaan yang ditemui amat luar biasa dan menarik," kata pengarah penggalian dalam satu kenyataan.

Salah seorang pengarah penggalian, Anna Eirikh memberitahu agensi berita AFP, penemuan tersebut membuktikan terdapat amalan keagamaan ketika zaman empayar Judah.

"Apa yang pasti semua patung kecil yang ditemui digunakan untuk tujuan keagamaan," katanya.

Penemuan bertarikh 9 hingga 10 sebelum Masihi itu membuktikan terdapat kuil pertama dibina di kawasan Baitulmuqaddis. - AFP

Persiapan kahwin Apek-Leuniey berjalan lancar

LEUNIEY sedang dirias inai oleh seorang jurusolek di Pasir Pekan, Tumpat semalam.

TUMPAT - Banjir yang melanda tiga negeri di Pantai Timur ketika ini tidak menjejaskan kerancakan persiapan perkahwinan penjaga gol bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan Nur Eilunie Natasha Jaafar yang dijadualkan akan bernikah esok.

Eilunie atau Leuniey, 21, ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan di sini memberitahu, semua persiapan untuk majlis tersebut berjalan lancar dan dia bersyukur kerana rumahnya tidak dinaiki air.

"Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan sudah disiapkan, hanya tinggal pelamin yang akan dipasang malam ini (malam tadi). Risau juga musim hujan lebat macam ini.

"Pihak kami juga telah menunaikan solat hajat mendoakan agar segalanya berjalan sempurna dan cuaca baik pada hari perkahwinan nanti," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Fazurina hormati pendirian ibu

FAZURINA dan Hykal menunjukkan surat akuan pernikahan mereka.

PERKAHWINAN adalah sesuatu yang sangat indah dan istimewa. Perjanjian di antara dua insan akan termeterai jika restu perhubungan diizinkan.

Namun bagi pelakon drama bersiri menerusi slot Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd. Famir, 30, atau lebih dikenali sebagai Siti Fazurina, dia tidak menyangka pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, mengundang mimpi duka setelah didakwa tidak mendapat restu keluarga.

Kontroversi kisah hidup Fazurina yang baru dua minggu mendirikan rumah tangga itu semakin tersebar luas menerusi laman sosial Facebook dan Twitter apabila mereka dikhabarkan ‘kahwin lari’ di Thailand.

Persoalan mengenai status pernikahannya menjadi perbualan sehingga Fazurina pasrah dengan dakwaan yang timbul apatah lagi membabitkan ahli keluarganya sendiri.

Bagaimanapun, segalanya terjawab sebaik Fazurina atau nama ringkasnya Nina mengadakan sidang akhbar di salah sebuah hotel di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini dengan turut menjemput ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, serta beberapa ahli keluarganya yang lain termasuklah abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya, Mohd. Fauzi, 24, dan Mohd. Firdaus, 22.

Sidang akhbar tersebut bagaimanapun bertukar menjadi seolah-olah penggambaran sebuah drama Melayu apabila Zubaidah dan ahli keluarga Fazurina yang hadir hanya mendiamkan diri.

‘Drama’ air mata mula tercetus apabila Fazurina tiba-tiba bergegas mengejar Zubaidah sehingga ke tangga selepas ibunya itu dibawa oleh salah seorang daripada adik lelakinya itu untuk beredar dari sidang akhbar tersebut.

Hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun, Fazurina dilihat amat sebak.

Sementelah, Zubaidah kedengaran telah meluahkan kekesalannya dengan tindakan Fazurina (berkahwin secara senyap-senyap) sebelum dia ditarik adiknya itu meninggalkan lokasi sidang akhbar tersebut.

Berikut sedutan temu bual bersama Fazurina selepas tamat ‘drama’ sebabak tersebut.

Kosmo!: Bagaimanakah timbul isu Nina kahwin lari sehingga boleh diketahui umum?

SITI FAZURINA: Isu ini timbul sebaik sahaja selesai majlis akad nikah pada 21 Disember lalu di Masjid Jamek Sungai Pinang di sini (Pulau Pinang). Ada pihak cuba hentam Nina. Saya kesal kerana pihak itu ialah keluarga sendiri.

Adakah keluarga tidak merestui hubungan Nina dengan Hykal?

Hal keluarga adalah peribadi. Apa yang boleh Nina beritahu sebenarnya banyak pihak berkecil hati. Mereka (keluarga) tidak pernah merasai apa yang Nina rasa. Nina tak kahwin lari. Nina berkahwin secara sah dengan berwalikan bapa saudara sebelah arwah bapa.

Adakah Nina membuat keputusan berkahwin dengan Hykal secara terburu-buru?

Kami sudah lama membuat perancangan untuk berkahwin dan sudah beberapa kali ibu saya tidak menerima keputusan saya untuk mengahwini Hykal. Namun kali ini, saya nekad memilih Hykal menjadi pilihan hati. Malah saya juga membuat solat Istiqarah selama tiga hari berturut-turut.

Bagaimanakah sekiranya ada pihak membuat tohman mengatakan Nina telah menderhakai ibu sendiri?

Sebelum bernikah, saya dan Hykal ada berjumpa dengan ustaz dan kami menghadiri kaunseling. Kami diberitahu perkahwinan adalah perkara wajib dan sunnah Rasulullah. Saya menghormati pendirian ibu walaupun dia tidak mahu terlibat dalam pernikahan saya dengan Hykal.

Apakah perubahan yang ingin dikecapi di sebalik kemelut perkahwinan Nina ini?

Ibu dan anak tidak boleh terpisah. Saya harap suatu hari nanti ibu akan menerima Hykal. Kalau dia terima perkahwinan ini, masalah sebegini akan selesai.

Harapan masa depan Nina terhadap hubungan anda suami isteri dan keluarga masing-masing?

Saya inginkan kebahagiaan yang bukan dicari kami berdua tetapi untuk kedua-dua belah keluarga. Harap kebahagiaan dapat dikongsi dengan ibu dan ahli keluarga lain.

Terjun kereta dipandu 100km/j

NOR (duduk kanan) menunjukkan jubah hitam yang dipakai kepada wartawan Kosmo!, 
Firdaus Hassan (kiri) ketika ditemui di Kuching semalam.

KUCHING – Seorang wanita tidak menyangka sehelai jubah hitam pemberian suami yang dibeli di Mekah semasa menunaikan haji pada tahun ini menjadi perisai apabila dia hanya cedera ringan ketika nekad terjun dari kenderaan yang sedang bergerak laju kelmarin.

Wanita yang ingin dikenali sebagai Nor, 41, itu bertindak demikian selepas menyedari kenderaan jenis Mitsubishi Pajero milik suaminya dipandu seorang pencuri dengan kelajuan 100 kilometer sejam dalam kejadian pukul 11 malam di Jalan Main Bazaar, Kuching Waterfront di sini.

Selepas berguling beberapa kali di atas jalan, ibu kepada lima anak itu hanya cedera di lengan, siku, kedua-dua lutut dan kaki.

Mengimbau semula kejadian itu, peniaga gerai makanan itu mendakwa, dia terlena di kerusi penumpang depan dalam kenderaan yang diletakkan di bahu jalan kira-kira 20 meter dari gerainya dalam keadaan enjinnya hidup manakala pintu tidak dikunci. Dia dan suami berniaga di Kuching Waterfront.

Penghormatan negara untuk mendiang Keng Yaik

KERANDA mendiang Keng Yaik diusung keluar sambil diberi penghormatan terakhir oleh 
tetamu di kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya semalam.

PETALING JAYA - Bekas Presiden Gerakan, Tun Dr. Lim Keng Yaik diberi penghormatan negara dengan perarakan keranda mendiang bermula pada pukul 10.30 pagi semalam dari kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort di sini.

Perarakan bermula dengan keranda mendiang yang dibaluti Jalur Gemilang diusung oleh anggota daripada Bahagian Istiadat Angkatan Tentera Malaysia ke dalam kereta.

Perarakan sejauh 50 kilometer itu melalui Menara PGRM, Cheras yang menempatkan ibu pejabat parti Gerakan menuju ke Krematorium Cheras.

Kira-kira 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir.

Resort hasil kayu terbuang

KEINDAHAN bunga-bunga semulajadi pasti menenangkan jiwa setiap tetamu resort.

USAH cerita mengenai lokasi-lokasi menarik sekitar Hulu Langat, Selangor kerana anda pasti akan disambut dengan keindahan air terjun, sungai, kolam air panas dan pastinya hutan yang masih belum terusik dek pembangunan.

Selain itu, daerah ini terkenal dengan hotel, resort, pusat motivasi serta tapak perkemahan yang bertambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun, sekiranya anda ingin mencari kelainan, Photon Valley Eco Resort yang terletak di Kampung Kuala Perdik perlu menjadi pengisi diari anda terutamanya semasa cuti persekolahan.

Walaupun baru dibuka pada Oktober lalu, Photon Valley tetap sarat dengan tarikan untuk para pengunjung menghilangkan tekanan bersama keluarga atau pun rakan-rakan.

Usai meneroka keindahan alam semula jadi di resort ini, kru Jurnal dibawa melihat sendiri pelbagai kemudahan seperti penginapan eksekutif, asrama, kawasan perkhemahan, kafeteria, dewan berhawa dingin, kolam renang serta jambatan gantung.

Masih tidak mencukupi, tarikan jambatan gantung, rakit buluh, aktiviti menjelajah, memasang api di hutan memasak makanan dan minuman menggunakan buluh pasti mencabar sudut kreatif anda.

Uniknya, tetamu masih boleh tidur bertemankan bunyi cengkerik, unggas dan deburan air sungai pada waktu malam.

Faktor lokasinya yang hanya terletak 10 kilometer dari Kuala Lumpur itu pasti akan membuai diri tetamu untuk menikmati keindahan bumi hijau di alam rimba.

AKTIVITI berakit turut disediakan.
Rimbunan pepohon di kiri kanan jalan sesekali disapa oleh monyet yang bergayutan di dahan pokok seolah-olah menjadi lambaian selamat datang yang penuh kehangatan.

Hampir tiada perkataan yang mampu dilafazkan, hati pasti terasa damai.

Bukan sahaja sesuai sebagai lokasi untuk merehatkan minda tatkala mata dijamu kehijauan flora, malah kanak-kanak turut merasai keseronokan bermain air dan berkejaran di kawasan lapang. Mungkin bermain masak-masak sesama sendiri atau bermain perang-perang.

Pengurus

Menurut Pengurus Photon Valley Resort, Hizam Sujairi Muhammad, 34, resort itu lebih menumpukan untuk program berbentuk motivasi.

Tetapi, tidak sesekali meminggirkan tetamu yang datang untuk berbulan madu atau bercuti bersama keluarga.

“Mereka boleh mencuba sendiri memasak nasi, lauk dan air minuman menggunakan buluh.

“Kaedah sebegini satu pembelajaran berguna terutamanya bagi orang bandar semasa berada di dalam hutan,” katanya.

Tutur Hizam, sebenarnya, terdapat kepelbagaian flora dan fauna di dalam hutan yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan manusia.

Selain itu, aktiviti menjelajah hutan pasti menguji adrenalin setiap tetamu resort.

Cerita Hizam, mereka juga menyediakan perkhidmatan berakit menggunakan rakit buluh di kolam buatan di resort seluas 1.4 hektar itu.

Ujarnya, aktiviti itu lebih mencabar kerana menguji pemandunya mengawal rakit itu daripada tenggelam.

Selain itu, Photon Valley tidak menyediakan set televisyen dalam bilik.

“Ini bagi memastikan pengunjung dan peserta motivasi benar-benar bersantai dan menjalankan aktiviti yang diuruskan.

“Namun, pengunjung boleh meminta kepada pihak pengurusan sekiranya ingin menonton televisyen,” tambah Hizam.

KOLAM air buatan bercirikan alam semulajadi.

Sisi berbeza lain ialah jambatan gantung dan membina khemah di dalam hutan yang pasti meninggalkan pengalaman manis kepada sesiapa sahaja yang menikmatinya.

Pelbagai spesies tumbuhan beriklim tropika dan pokok buah-buahan juga sedia untuk dinikmati semasa musim buah-buahan.

“Pada musim buah-buahan, suasana resort ini akan bertambah meriah. Pengunjung boleh menikmati buah-buahan seperti durian, rambutan, pulasan, langsat, rambai, nangka, manggis, duku dan semua itu percuma.

“Mereka boleh mengait sendiri (dari pokok) ataupun menunggu buah-buahan dihantar di depan bilik,” katanya.

Kayu terpakai

Bukan buah-buahan dan lokasi sahaja yang unik tetapi resort turut mempunyai seni tersendiri.

“Kami turut menggunakan kayu rumah kampung terpakai terutama untuk dewan seminar serta bilik asrama.

“Kami membelinya dengan harga yang murah di kampung sekitar Kelantan untuk membuatkan pelanggan terasa seperti di kampung halaman,” kata Hizam.

Cerita Hizam, terdapat bilik-bilik yang diperbuat menggunakan buluh.

“Sebenarnya dengan menggunakan buluh, suhu bilik agak panas pada waktu siang tetapi sejuk pada waktu malam sehingga tidak memerlukan penggunaan kipas atau pendingin hawa.

“Malah, strukturnya lebih kuat dan kukuh berbanding penggunaan simen,” katanya.

Kolam renang yang terdapat di Photon Valley dihasilkan sendiri.

“Menariknya, ia menggunakan air bukit semulajadi yang telah disaring bagi memastikan pengunjung merasai sendiri keindahan bak kolam semulajadi.

“Penggunaan air di bilik turut menggunakan sumber semula jadi,” jelasnya.

BILIK Photon Valley Resort yang tidak mempunyai televisyen.

Setiap pakej berkumpulan yang disediakan berharga antara RM85 hingga RM100 termasuk makanan.

“Itu termasuk harga bilik dan makanan pagi, tengah hari, petang dan malam. Untuk masa hadapan kami bercadang membesarkan aliran anak sungai yang mengalir di sini,

“Menggunakan batu-batu sederhana besar anak-anak kecil bermain air sungai dengan santai sehingga keletihan,” katanya.

Kim Swee ketepi hal peribadi

KIM SWEE (kiri) lebih mengutamakan misi untuk memburu pingat emas acara bola sepak 
pada temasya Sukan SEA di Myanmar tahun depan.

TAHUN lalu, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menerima hadiah hari jadi paling bermakna apabila skuad kendaliannya berjaya mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia.

Setahun dari sekarang, tidak mustahil skrip yang lebih kurang sama juga bakal dialami Kim Swee menjelang Sukan SEA di Myanmar.

Apa yang pasti, tarikh 11 Disember 2013 pastinya menjadi hari yang cukup istimewa buat beliau jika anak-anak buahnya berjaya melakar hatrik pada temasya dwitahunan itu.

Sedar ia sesuatu yang cukup indah, Kim Swee, 42, sebaliknya enggan memikirkan sentimen peribadi dan kekal fokus untuk memburu emas bola sepak yang ketujuh buat Malaysia sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959 (dahulunya dikenali sebagai Sukan SEAP).

“Jika melihat jadual asal acara bola sepak bagi temasya 2013, memang sekitar waktu itu (11 Disember) perjuangan Harimau Muda bermula bagi mempertahankan emas.

“Sudah tentu ia hadiah hari jadi yang cukup istimewa buat saya jika kami sekali lagi mengulangi kejayaan seperti mana tahun lalu.

“Cuma bagi saya, ia lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia jika kami berjaya mempertahankan pingat emas dan bukan semata-mata kerana saya seorang.

“Jadi, ada baiknya saya kekal fokus memburu emas untuk Malaysia, bukan untuk diri saya sendiri,” kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini berjaya menggenggam ‘ibu’ segala emas itu pada temasya 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011.

Skuad Thailand pula masih merupakan pemenang emas terbanyak dalam acara bola sepak temasya terunggul di rantau Asia Tenggara itu apabila muncul juara sebanyak 13 kali, selain turut memegang rekod muncul juara lapan kali berturut-turut dari edisi 1993 hingga 2007.

Mengulas lanjut, Kim Swee sekali lagi menegaskan, kemampuan sebenar anak-anak buahnya melakar sejarah hatrik bakal diketahui kira-kira tiga bulan sebelum temasya bermula.

“Tidak ada lagi eksperimen pemain ketika tiga bulan terakhir, sebaliknya ketika itu saya yakin sudah mengenal pasti sistem atau kelemahan pasukan sebelum memulakan misi di Myanmar.

“Reputasi selaku juara bertahan juga bukan jaminan kerana skuad kali ini bukan lagi skuad yang sama seperti mana tahun lalu.

“Jadi, saya harap kesinambungan kejayaan mempertahankan emas Sukan SEA mampu direalisasikan dengan syarat pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan,” tegas Kim Swee.

Chelsea berpesta gol di Stamford Bridge

Fernando Torres meraikan jaringannya ketika Chelsea menentang Aston Villa di Stamford
Bridge, semalam. - AFP

LONDON - Rafael Benitez mengorak langkah penting dalam usaha untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Chelsea membelasah Aston Villa 8-0 semalam dan naik ke tangga ketiga liga.

Fernando Torres memulakan pesta gol dengan menjaringkan gol ketujuh daripada enam penampilan.

Frank Lampard yang beraksi buat kali ke-500 dalam EPL, tidak ketinggalan mencatat nama sebagai penjaring.

Ramires menjaringkan dua gol, manakala satu gol masing-masing oleh David Luiz, Branislav Ivanovic, Eden Hazard dan Oscar.

Kemenangan itu amat menggembirakan Benitez terutama apabila Torres meneruskan sentuhan jaringannya.

Bagi Aston Villa kekalahan semalam iaitu yang terbesar pernah mereka alami, merupakan satu tamparan setelah menunjukkan peningkatkan sejak beberapa minggu lalu.

Walaupun menang besar, Benitez berkata masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pasukannya.

Ketika Chelsea menjaringkan 13 gol dalam dua perlawanan setelah pulang dengan tangan kosong dari kejohanan Piala Dunia Kelab di Jepun dua minggu lalu, Benitez menuntut lebih daripada para pemainnya.

"Saya melihat peningkatan dalam pasukan ini

"Namun kami boleh terus meningkatkan lagi prestasi. Saya berkata demikian selepas kami menang dengan lapan gol.

"Para pemain benar-benar fokus sejak saya tiba di sini. Para pemain sedar mereka mempunyai pengurus baru dan mereka perlu menunjukkan kecemerlangan," kata Benitez.

Menjadi penyandang juara pertama yang tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, diikuti kegagalan menjulang trofi Piala Dunia Kelab, tekanan semakin dirasai Benitez.

Chelsea masih lagi di belakang pendahulu Manchester United, ketinggalan 11 mata dan tujuh mata di belakang Manchester City.

"Menang dengan jaringan sebegini memang istimewa dan mentaliti pemain juga amat bagus," kata Benitez. - Agensi

Nicol terima ganjaran lumayan

NICOL (kiri) bersama ibu bapanya bergambar kenangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri 
Najib Tun Razak pada pertemuan ringkas di pejabatnya di Putrajaya tahun lalu.

RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David bakal menerima ganjaran RM100,000 daripada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana merangkul gelaran juara buat kali ketujuh pada Kejohanan Skuasy Wanita Terbuka Dunia 2012 baru-baru ini.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu, kejayaan itu memberi inspirasi cukup besar kepada rakyat Pulau Pinang dan negara ini kerana berjaya menempa nama di pentas dunia.

Menurut kenyataan tersebut, ganjaran RM100,000 itu bakal diberikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu majlis khas yang akan diadakan apabila sekembalinya Nicol ke Pulau Pinang.

Ganjaran tersebut merupakan pemberian sulung oleh kerajaan kepada pemain No. 1 dunia itu sepanjang tahun 2012.

Untuk rekod, pemain kelahiran Pulau Pinang itu telah meraih hampir AS$60,700 (RM186,000) pada empat kejohanan utama dalam kalendar skuasy iaitu Terbuka Wanita Dunia, Terbuka Britain, Terbuka Hong Kong serta Terbuka Kuala Lumpur.

Pada aksi final di Camana Bay, Kepulauan Cayman itu dia menewaskan pemain England, Laura Massaro 11-6, 11-8, 11-6 dan membawa pulang ganjaran bernilai AS$25,000 (RM76,624).

Kejayaan itu menyaksikan Nicol sebagai pemain pertama yang mengungguli tujuh gelaran dunia mengatasi Sarah Fitz-Gerald dari Australia yang merekodkan enam kejuaraan.

Sebelum ini, Nicol telah meraih gelaran dunia dalam penampilan sulungnya di Hong Kong pada 2005, diikuti Ireland Utara (2006), England (2008), Mesir (2010) serta Belanda (2009 dan 2011).

‘Ampunkan saya’

BERLALU PERGI...ahli keluarga lain membawa ibu Siti Fazurina keluar dari hotel.

GEORGETOWN: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina Mohd Famir hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sebelum ibunya itu ditarik ahli keluarganya yang lain meninggalkan sidang media dibuat pelakon berusia 30 tahun itu di Bayan Baru di sini, bagi menjelaskan kontroversi perkahwinannya, semalam.

Ibunya, Zubaidah Abu Bakar, 60, hadir pada sidang media itu bersama abang tiri Fazurina, Shahzuri Shaharudin, 36, serta adik-beradiknya yang lain, Mohd Fauzi Mohd Famir, 24, dan Mohd Firdaus Mohd Famir, 22. Bagaimanapun, mereka hanya berdiri berhampiran kumpulan media dan hanya mendengar sidang media tanpa berkata apa-apa

HANYA SEKEJAP...Siti Fazurina memeluk ibunya di luar sidang
 media.

Siti Fazurina kelihatan tersentak dan menangis apabila ibunya mengikut saudara-maranya yang lain selepas dia berkejar mendapatkan Zubaidah berhampiran tangga selepas ibunya bergegas meninggalkan sidang akhbarnya.

Bagaimanapun, dia hanya sempat memeluk ibunya selama beberapa saat sambil meminta ampun manakala Zubaidah didengar meluahkan kekesalannya dengan tindakan Siti Fazurina (berkahwin secara senyap) sebelum dia ditarik adik-beradiknya meninggalkan tempat itu.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan Zubaidah mengenai perkahwinan anaknya itu gagal kerana dia enggan ditemu ramah media, termasuk ketika dihubungi melalui telefon, malam tadi.

Singapura juara Piala AFF Suzuki


Singapura menjadi negara pertama untuk menang Piala AFF Suzuki empat kali walaupun tewas 1-0 dalam perlawanan kedua kepada Thailand.

Pasukan Singa telah mencatatkan kemenangan agregat 3-2 ke atas Thailand dalam dua perlawanan dengan Thailand. Pasukan tuan rumah telah menguasai perlawanan kedua di Stadium Superchalasai dan Kirati Keawsombut menjaringkan gol sulung dengan tandukan baik.

Ini juga merupakan perlawanan terakhir bagi jurulatih Radojko Avramovic yang dijangka tidak akan meneruskan kontrak selepas sembilan tahun, beliau meraih kemenangan ketiga dan adalah jurulatih paling terbaik dalam kejuaraan ini selepas kemenangan pada tahun 2004 dan 2007.

Thailand, yang merupakan pasukan terbaik sebelum perlawanan akhir ini, telah mencatatkan kemenangan senang ke atas Filipina, Myanmar dan Vietnam dalam kumpulan A dan berjaya menyingkir Malaysia dalam peringkat separuh akhir tetapi mengalami kekalahan pertama di Stadium Jalan Besar dalam perlawanan terakhir pertama.

Pasukan Singapura telah memulakan perlawanan dengan kelebihan 3-1 dan ia kelihatan mereka enggan mengambil risiko dengan gerakan serangan.

Thailand mencipta peluang pertama apabila Darsakorn Thonglao memberi hantaran yang tepat kepada Kirati tetapi Daniel Bennett berjaya menghalangnya.

Dua minit kemudian, kesilapan penjaga gol Singa Izwan Mahbud memberi Jakkapan Pornsai peluang tetapi tandukannya terkena tiang.

Ketua pasukan Thailand Panupong Wongsa telah memberi tandukan baik pada minit ke 24 tetapi percubaannya gagal melepasi Izwan.

Lima minit kemudian, Piyaphon Buntao berjaya memecut lepas benteng pertahanan Singapura dan memberi bola kepada Teerasil Dangda tetapi Datsakorn mensia-siakan hantarannya.

Thailand akhirnya membuka tirai dalam minit terakhir babak pertama apabila hantaran Theerathon ditanduk masuk oleh Kirati.

Singapura melancarkan satu-satunya gerakan serangan dalam babak kedua apabila Shahril Ishak memecut di sayap kanan dan memberi hantaran tepat kepada Aleksandar Duric tetapi Piyaphon merampas bola dari penyerang veteran itu pada minit terakhir.

Peminat Thailand sedar bahawa kemenangan 2-0 akan memberi mereka kemenangan dan mereka telah cuba untuk memberangsangkan pasukan. Hasilnya adalah apabila penjaring gol terbanyak kejuaraan ini, Teerasil memberi rembatan kencang pada minit ke 72 tetapi malangnya ia tersasar.

Thailand kelihatan tertekan dan gerakan serangan mereka sering gagal pada minit terakhir. Walaupun telah melancarkan serangan bertubi-tubi, gawang Izwan gagal dibolosi hingga wisel penamat.

Thailand: Kawin Thamsatchanan, Piyaphon Buntao, Panupong Wongsa, Chonlatit Jantakam, Theerathon Bunmathan, Adul Lahsoh, Phichitphong Choeichiu, Datsakorn Thonglao (Pipob On-mo 69'), Kirati Keawsombut (Apipoo Suntornpanavej 78'), Jakkapan Pornsai (Chanathip Songkrasin 74'), Teerasil Dangda.

Singapore: Izwan Mahbud, Daniel Bennett, Baihakki Khaizan, Safuwan Baharudin, Shaiful Esah, Shahdan Sulaiman (Fazrul Nawaz 77'), Fahrudin Mustafic, Isa Halim, Aleksandar Duric, Shahril Ishak, Khairul Amri (Qiu Li 88').

Vettel tidak bimbang

VETTEL berkemungkinan hilang status selaku juara dunia yang dimenangi pada perlumbaan 
F1 musim ini.

LONDON - Pemandu Red Bull Racing, Sebastian Vettel menegaskan bahawa dia tidak bimbang kemungkinan hilang status selaku juara dunia yang dimenangi pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Vettel berada dalam situasi tidak menentu selepas Ferrari membuat bantahan kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengenai cara pemanduannya pada Grand Prix (GP) Brazil, 25 November lalu.

Tiga hari selepas Vettel dinobatkan sebagai juara dunia termuda yang merangkul gelaran hatrik pada perlumbaan terakhir di Litar Interlagos, Ferrari mendesak FIA mengkaji cara Vettel memintas Jean-Eric Vergne pada pusingan keempat ketika bendera kuning dikibarkan.

Gelaran juara dunia yang diraih tahun ini mungkin akan bertukar tangan sekiranya insiden tersebut tidak mengikuti peraturan.

Begitupun, pemandu kelahiran Jerman itu mengakui dia tidak gentar jika kejuaraan yang diperoleh tahun ini akan ditarik semula.

"Secara jujur, saya tidak pernah mengelak daripada kesalahan yang telah kami lakukan.

"Walaupun ia merupakan perlumbaan yang bermakna. Saya pasti bahawa saya telah melihat semua bendera dan warna yang dikibarkan.

"Saya juga mendapat maklumat Ferrari cuba melakukan sesuatu selepas Christian Horner memberitahu saya bahawa mereka tidak suka dengan keputusan perlumbaan.

"Selepas FIA memeriksa setiap 'inci' daripada rakaman perlumbaan, mereka mengesahkan ia mengikuti peraturan tetapi percaya atau tidak, saya tahu pergerakkan saya memang tidak menyalahi peraturan," jelas Vettel.

Setelah terlibat dalam pelanggaran pada pusingan awal, Vettel mengakui insiden tersebut menyedarkannya untuk memberikan fokus sehingga melepasi garisan penamat.

"Ia perlumbaan yang mendebarkan kerana saya sendiri sukar untuk jangkakan situasi pada setiap selekoh. Jadi saya tidak pernah terlepas pandang terutamanya perkara-perkara yang penting.

"Saya kini sudah semakin faham. Pencapaian yang dilakukan pada 2012, khususnya di Brazil mengajar saya mengenai kepentingan setiap mata yang saya pernah raih sebelum ini," kata Vettel. - Agensi

Gelagat tunggu hari kiamat

BEBERAPA buah kenderaan polis menuju ke Gunung Pic de Bugarach di pekan Bugarach,
selatan Perancis kelmarin. - REUTERS

BEIJING - China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.

Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.

Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.

Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.

Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.

Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.

Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya.

Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.

Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini.

Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut.

BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan 
era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. - Agensi

Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut.

Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.

Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat.

Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter.

Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.

Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi.

"Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi," katanya.

Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: "Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?"

Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini.

Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.

Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.

Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. - Agensi

Final pertama: Singapura atasi Thai 3-1


SINGAPURA memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila menang bergaya 3-1 ke atas Thailand dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Dengan keputusan itu, ia meletakkan Singapura dalam keadaan selesa untuk memburu kejuaraan kali keempat apabila bertandang ke Bangkok Sabtu ini bagi  perlawanan timbal balik.

Thailand pula di laluan tertekan apabila mereka perlu mencatat kemenangan di tempat sendiri bagi memastikan kejuaraan edisi kali ini menjadi milik mereka.

Penyerang naturalisasi skuad The Lions, Aleksandar Duric hampir menjaringkan gol awal untuk pasukan Singapura pada minit kedua perlawanan namun tandukkan beliau melambung tinggi melepasi tiang gol.

Selang minit kemudiaan, Thailand yang mendapat sepakan percuma gagal dilaksanakan apabila tendangan penyerangnya sedikit lemah dan berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Singapura.

Selepas itu, kesilapan pertahanan Thailand yang menjatuhkan Duric akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Singapura.

Akhirnya gol awal yang dicari pasukan tuan rumah tertunai apabila Mustafic berjaya menewaskan penjaga gol Thailand pada minit ke-10.

Susulan gol Singapura, Thailand mengatur strategi dan sekali lagi peluang pasukan pelawat menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-30, begitupun sepakan mereka melencong di tepi tiang gol.

Dua minit masa kedua bermula, Thailand mula agresif dan mereka nyaris-nyaris membolosi gawang tuan rumah, tetapi berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Singapura.

Selepas itu, kelekaan benteng pertahanan Singapura akhirnya memberi Thailand gol penyamaan  pada minit ke-59 menerusi Adul Lahsoh.

Gol tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangat tuan rumah apabila selang dua minit kemudiaan, Singapura dapat meledak gol kedua menerusi hantaran Duric kepada Khairul Amri sekali gus menggembirakan penonton yang hadir.

Thailand yang terdesak mencari gol kedua bagaimanapun tidak berhasil apabila percubaan mereka terus dipatahkan pertahanan Singapura.

Sebaliknya Singapura terus berpesta gol  apabila Baihakki berjaya meledak gol ketiga sekali gus menutup tirai perlawanan dengan kemenangan bergaya.

Australia denda AirAsia RM600,000 kerana sorok caj penumpang

laman web syarikat AirAsia yang menawarkan pakej tambang murah tetapi dikenakan 
tindakan denda oleh Mahkamah Persekutuan Australia.

MELBOURNE (Australia) - Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia telah dikenakan denda kerana tidak memasukkan cukai dan lain-lain caj dalam laman sesawangnya.

Syarikat penerbangan itu didenda A$200,000 (kira-kira RM600,000) di Mahkamah Persekutuan Melbourne semalam kerana melanggar peruntukan peletakan harga tunggal Undang-Undang Pengguna Australia, kata Australian Associated Press (AAP).

Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) berkata, kes itu berkaitan dengan tempoh 10 bulan ketika laman sesawang www.airasia.com tidak menunjukkan beberapa harga tambang penerbangan.

Ia termasuk semua cukai, duti, yuran dan lain-lain caj mandatori dalam cara yang jelas dan sebagai angka tunggal. - kosmo

‘Jangan usik Kim Swee’

RAJAGOBAL (berdiri di kanan) masih mendapat kepercayaan daripada FAM untuk 
membimbing Harimau Malaya

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan berganjak dengan pendirian untuk terus mengekalkan khidmat Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Biarpun pengendali berusia 56 tahun itu gagal membantu Malaysia mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012, FAM memberi jaminan bahawa ‘kerusi panas’ itu masih menjadi milik Rajagobal.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan bahawa cadangan untuk melantik jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee untuk menggantikan tempat Rajagobal tidak wujud buat masa sekarang.

Menurut Azzuddin, FAM tidak akan menghukum Rajagobal hanya disebabkan gagal pada kempen Piala Suzuki AFF 2012, sebaliknya badan induk sukan bola sepak negara itu masih memerlukan khidmatnya.

Jelasnya, FAM juga tidak mahu pihak-pihak tertentu memberikan tekanan kepada Kim Swee dan beliau yakin jurulatih kelahiran Melaka itu akan terus melahirkan pemain-pemain muda berpotensi untuk diserapkan dalam skuad negara.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mahu menyingkirkan Rajagobal hanya disebabkan satu kegagalan.

“Apakah mereka sudah lupa jasa-jasa Rajagobal yang berjaya menamatkan penantian 20 tahun pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan muncul sebagai juara buat kali pertama Piala Suzuki AFF 2010.

“Kita sepatutnya menerima hakikat bahawa kita tewas kepada pasukan yang lebih baik. Saya yakin Rajagobal telah melakukan yang terbaik untuk skuad negara.

“Kim Swee merupakan seorang jurulatih yang cukup berwibawa. Buktinya, banyak bakat baharu dapat dicungkil, jadi FAM tidak akan sesekali mengganggu tugas Kim Swee.

“Mereka (pengkritik) boleh bercakap tetapi kita jangan mudah lupa jasa-jasa orang (Rajagobal),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin menggesa semua pihak agar tidak terus menimbulkan spekulasi terhadap kedua-dua jurulatih berkenaan.

“Hentikan spekulasi seperti ini. Mereka (Kim Swee dan Rajagobal) bekerja di bawah satu bumbung dan sepatutnya kita harus menghormati mereka, bukannya memecahkan keharmonian antara mereka.”

Gaji naik tahun depan

PENGIKTIRAFAN dan ganjaran yang diberikan majikan di atas kerja keras pekerja akan 
mampu meningkatkan motivasi dan prestasi cemerlang mereka. - Gambar hiasan

SINGAPURA - Hampir setiap pekerja di Malaysia dijangka mendapat kenaikan gaji pada tahun depan, demikian menurut Laporan Workmonitor Randstad bagi suku keempat yang diumumkan semalam.

Perangkaan itu adalah antara yang tertinggi daripada tinjauan yang melibatkan 14,780 pekerja dari 32 negara.

Namun 82 peratus responden di rantau ini kurang keyakinan mengenai prospek kenaikan gaji di China, Singapura (76 peratus), Australia (75 peratus), New Zealand (69 peratus) dan Jepun (42 peratus).

Pengarah Randstad Malaysia, Jasmin Kaur berkata, sentimen itu adalah sejajar dengan prestasi kewangan perniagaan yang jitu di seluruh negara.

"Dijangka 82 peratus pekerja yang dikaji selidik membayangkan syarikat mereka mencatatkan prestasi yang baik tahun ini walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang mencabar.

"Para pekerja memikul beban kerja yang lebih berat dan menjangka diberi ganjaran sebagai mengiktiraf usaha masing-masing pada tahun ini," katanya.

Bolt raih anugerah Personaliti Sukan BBC

Usain Bolt

JAGUH pecut dunia, Usain Bolt dianugerahkan Personaliti Sukan BBC berikutan kejayaannya meraih tiga emas dalam Sukan Olimpik 2012 buat kali kedua berturut-turut.

Pelari Jamaica berusia 26 tahun ini mencipta sejarah di Olimpik London 2012 dengan meraih tiga emas iaitu 100m, 200m dan 4x100m, malah disytiharkan 'legenda olahraga dunia'.

Bolt juga menjadi atlet pertama berjaya mempertahankan kedua-dua kejuaraan dalam acara 100m dan 200m serta membantu pasukannya meraih emas dalam acara 4x400 meter dengan mencatatkan rekod dunia 36.84 saat.

Pengiktirafan ini merupakan kali ketiga dalam tempoh lima tahun diberikan oleh BBC kepada Bolt.

"Sukan Olimpik merupakan kejohanan besar, tahun yang hebat dan saya telah bekerja keras," katanya.

Selepas memenangi emas 200m buat kali kedua berturut-turut, Bolt turut mengisytiharkan dirinya sebagai seorang legenda.

"Saya legenda yang  hidup, tetapi saya tidak cukup cergas," ujarnya.

Mahathir: 'Islam agama keamanan'

Tun Dr Mahathir Mohamad
DI Nigeria hari ini terdapat kononnya gerakan Islam yang bernama “Boko Haram”. Saya tidak pasti makna “Boko” tetapi bunyinya semacam dengan “Buku” dalam Bahasa Melayu. Mungkin yang dimaksudkan dengan “Boko” ialah Kitab Injil.

Walau apa pun maknanya yang jelas ialah kumpulan “Boko Haram” ini sedang membunuh orang Kristian dan menyerang gereja mereka. Tetapi mereka juga membunuh ramai orang Islam, bahkan lebih ramai orang Islam yang dibunuh dari orang bukan Islam.

Inilah yang sering berlaku apabila sekumpulan orang Islam anggap hanya mereka sahaja yang betul-betul Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan boleh dibunuh.

Kita orang Melayu di Malaysia semuanya terdiri dari Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berimam dengan Imam Shafie. Sepatutnya kita tidak menghadapi apa-apa masalah fahaman Islam yang berbeza-beza. Malangnya Islam diperalatkan oleh segolongan politikus sehingga berlaku tuduhan bahawa orang yang tidak bersama dengan parti mereka tidak Islam dan murtad. Walaupun mereka tidak ganas seperti “Boko Haram” tetapi permusuhan oleh orang yang anggap mereka sahaja yang Islam dengan orang yang tidak bersama dengan mereka yang didakwa tidak Islam berjaya memecah-belah dan melemahkan orang Islam di negara ini. Apabila lemah maka mudahlah orang Islam diperkosa oleh orang lain.

Kita sering dengar tokoh-tokoh agama mendakwa bahawa orang Islam itu adalah bersaudara. Tetapi ayat al-Quran ini hanya dibibir mulut sahaja. Amalannya berlainan.

Kata pihak yang memurtadkan seteru politik mereka, mereka memurtadkan seteru politik kerana tidak melaksanakan syariat Islam. Benarkah? Apa yang dilakukan oleh kita dilakukan juga oleh negara-negara lain yang diiktiraf sebagai negara Islam dengan penduduk yang diterima sebagai penganut agama Islam. Jika kita murtad maka kebanyakkan orang Islam didunia ini tentulah murtad juga. Kenapakah yang mendakwa tiga juta orang Umno murtad tidak pula mendakwa umat Islam di negara-negara yang kononnya tidak laksana syariat Islam adalah murtad? Sebabnya ialah kerana tidak menguntungkan politik mereka.

Apakah yang dimaksudkan dengan syariat Islam? Ada yang berpendapat bahawa oleh kerana penyanyi dibenarkan menyanyi di Malaysia maka ini bermakna Kerajaan Malaysia tidak mengamalkan syariat Islam. Kalau ini bermakna tidak mengikut syariat Islam maka hampir semua negara Islam tidak mengikut syariat Islam.

Kita harus ingat di Malaysia bukan sahaja ada orang Islam tetapi 40 peratus dari penduduk Malaysia terdiri dari bukan Islam. Sesuatu yang tidak disukai oleh ALLAH  SWT yang disebut dalam al-Quran ialah mereka yang mencetus huru-hara. Dalam melaksanakan syariat Islam di Malaysia cara yang sesuai ialah dengan tidak mencetuskan huru-hara. Kelonggaran yang diberi dalam perlaksanaan syariat Islam membolehkan kita bertindak dengan mengambil kira keadaan dalam melaksanakan hukum-hukum Islam.

Yang suka menjadikan Islam agama yang keras dan tidak bertimbang rasa serta tidak berperikemanusian ialah pentafsir yang berkepentingan. Demikian ada orang Islam yang menganggap orang tidak berjanggut tidak Islam dan perlu disembelih. Demikian juga gerakan Boko Haram yang membuat syarat-syarat tersendiri untuk diterima sebagai orang Islam dan membunuh orang yang tidak patuh pada syariat ciptaan mereka.

Pelaksanaan syariat Islam di Malaysia mungkin berlainan dari penguatkuasaan syariat Islam di negara yang penduduknya semuanya Islam. Kita tidak ambil kisah dengan amalan dan budaya orang bukan Islam. Kita tahu apabila percubaan dibuat untuk memaksa bukan Islam amal nilai hidup Islam seperti tidak membenar lelaki potong rambut wanita dan sebaliknya, akhirnya ia hanya memalukan orang Islam dan Islam apabila terpaksa dibatalkan. Demikian juga dengan tuduhan khalwat yang dilakukan oleh orang bukan Islam.

Sebaliknya apabila syariat Islam dibuat dengan menyediakan bank Islam yang bebas dari riba, Universiti Islam, Pengurusan Tabung Haji bagi menentukan amalan ini lebih sempurna, perkembangan ajaran Islam dengan mengadakan sekolah-sekolah agama, pengurusan zakat yang lebih tertib dan berbagai lagi, tidak ada huru-hara yang berlaku. Demikian dengan penguatkuasaan undang-undang Islam di kalangan orang Islam dan penentuan undang-undang yang terpaksa dikenakan kepada penganut-penganut agama yang berlainan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Menggalakkan gerakan seperti Boko Haram atau memurtadkan orang Islam tanpa usul periksa bukan cara kita, bahkan bukan cara Islam pun.

Janganlah sesiapa cuba menghalalkan perbuatan salah mereka dengan menyalah guna undang-undang Islam. Mereka yang berbuat demikian perlu bertaubat. Sudah tentu mereka wajib tarik balik dakwaan kononnya ahli Umno murtad. Ingatlah bagaimana dahulu Pas mendakwa Umno kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam. Seperti yang dijanji dalam Al-Quran tuduhan ini kembali kepada yang menuduh kerana mereka sekarang bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir, bahkan sanggup mati mempertahankan pemimpin orang kafir……. perbuatan mereka mengikut mereka sendiri menjadikan mereka kafir.

Janganlah hendaknya dakwaan oleh mereka bahawa orang Umno murtad akan kembali kepada mereka. Orang Islam tidak perlu berlaku ganas kerana agama Islam tidak menyuruh kita melaku ganas atau ketidakadilan kepada sesiapa.

Agama Islam adalah agama keamanan, agama yang mengajar kita supaya melaku adil dan tidak mencetuskan huru-hara.

‘Satu penghormatan’

KIM SWEE
JURULATIH Harimau Muda A, Ong Kim Swee kekal fokus dengan misi disandarkan di bahunya untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun ini biarpun namanya dicanang sebagai calon terbaik menggantikan Datuk K Rajagobal bagi membimbing skuad kebangsaan.

Kim Swee yang enggan mengulas lanjut isu terbaru itu berkata, tidak wajar untuk beliau membicarakan kedudukan rakan sejawatnya itu dan menganggap keutamaannya lebih terarah kepada persiapan skuad muda negara menghadapi Sukan Sea.

“Bagi saya, orang ramai termasuk Shebbie (Serbegeth Singh) dan juga peminat tempatan berhak menyuarakan pandangan tapi saya tidak berhak mengulas lebih lanjut perkara ini.

“Tumpuan saya kini ke arah persiapan skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) untuk menghadapi Sukan Sea Myanmar. Soal mengambil alih tugas Rajagobal sepatutnya tidak perlu timbul kerana ia langsung tidak dibincangkan sebelum ini. “Jika ada pihak mengaitkan nama saya dengan tugas itu, saya hanya anggap ia sebagai penghormatan tapi segala-galanya terserah kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Nama Kim Swee, 42, mula menjadi sebutan apabila kedudukan Rajagobal tampak terancam berikutan kegagalan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand menerusi agregat 3-1 pada peringkat separuh akhir minggu lalu.

Antara yang lantang menyarankan agar tugas membimbing skuad kebangsaan diserahkan kepada Kim Swee termasuk bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Shebbie dalam laporan Arena Metro semalam.

Shebbie yang kini bertugas sebagai Penasihat Global kelab yang beraksi dalam saingan Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers berkata, sudah tiba masanya untuk Rajagobal mengundur diri selepas kegagalan Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF dan kempen kelayakan Piala Dunia 2014 serta persembahan hambar dalam beberapa siri persahabatan antarabangsa sejak bergelar juara Asia Tenggara dua tahun lalu.

Beliau menganggap Kim Swee yang berjaya membimbing skuad B-23 mempertahankan pingat emas dimenangi skuad Rajagobal di Sukan Sea Laos 2009 sebagai calon terbaik memandangkan jurulatih itu lebih mengenali pemain, khususnya daripada Harimau Muda A yang dilihat berpotensi beraksi bersama pemain senior.

Antara pemain muda yang menyerlah di bawah kendaliannya, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary Steven Robbart dan Mahali Jasuli.

Malah anak buah Kim Swee juga berjaya menduduki tempat keempat dalam penampilan pertama Liga Singapura serta muncul juara Piala SCTV menentang skuad B-22 Indonesia pada September serta mengungguli Kejohanan Bola Sepak Jemputan VFF Newspaper Cup di Vietnam, Oktober lalu.

Mengulas persiapan skuad Harimau Muda A yang menjadi tunjang skuad B-23 negara, Kim Swee berkata, mereka akan memulakan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Australia bulan depan sebelum berkampung di Eropah pada Mac.

“Harimau Muda A akan membuat persiapan rapi menghadapi Sukan Sea dengan menimba pengalaman di luar negara dan saya yakin rancangan ini mampu membuahkan hasil,” katanya.

Jackie bimbang susahkan orang lain


BAKAL meninggalkan watak aksi lagak ngeri, pastinya peminat setia pelakon terkenal Jackie Chan terkilan dan akan merindui perwatakannya yang berani melakukan pelbagai aksi lasak sejak mula membabitkan diri dalam bidang lakonan pada tahun 1959.

Terkenal dengan keupayaannya melakonkan aksi ‘bahaya’, aktor kelahiran Victoria Peak, Hong Kong ini mengakui lebih selesa dan puas melakonkan aksi lagak ngeri bagi sesebuah drama atau filem itu sendiri.

Namun, sebagai hadiah terakhir daripadanya khusus buat peminat, filem Chinese Zodiac 2012 (CZ12) yang menemui penonton di pawagam seluruh Asia pada 20 Disember ini bakal mengubati rindu peminat yang ingin menyaksikan persembahannya bersama dua pelakon baru jelita, Zhang Lanxin dan Yao Xintong.

Memulakan karier sejak berusia 5 tahun, Jackie yang dilahirkan pada tahun 1954 turut dikagumi bukan saja di kalangan dewasa malah peminat remaja dan kanak-kanak juga.

Bagaikan satu kejutan kepada peminat mengenai keputusannya untuk berhenti melakonkan aksi lagak ngeri sendiri, Chan tampil membuat penjelasan pada pertemuan bersama media untuk melancarkan filem CZ12 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Menurutnya, faktor umur memaksanya mengambil keputusan untuk berhenti daripada melakukan aksi lagak ngeri.

“Usia yang semakin meningkat membuatkan saya mengambil keputusan untuk berhenti. Jika dulu saya muda dan bertenaga, apa saja aksi yang diberikan saya mampu melaksanakannya.

“Sekarang bukan tidak boleh, saya bimbang perkara tidak diingini berlaku dengan keadaan stamina yang tidak mengizinkan, saya terlalu lasak bimbang akan menyusahkan pihak lain justeru saya tidak mahu perkara ini terjadi,” katanya.

Jackie berkata, jika dia nekad melakonkan watak ngeri, bimbang risiko dia harus menghabiskan masa tua di kerusi roda dan itu tidak mungkin dilaluinya.

“Saya tidak akan berhenti daripada berlakon walaupun harus berhenti berlakon watak lagak ngeri, namun sama seperti pelakon lain jika sampai waktunya saya akan berhenti juga dan menghabiskan masa di rumah saja,” katanya.

Mula terbabit dalam lakonan berjudul Little Fortunes dan Big And Little Wong Tin Bar, siapa sangka dia berjaya meletakkan hampir ke semua filem lakonannya setanding dengan industri perfileman antarabangsa.

Kemudian bapa kepada dua cahaya mata ini semakin mendapat perhatian pengarah di negaranya dan tampil menerusi pelbagai filem seperti The Love Eterne, King Hu’s dan Come Drink With Me selain filem Kung Fu, A Touch of Zen.

Menginjak ke usia 17 tahun, bintang filem The Tuxedo ini melangkah jauh dengan bergelar pelakon lagak ngeri berdampingan dengan mendiang Bruce Lee, menerusi filem Fist of Fury dan Enter The Dragon. Di situlah bermula kariernya sebagai pelakon lagak ngeri sehingga ke hari ini.

Selepas itu, barulah bakatnya berjaya dikesan sehingga ditawarkan untuk membintangi filem pertamanya yang berjudul, Little Tiger of Canton.

Filem itu mengetengahkan seni mempertahankan diri yang mana memerlukan Jackie memainkan peranan sebagai Ah Lung yang dalam misi membalas dendam terhadap pembunuh ayahnya. Dia akhirnya berjaya membuka mata banyak pihak dalam industri seni Hong Kong menerusi lakonan mantap dan bertenaga sebagai Ah Lung.

Dalam pada itu, antara filem yang berjaya menaikkan namanya adalah Police Story, Drunken Master, Heart of The Dragon dan Rumble In The Bronx.

Selepas 50 tahun berlalu, seiring dengan usianya, Chan yang kini berusia 58 tahun sudah membintangi lebih 150 filem.